Thursday, January 7, 2010

Pandangan Tentang Isu Penggunaan nama ALLAH oleh Herald Weekly

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera..

Saya terpanggil untuk menulis email ini kerana isu besar mengenai penggunaan nama Allah oleh Herald-The Catholic Weekly. Saya ingin memberi beberapa pandangan, cadangan dan informasi mengenai agama Nasrani yang kini dikenali sebagai agama Kristian.

Bukan niat saya untuk mencari kelemahan agama tersebut tetapi, bagi saya ianya sebagai satu pembacaan ilmiah dan sebagai seorang Islam tidak salah bagi saya membaca dan mengkaji sabagai menambah ilmu pengetahuan.

Pada pandangan saya, sebagai orang Islam kita harus bersabar dan mencari jalan secara lebih berhikmah (wisdom) untuk hadapi situasi seperti ini. Mengadakan demonstrasi dengan menunjukkan kemarahan seolah-olah memberi gambaran orang Islam itu satu umat yang tidak rasional.

Sebagai umat Islam kita telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. supaya sentiasa berpesan dalam kebenaran dan berpesan dalam kesabaran (Surah Al-Asr). Pendekatan yang lebih berbentuk Ilmiah dan hikmah adalah yang terbaik untuk hadapi situasi seperti ini.

Saya ingin berkongsi beberapa informasi yang berguna yang mungkin dapat dijadikan panduan oleh pihak-pihak yang berkenaan terutama pihak KDN, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama Islam, NGO atau Persatuan Peguam Muslim.
Sebenarnya, umat Kristian telah lama kehilangan hak untuk menggunakan perkataan Allah kerana pihak gereja sendiri telah menggugurkan perkataan tersebut dari sebarang urusan gereja dan upacara keagamaan.

Pada tahun 325 Masihi satu pengistiharan dalam Muktamar Nicea menyatakan bahawa Trinity adalah akidah utama orang Kristian yang terdiri daripada Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ini diikuti oleh Muktamar Constantinople 1 pada tahun 381 Masihi yang mengukuhkan peristiharan terdahulu bahawa semua orang Kristian menggunakan istilah Bapa, Anak dan Roh Kudus.

Pada Muktamar Ephesus 1 pada tahun 431 Masihi, pihak gereja melarang orang2 Kristian menggunakan nama Tuhan yang terdapat dalam Kitab Injil untuk percakapan harian dan hanya menggunakan perkataan Bapa sahaja. Nama-nama Tuhan hanya boleh digunakan dalam upacara keagamaan oleh pihak gereja sahaja.

Ketika berlakunya perpecahan aliran dalam agama Kristian di Eropah, aliran Protestant telah muncul untuk keluar dari pengaruh kekuasaan Gereja Katolik yang berpusat di Rome. Akibat daripada perpecahan tersebut juga memberi kesan kepada kitab Bible.

Gereja Katolik menerbitkan Bible edisi Geneva pada tahun 1560 dan pihak Protestant menentang penerbitan Bible edisi in dan hasilnya pada tahun 1611 mereka menerbitkan Bible edisi King James. Pada tahun 1769, Bible edisi King James telah diterima pakai oleh dunia Kristian dan digunakan sehingga ke hari ini. Saya ingin menjelaskan disini sebelum tahun 1769, edisi King James mengandungi 4 perkataan kalimat ‘Alah’.

Kalimat ‘Alah’ ini telah dibuang dari edisi King James selepas tahun 1769. Edisi King James yang digunakan sekarang tidak mengandungi kalimat tersebut. Oleh itu. Saya berpendapat, agama Kristian sudah tidak mempunyai hak untuk menggunakan kalimat atau perkataan ‘Allah’ untuk apa tujuan sekalipun. Pihak penerbit Herald-The Catholic Weekly seharusnya mengkaji sejarah agama Kristian sendiri sebelum bercita-cita menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitannya.

Jika didalam kitab suci agama Kristian tidak ada perkataan ‘Allah’ bagi merujuk nama Tuhan, maka tidak wajar bagi pihak penerbit Herald-Catholic Weekly menggunakannya.

Dari segi linguistik pula, perkataan atau kalimat ‘Allah’ adalah berasal dari bahasa Arab iaitu ‘Al-Ilah’. Dalam bahasa Arab, kata dasar ‘Ilah’ bermaksud “Tuhan yang mempunyai sifat yang tunggal”. Sifat kata dasar ‘Ilah’ juga tidak mempunyai kata ganda yang menunjukkan bilangan (plural) seperti god (singular) dan gods (plural) atau tuhan (bilangan satu) dan tuhan-tuhan (bilangan lebih dari satu). Selain itu, kata dasar ‘Ilah’ juga tidak menunjukkan jantina (gender) seperti god (male) dan goddess (female) atau dewa dan dewi seperti tuhan-tuhan Mesir Purba iaitu Osiris (lelaki) dan Isis (Perempuan). Kata dasar ‘Ilah’ itu sendiri adalah bersifat satu atau tunggal yang bertentangan dengan doktrin Kristian iaitu Trinity. ‘Ilah’ bersifat Uno yakni satu manakala doktrin Trinity pula tuhan itu terdiri daripada 3 oknum iaitu Bapa, Anak dan Roh Kudus yang bertindak secara berasingan.

Jika diteliti dengan sepenuhnya terdapat pebezaan yang ketara antara sifat ‘Ilah’ dengan doktrin Trinity tersebut.

Terdapat banyak nama-nama Tuhan di dalam kitab Taurat, Zabur dan Injil. Agama Kristian yang berasal daripada Judeo-Christian, menggabungkan kitab Taurat, Zabur dan Injil dan dikenali sebagai Holy Bible.

Bagi saya secara rasionalnya Paderi Murphy Pakiam selaku penerbit Herald-Catholic Weekly sudah tentu lebih mengetahui nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible. Antaranya ialah Jehovah, Yahweh, Eloh, Eli atau El.

Secara rasionalnya juga penerbit Herald-Catholic Weekly boleh menggunakan nama-nama ini dalam penebitan mereka kerana orang-orang Kristian lebih terdedah kepada nama-nama Tuhan yang terdapat dalam Kitab Bible.

Persoalannya sekarang, kenapa Paderi Murphy Pakiam tidak menggunakan nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible tersebut? Sebagai contoh, Jesus pernah bersuara dengan nada yang kuat menyebut salah satu nama Tuhan seperti yang dirakamkan oleh Injil.

Jesus menyebut “Eli, Eli lama sabachtani” sebagai kata-kata terakhir beliau. Maksud Eli ialah Tuhanku. Bahasa ibunda Jesus ialah bahasa Aramaic iaitu salah satu dialek bahasa Ibrani (Hebrew). Saya berpendapat adalah lebih realistik bagi penerbit Herald-Catholic Weekly menggunakan nama Tuhan seperti yang keluar dari lidah Jesus sendiri. 1.3 billion orang Islam seluruh dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bertutur dalam pelbagai bahasa menggunakan kalimat Allah yang berasal daripada bahasa asalnya iaitu bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa pertuturan Baginda Rasululllah kerana baginda berbangsa Arab.

Orang-orang Islam tidak menterjemahkan Allah kepada bahasa ibunda masing-masing. Ini adalah kerana kalimat Allah tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Begitu juga dengan orang-orang Kristian, mereka sepatutnya mengikuti Jesus dengan menyebut nama Tuhan dalam bahasa asal iaitu bahasa Aramaic yakni bahasa ibunda Jesus.

Dari segi perundangan, sudah terang dan nyata menunjukkan bahawa perkataan Allah adalah hak eksklusif untuk orang-orang Islam. Saya menyarankan kepada KDN, Jakim dan Persatuan Peguam Islam menggunakan sumber Al-Quran di mahkamah nanti.

Secara logik dan rasional minda saya ialah, Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Oleh kerana itu, semua orang tahu bahawa sumber agama Islam adalah Al-Quran. 

Kewajaran Al-Quran sebagai dokumen yang telah didokumentasikan oleh para sahabat Rasullullah sebagai sumber yang authentik untuk dijadikan hujah di mahkamah nanti.

Surah Al-Ikhlas dengan jelas menyatakan bahawa Allah adalah hak eksklusif bagi orang-orang Islam. Maksud Surah Al-Ikhlas-“Katakanlah Allah Itu Esa(1). Allah tempat bergantung sekelian makhluk(2). Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan(3). Dan tiada satu pun yang setara denganNya(4)”.

Perhatikan ayat pertama dengan jelas menunjukkan Allah adalah Esa. Secara eksklusifnya hanya untuk orang-orang Islam kerana orang-orang Islam berima kepada Allah yang Esa. Ayat yang kedua pula dengan jelas bertentangan dengan doktrin Trinity. Soalnya sekarang, adakah keputusan mahkamah yang lalu boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan?

Sekian.


Wednesday, December 16, 2009

Salam Maal Hijrah

Dari Bazaar Tok Guru Jadi Busut Almenantunya

Pada minggu yang lalu, Dato’ YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Haji Ahmad Yakob telah mempengerusikan satu mesyuarat dengan wakil-wakil peniaga dan penjaja berhubung penempatan baru buat mereka di Bazar Tok Guru.

Dato’ Ahmad Yakob telah diamanahkan oleh mesyuarat exco untuk bertemu dengan pihak berkenaan. Mesyuarat bermula dengan langkah kiri apabila Dato’ Ahmad menafikan ucapan terimakasih wakil peniaga Pasar Lama MPKB-BRI.

“Kami ucap terima kasih kerana Dato’ TMB sudi berjumpa kami….” Kata wakil peniaga itu.

“Bukan saya yang nak jumpa, kamu yang nak jumpa saya….” jawab Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Bermula dari situ suasana mesyuarat beransur tegang sehingga setelah beberapa ketika sahaja, Dato’ Ahmad Yakob yang terkenal dengan sikap ramah dan berbudi pekerti tinggi itu bangun dan berkata “bodoh!” ke arah wakil peniaga lalu menoleh ke arah pegawainya dan berkata, “cukup sampai sini saja mesyuarat…” lalu melangkah keluar hanya kembali semula ke dalam mesyuarat setelah sebahagian dari ahli mesyuarat meningalkan majlis itu.

Ini adalah versi yang diceritakan oleh para peniaga. Saya tidak tahu versi rasmi dari Pejabat Timbalan Menteri Besar. Namun begitu, ia tidak akan sedikitpun menghilangkan rasa hormat dan sayang saya kepada Dato’ Ahmad Yakob, bahkan saya boleh faham apa sebenarnya yang terjadi.

Saya boleh faham mengapa Dato’ Ahmad Yakob, jika benar, telah bertindak sedemikian.

Mari kita kembali merujuk kepada fakta dan sejarah.

Beberapa hari setelah Abdullah Ahmad Badawi membubarkan Dewan Rakyat pada Februari 2008, YB. Dato’ Haji Husam bersama saya di pejabatnya merancang strategi mempertahankan Kelantan di dalam PRU ke 12 lalu. Husam kemudian mengarahkan Abdul Ariffahmi Abd Rahman yang ketika itu baru dilantik ke jawatan Ketua Pegawai Operasi PMBK untuk hadir membawa pelan projek pembangunan bernama Madinatul Raudhah.

Husam yang baru satu penggal menjadi ahli Exco Negeri ketika itu mempertikaikan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan kepada para peniaga. Memandangkan kebanyakan peniaga berpusat di Kota Bharu dan memandangkan dalam PRU ke 11 PAS tewas di Parlimen Kota Bharu dan Kerusi DUN Kota Lama PAS menang hanya dengan nyawa-nyawa ikan, adalah penting untuk PAS mendapat sokongan padu dari peniaga. Maka di pejabatnya tengahari itu, Husam mengeluarkan arahan supaya sebuah Bazar dibina di tapak projek Madinatul Raudhah untuk para peniaga.

Dua kumpulan peniaga telah dikenal pasti untuk dipindahkan di bazar yang akan diberi nama Bazar Tok Guru itu. Mereka ialah para penjaja di Pasar Lambak Arked UDA dan para peniaga di Pasar Lama MPKB BRI. Penjaja Arked UDA mempunyai 116 orang peniaga manakala peniaga Pasar Lama MPKB BRI mempunyai 300 orang peniaga. Gabungan pemilik gerai, keluarga mereka dan pekerja mereka, sekurang-kurangnya mereka mewakili suara lebih 1,000 orang pemilih dalam pilihanraya tersebut.

Pada 6 Mac 2008, dua hari sebelum Pilihanraya Umum ke 12, Tuan Guru Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Persatuan-Persatuan Peniaga yang akan dipindahkan ke Bazar Tok Guru.

Intipati memorandum yang ditandatangani sendiri oleh Tok Guru dan wakil-wakil Persatuan Peniaga ialah,
Kerajaan Negeri menerusi PMBK akan membangunkan projek itu tanpa berorientasikan keuntungan.
PMBK akan menyediakan pusat perniagaan dengan kemudahan terkini kepada peniaga.
Pusat perniagaan itu terletak di dalam cadangan pembangunan ‘Madinatul Raudhah’ yang mengandungi 1 blok hotel, 3 blok apartment beserta kedai dan pejabat, 2 aras podium Bazar Tok Guru, 1 aras tempat letak kereta bawah tanah.
Semua ini akan dibangunkan diatas tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu yang dikenali sebagai PT388, Seksyen 12 Bandar Kota Bharu, Kelantan.
Tanah itu bakal diberi pemilikan kepada PMBK.
Tanah itu seluas 5.9 ekar.

Berdasarkan konsep tidak berorientasikan keuntungan ini, para peniaga dimaklumkan bahawa tapak perniagaan yang akan disediakan untuk setiap gerai adalah seperti berikut,
Tapak gerai terletak ditingkat bawah (ground level).
Keluasan gerai adalah 12 x 15 kaki.
Harga ialah RM40,000.00.

Malang bagi peniaga, beberapa bulan selepas menang besar didalam pilihanraya umum ke 12, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman selaku Ketua Pegawai Operasi PMBK telah bersetuju untuk menyerahkan projek Bazar Tok Guru kepada sebuah syarikat bernama Sensatimur Sdn Bhd. Para peguam PMBK beberapa kali menasihatkan PMBK bahawa terma-terma perjanjian dengan Sensatimur itu adalah berat sebelah dan akan menggadai falsafah disebalik pembinaan Bazar Tok Guru namun Arifahmi terus berkeras.

Pada 1 Jun 2009, perjanjian ditandatangani oleh Tok Guru dengan Sensatimur. Intipati perjanjian adalah seperti berikut,
Keluasan tapak diatas tanah milik PMBK ialah 5.9 ekar.
Tapak binaan Bazar Tok Guru ialah seluas 1.5 ekar.
Melalui perjanjian itu, Sensatimur akan menanggung sepenuhnya kos pembinaan Bazar Tok Guru.
Sensatimur akan memberi pinjaman berjumlah RM5.5 juta kepada PMBk dan PMBK perlu bayar didalam tempoh 12 bulan dari tarikh siap bazar menerusi penyerahan hak jualan gerai milik PMBK untuk dijual oleh Sensatimur. Sensatimur akan ambil 50% dari hasil jualan setiap unit bagi mendapatkan semula wang RM5.5 juta itu.
Selepas 30 hari siap Bazar tersebut, PMBK akan menyerahkan baki 4.4 ekar tanah di tapak tersebut kepada Sensatimur dengan pajakan 99 tahun tanpa sebarang sekatan kepentingan dan syarat yang jelas.

Syarat-syarat lain didalam perjanjian PMBK-Sensatimur yang secara langsung membakar jambatan dengan para peniaga pula adalah seperti berikut,
Tingkat bawah (ground level) yang dijanjikan untuk dijual kepada peniaga telah menjadi milik Sensatimur.
PMBK hanya mendapat hak bagi aras 1 dan 2 sahaja.

Disebabkan Abdul Ariffahmi mensasarkan keuntungan besar dari projek yang asalnya tidak berorientasikan keuntungan itu, harga jualah bagi tapak gerai ditingkat 1 dan 2 diletakan pada harga RM92,000 setiap unit dengan keluasan dikurangkan kepada 8 kali 10 kaki sahaja.

Sewaktu majlis pecah tanah projek itu dibuat, Persatuan-Persatuan Perniaga telah mengambil keputusan untuk tidak hadir kerana ternyata YAB Tok Guru telah melanggar perjanjian persefahaman di antara kedua-dua pihak iaitu,
Harga jualan setiap unit melambung lebih 100%.
Peniaga yang asalnya dijanjikan penempatan ditingkat bawah kini diarah berpindah ke tingkat 1 dan 2.
Semua ini berlaku tanpa para peniaga diajak berunding telebih dahulu.
Usaha peniaga untuk mengadakan dialog dengan PMBK didalam suasana sihat telah tidak dilayan oleh Ariffahmi.

Bagi memastikan airmukanya terjaga di majlis pecah tanah itu, Ariffahmi berjanji untuk menyelesaikan segala pertelingkahan itu dengan syarat Persatuan-Persatuan Peniaga menghantar wakil mereka di majlis tersebut.

Akhirnya persatuan-persatuan itu setuju untuk menghantar wakil tanpa mereka sedari, kehadiran mereka telah digunakan oleh Ariffahmi untuk memberitahu Menteri Besar bahawa ia adalah bukti para perniaga tidak mempunyai masalah dengan syarat baru pemilikan Bazar Tok Guru.

Sehingga kini, usaha persatuan peniaga untuk mengadakan sessi dialog dengan YAB Menteri Besar tidak dilayan baik oleh PMBK mahupun oleh MB sendiri.

Maka apabila segala kemelut yang onarnya yang semakin membara ini dihumbankan kepada Dato’ Timbalan Menteri Besar, ternyata ianya adalah satu usaha untuk menjatuhkan kredibiliti Dato’ Ahmad Yakob oleh pihak tertentu.

Apakah ini adalah lagi satu projek Abdul Ariffahmi?

Saya tidak langsung musykil.

sumber: kickdefella

Wednesday, December 9, 2009

Nik Aziz Membelakangkan Nabi Muhammad?

Oleh Kamarulzaman Kamdias

Apa beza sunnah Nabi Muhammad saw dengan sunnah nabi-nabi terdahulu? Kalau pada zaman nabi-nabi terdahulu beban menyebar agama hanya terletak di bahu para-para nabi. 


Umat mereka hanya bertindak mengikut dan taat kepada ajaran nabi-nabi. Pendek kata umat nabi terdahulu hanyalah bertaraf ‘abid’ atau ahli ibadat, manakala nabi-nabi mereka berfungsi sebagai penyebar agama.

Tetapi, umat Nabi Muhammad saw tidak begitu. Tugas umat Muhammad sama seperti tugas Muhammad, iaitu beribadat dan pada masa yang sama bertindak sebagai penyebar agama sepertimana juga nabinya.

Itu sebab umat Muhammad sangat istimewa berbanding dengan umat nabi terdahulu. Itu sebab jugalah nabi-nabi terdahulu ramai yang memohon untuk menjadi nabi akhir zaman.

Hinggakan Nabi Musa as pun berdoa, kalau tak dapat jadi nabi akhir zaman, dapat jadi umat kepada nabi akhir zaman pun sudah memadai.

Kenapa Nabi Musa berdoa sebegitu rupa?

Sebab baginda tahu kemuliaan umat nabi akhir zaman. Kemuliaan yang dimaksudkan ialah di bahu umat nabi akhir zaman juga terpikul keistimewaan nubuwah, iaitu fungsinya sama seperti mana fungsi kenabian.

Apa yang ingin digambarkan di sini ialah tentang tentang kemuliaan umat Muhammad, doa nabi-nabi dan perbezaan doa Nabi Muhammad saw dengan doa nabi-nabi terdahulu.

Sudah tercatat di dalam Al Quran tentang kisah nabi-nabi terdahulu. Ada di antara nabi-nabi terdahulu yang mendoakan agar diturunkan bala atau musibah kepada umat-umatnya yang engkar kepada ajaran yang mereka bawa.

Nabi Noh dan Nabi Lut adalah di antara beberapa nabi yang berdoa sedemikian rupa sehingga doa mereka dimakbulkan tuhan.

Tapi Nabi Muhammad tidak pernah mendoakan umatnya sedemikian rupa, walaupun berbagai rintangan dan kesulitan yang tidak masuk akal telah dilakukan oleh umat baginda sewaktu baginda menyebar agama Allah.

Malahan, sewaktu peristiwa hijrah ke Taif, Allah swt telah mengarahkan para malaikat bersiap sedia di gunung-gunung dan bukit sekitar Taif bagi menunggu apa juga permintaan Nabi Muhammad.

Jika nabi bermohon kepada Allah supaya diterbalikkan bukit bukau dan gunung-gunung ketika itu, maka para malaikat akan lakukannya.

Walau pun Nabi Muhammad dihina, dihalau dan dibaling dengan batu-batu di sepanjang perjalanan baginda keluar dari Kota Taif, sehingga berdarah, tetapi Nabi Muhammad tetap mendoakan hidayat dan kebaikan untuk umatnya yang masih engkar.

Baginda berpendapat, jika umat baginda di Taif hari ini engkar dan menolak ajaran yang dibawa, mungkin cucu-cicit kepada mereka akan menerima ajaran baginda.

Sekarang mari kita bandingkan pendekatan Muhammad saw dengan pendekatan mereka yang digelar pewaris-pewaris nabi yang telah menjerumuskan diri di dalam gerakan demokrasi berparlimen di negara ini.

Bukankah ianya amat berbeza sama sekali?

Pewaris ajaran Nabi Muhammad saw hari ini lebih cenderung untuk mengikuti pendekatan nabi-nabi terdahulu yang mendoakan agar diturunkan bala kepada umat mereka yang engkar…!

Alasan mereka ialah nabi-nabi terdahulu pernah lakukannya dan adalah tidak salah untuk mereka mengikutinya, sedangkan Nabi Muhammad tidak pernah sekelumit pun mendoakan sesuatu yang buruk tertimpa, walaupun kepada Abu Jahal dan Abu Lahab..!

Adakah tindakan pewaris ajaran Muhammad ini boleh dianggap sebagai tindakan yang cuba membelakangkan pendekatan Nabi Muhammad?

Barang diingat, pada suatu hari Umar Al Khattab pernah dengan bangga membawa kitab-kitab nabi terdahulu untuk ditunjukkan kepada Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad saw berpaling darinya sambil berkata, “Jika mereka-mereka itu masih hidup di zamanku, nescaya mereka juga akan beriman dengan apa yang aku bawa.

Ulamak-ulamak sohor yang sedang sibuk berpolitik pada hari ini adalah dicadangkan agar menilik semula kisah-kisah di atas supaya mereka tidak tersasar lebih jauh lagi sehingga kekeliruan dalam masyarakat menjadi lebih kronik.

Lebih banyak kekeliruan masyarakat yang timbul akibat dari fatwa mereka, maka akan lebih besarlah lagi risiko yang bakal mereka hadapi selepas hari kematian mereka kerana mereka adalah “warisatul-anbiya”.

Tuesday, December 1, 2009

Penyerahan Memorandum di SUK Kelantan


Layari url dibawah untuk melihat gambar-gambar lain situasi sewaktu penyerahan tersebut

http://www.youtube.com/watch?v=jeHOVfSarq8

Friday, November 27, 2009

Aduhai Tok Guru Nik Aziz

Kemelut terkini di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan nampaknya menggegarkan tiang seri yang selama ini kukuh memangku payung pemerintahan parti PAS itu di Kelantan. Akibatnya umum merasakan bahawa PAS mula goyah di kubu kuatnya.

Pembongkaran penyelewengan Abdul Ariffahmi Abd. Rahman, menantu Nik Abdul Aziz membuka mata masyarakat terhadap pembinaan sebuah dinasti oleh keluarga Tuan Guru yang menjadi tonggak PAS Kelantan. Perlahan-lahan satu persatu mula terselak. Lambat laun maklumat terperinci berhubung Sekolah Darul Anuar, Tanah Wakaf Pulau Melaka dan Stesen Minyak berdekatan akan turut hangat diperkatakan.

Walau ada sesetengah berpuas hati dengan penjelasan bahawa kemelut tersebut berlatar belakangkan fitnah, bagaimanapun menyalahkan fitnah adalah suatu yang berbahaya. Apalagi bila kes tersebut juga di dalam siasatan. Bagaimana andainya kes itu ke mahkamah? Tentu sekali kes tidak ke mahkamah kerana fitnah tetapi disebabkan bukti-bukti yang ada.

Kita perlu menghindari diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah.

Setelah reda seketika kemelut PMBK, ruang siber mula berbicara pula isu-isu yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandara Raya Islam. Bila terbongkar pula isu-isu ketidak puasan hati pihak tertentu di dalam MPKB-BRI, sudah pasti ada juga yang akan terpalit kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz menerusi anaknya sendiri, Ustaz Nik Abduh.

Di dalam posting terbaharu, Ustaz Nik Abduh segera menyatakan hasratnya untuk berundur daripada MPKB-BRI.

Sedang kita baru mahu reda dengan persepsi sesetengah pihak bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang adalah ‘Pak Lah’ dalam PAS tiba-tiba kita terpaksa mengakui bahawa di dalam kemelut yang tidak dapat diselesaikan oleh Nik Aziz, ketegasan Hadi Awanglah yang membantu meredakannya.

Di dalam kemelut perlantikan Ariffahmi dan tuduhan penyelewengannya, Hadi Awang berjaya membuktikan kepimpinannya dan dia bukan ‘Pak Lah’ di saat genting.

Kepimpinan Hadi banyak tercabar oleh kritikan Nik Aziz yang bertubi-tubi terhadapnya selepas PRU ke 12 lalu. Tetapi di dalam insiden ini, melihatkan Hadi lebih rasional menangani isu yang boleh merobek masa depan parti berbanding dengan Nik Aziz yang banyak membulinya.

Nik Aziz hampir kelemasan di dalam lautan emosinya sendiri. Kata-kata yang keluar daripada mulut Nik Aziz apabila di gempur media di dalam isu berkaitan banyak mengubah persepsi umum terhadapnya. Akibatnya, mula ada pertikaian bahawa Nik Aziz yang baru meraikan ulangtahun ke 19 nya di puncak kuasa sudah melewati hadnya.

Maka hari ini, persoalannya bukan lagi bilakah Nik Aziz harus berundur. Umumnya sudah membuat keputusan Nik Aziz harus berundur segera. Persoalan yang membelenggu PAS kini, ialah siapakah yang perlu diangkat mengganti Nik Aziz?

Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah telah secara terbuka meminta Nik Aziz menamakan penggantinya. Hajah Wan Ubaidah, Exco Kerajaan Negeri menyahut seruan Mohd Amar.

Ramai merasakan pilihan Nik Aziz ialah Dato’ Husam Musa, anak didik Musyidul Am PAS itu sendiri. Tetapi sesiapa yang rapat dengan Husam tahu bahawa Husam tidak berminat dengan jawatan Menteri Besar Kelantan. Husam mungkin memiliki alasan-alasan yang dirahsiakannya tetapi yang jelas bagi mereka yang dekat dengan Husam, pentas bagi Husam ialah di Parlimen dan di peringkat Pusat.

Bahkan hari ini, Husam dengan jelas memaklumkan kepada media bahawa dia akan menolak sebarang tawaran menjadi Menteri Besar. Saya yakin Husam akan tidak berganjak dengan pendiriannya itu. Dan saya berharap Husam tidak akan suatu hari berkata, ‘Saya terpaksa menerima jawatan Menteri Besar sebagai pengorbanannya kepada Parti dan Negeri Kelantan.”

Menolak Husam ketepi. di dalam penggal yang ada sekarang, hanya dua nama yang layak diangkat jika terdapat kekosongan jawatan Menteri Besar Kelantan. Secara peribadi, turutan yang paling adil ialah jawatan itu di isi oleh Dato’ Mohamad Yakob, Timbalan Menteri Besar sekarang. Bagaimanapun amat jarang sekali keadilan dijadikan kayu pengukur di dalam menyelesaikan kemelut politik.

Dato’ Mat TMB sebagaimana beliau lebih dikenali, ialah seorang insan yang cukup rendah diri dan berbudi pekerti yang amat mulia sekali. Jika itu adalah ukurannya, memanglah tiada insan lain yang lebih layak. Jika diberi peluang menjadi Menteri Besar, di dalam sekelip mata sahaja, Dato’ Mat akan terkenal sebagai MB yang paling rendah diri dan baik hati. Bahkan dari aspek ini, beliau jauh meninggalkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang turut terkenal dengan dua kualiti ini.

Malangnya, dunia politik tidak mengutamakan dua kualiti ini.

Parti PAS tentu mahukan MB baru Kelantan seorang yang lincah di medan politik. Lantaran kehebatan itu ada pada Dato’ Mohd Amar. Bahkan, di dalam kemelut Abdul Ariffahmi, Mohd Amar telah bangkit lebih tinggi dari pimpinan PAS Negeri Kelantan yang lainnya. Mohd Amar membuktikan keberaniannya, di waktu rakyat Kelantan dan Malaysia menantikan keberanian itu datang daripada Husam. Lantaran keberanian Mohd Amar bakal lebih terserlah di dalam berdepan dengan musuh PAS di Kelantan, iaitu Barisan Nasional.

Namun, Mohd Amar juga ada pengkritiknya dan kritikan utama yang dilemparkan kepadanya ialah dari aspek prestasinya sebagai Exco yang sudah masuk penggal ke dua. Berdasarkan prestasinya itu, adalah berisiko tinggi untuk memberi tanggungjawab tersebut di pertengahan penggal. Adalah lebih adil kepadanya untuk memikul tanggungjawab itu di permulaan penggal supaya dia mudah menyusun 100% barisan-barisan pembantunya sendiri.

Kerumitan memilih pengganti bakal mengakibatkan Nik Aziz akan terpaksa kekal mentadbir Kelantan hingga ke akhir penggal sekarang. Di dalam pilihanraya akan datang, kemungkinan ada pimpinan PAS di Dewan Rakyat yang boleh dipindahkan ke Negeri dan dimasyurkan sebagai bakal Menteri Besar yang baru pasca PRU13.

Peralihan kuasa di Kelantan sepatutnya berlaku pada 9 Mac 2008, iaitu selepas PRU 12 yang lalu. Hari ini, sudah agak terlewat. Sebarang perubahan kuasa di pertengahan jalan mungkin membawa padah kepada PAS Kelantan.

Namun begitu Nik Aziz perlu mengumumkan penggantinya sebelum berdepan dengan pilihanraya umum akan datang kerana jika ini tidak dilakukan, PAS Kelantan mungkin terpaksa menghadapi pilihanraya dengan mempertahankan isu-isu yang menyelubungi empayar yang dibina oleh ahli Keluarga Tuan Guru Nik Aziz.

Lebih berbahaya lagi ialah insan yang paling setia mempertahankan Nik Aziz adalah insan yang berada didalam senarai nombor satu untuk disembelih oleh pembina empayar itu.

“Dulu Husam dok bunuh Nik Abduh, Lo Ni dia bunuh Ariff, jahat sungguh Husam ni, habis anak beranak kita dia nak sembelih…” itulah ungkapan yang keluar dari mulut insan kesayangan Tuan Guru. Dan jika Tuan Guru terus gagal membendung aktiviti ahli keluarganya, Husam mungkin akan menjadi mangsa lebih awal dari Tuan Guru.

Jika ini berlaku, pengundi diatas pagar akan terpaksa berfikir kewarasan parti yang ahlinya adalah Jemaah Islam di dalam berpolitik. Sebagaimana BN tidak akan menang semata-mata kerana undi ahli-ahli UMNO dan penyokong UMNO, PAS juga begitu.

Akhirnya, saya suka majukan tulisan Nik Abduh yang berbunyi, “Beliau (Syed Azidi) bukan peneguk arak, tetapi serangannya seperti peneguk arak yang bersahaja dalam kemabukan. Menaruh madu di dalam racun dan menitik zam – zam di gelas arak.” Nik Abduh mungkin tidak sedar tetapi, Pimpinan PAS perlu sedar, kemenangan besar yang dinikmatinya pada PRU 12 dahulu adalah sumbangan dari kempen yang dibuat ramai peminum arak dan undi yang diterima oleh PAS ketika itu juga termasuklah undi golongan peminum arak, golongan penzina, golongan pengamal seks sejenis dan lain-lain. Dan mereka mengundi PAS bukan kerana idealogi yang dibawa PAS tetapi kerana mereka menolak kegagalan Barisan Nasional dibawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi membela nasib mereka.

ditulis oleh: Syed Azidi

Surat Drp Nik Amalina Nik Abd Aziz

Dipetik drp web www.kickdefella.wordpress.com

---------------------

Isteri kepada Abdul Ariffahmi seperti yang tersiar di dalam blog YB Dr. Siti Mariah. Nik Amalina adalah anak perempuan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz, YAB. Menteri Besar Kelantan. Sila baca.

Salam Ukhuwah,

Hampir empat hari berlalu…ujian yang cukup mencabar bagi kami…InsyaAllah kami tanamkan semangat bahawa ujian ini ada hikmahnya buat kami. Sehinggalah ke saat ini kami masih mampu menjalani kehidupan sepertimana biasa, masih boleh bergelak ketawa bersama anak-anak dan juga tetap bersembang bersama Tok Guru dan Bonda tersayang, serta berborak mesra bersama adik-beradik yang lain daripada kedua-dua belah pihak, yang tentunya tidak pernah keputusan memberi kata-kata semangat juang buat kami serta doa yang berpanjangan buat kesejahteraan kehidupan kami sekeluarga. Terima kasih untuk kalian!

Isu ini sedikit sebanyak mengundang kesedihan dikalangan kami sekeluarga. Ia mampu menjadi satu isu yang membuatkan kami semua membincangkannya dari pelbagai sudut. Walaupun kami sedih, kami tetap tenang. Kami tidak perlu berduka berlama-lama, kami harus bangun! Kami ingin bangun membuktikan kebenaran! Langkah kami belum mati, kami akan sentiasa maju ke hadapan! Datangnya kami dari keluarga yang dimuliakan, dan sesungguhnya kami tidak sesekali rela keluarga kami dihina.

Alhamdulillah, saya mempunyai sebuah keluarga yang matang. Semuanya tenang dalam mengharungi suasana laluan yang sukar ini. Kami dididik, selain ditarbiah baik bahawa jangan sesekali berbuat jahat, malah berusahalah untuk sentiasa berbuat kebaikan. Ia adalah sesuatu yang konsisten antara kehidupan di dunia menuju ke akhirat. Ayahanda sentiasa berdoa dan mengajar kami supaya mendoakan agar ‘jadikanlah kami semua imam kepada orang-orang yang bertaqwa’. InsyaAllah…

Apabila saya menjengah dunia, ditakdirkan saya berada dalam sebuah keluarga yang dikenali ramai. Saya memang bertuah kerana hampir memiliki segala-galanya di dalam kehidupan dunia ini, tapi semuanya adalah secara bersederhana. Saya seorang yang cintakan kedamaian, dan sesungguhnya onar yang berlaku dalam isu ini sungguh menjerut rasa di hati saya. Jiwa saya sentiasa menuntut untuk berbuat kebaikan, mungkin kerana ia hasil dari didikan kedua ibubapa saya, malah dengan akal yang sudah cukup sifatnya di usia saya sekarang, saya sentiasa cuba untuk tidak mencalit arang kepada kedua ibubapa saya yang masyhur itu. Kadangkala datang juga rasa ketidakadilan berlaku dalam kehidupan ini, namun belajarlah menerima hakikat bahawa, dalam kebertuahan itu masih ada kecacatannya.

Saya hidup didalam sebuah keluarga yang sering sahaja diuji. Dari sekecil-kecil ujian sehinggalah ke sebesar-besar ujian. Ia bergerak seiring dengan waktu saya membesar. Hari ini giliran saya pula menerima ujian yang hebat ini. Ia begitu mengasak fikiran kerana kelihatan mampu menguasai dunia realiti dan maya.

Saya tahu saya bukan bersendirian menghadapi ujian ini. Saya dan suami punya ‘pasukan’ yang kuat untuk menyokong kami dari mana-mana sisi sekalipun. Apa yang penting, kami tahu Allah swt hanya memberikan ujian ke atas hamba-hambaNya mengikut kemampuan hambaNya itu. Barangkali ia suatu ‘alarm’ kepada kami agar kami kembali muhasabah diri dalam meniti hari-hari yang berlalu dan juga yang mendatang. Mungkin ini saat terbaik dalam kehidupan kami, untuk kami terus merendahkan jiwa kami kepada Maha Pencipta kami, untuk kami menginsafi diri, lantas menitis air mata yang kadang-kala kami lupa untuk menghulurkan keikhlasan kami kepada Mu ya Allah…Pinta kami semoga Tuhan tidak pernah memandang enteng kepada kami walau dalam keadaan bagaimana pun keadaan kami ini. InsyaAllah…

Tatkala kita semua menghampiri saat-saat bahagia menghampiri Hari Raya Korban, jiwa saya turut tersentuh mengenangkan ada situasi yang perlu dikorbankan. Ia bukanlah situasi yang mudah, tapi bukanlah sukar untuk saya menerima pengunduran suami saya, Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman dari jawatan CEO PMBK beberapa hari yang lalu. Saya menerimanya dengan hati yang tenang walaupun sedikit kecewa dengan situasi yang tidak memihak kepadanya.

Saya tetap optimis mengharapkan bahawa masih ada sinar yang akan menyelubungi kami sekeluarga. Walaupun ia sebuah memori yang pahit, saya tetap menerimanya dengan lapang hati. Namun terselit di jiwa saya rasa terkilan bahawa masih ada manusia di dalam kelambu PAS yang begitu rakus membaham sesama sendiri sehingga sanggup melukakan hati seorang tua yang juga Mursyidul Am PAS, merangkap Menteri Besar Kelantan, merangkap Tok Guru yang disayangi segenap lapisan masyarakat, yang tentu-tentunya beliau adalah Ayahanda saya yang tercinta. Jauh di sudut hati saya, sesungguhnya saya tidak rela ia terjadi begitu namun saya tetapkan pendirian bahawa yang terjadi itu ada hikmahnya dan barang tentu kita hanya merancang, sesungguhnya perancangan Allah itulah yang terbaik!

Dalam menghadapi kemelut ini, ramai sahabat-sahabat yang telah menghubungi saya bertanyakan khabar berita. Ada yang sekadar menghantar sms, ada pula yang sanggup melambungkan bil handphone mereka dengan bersoal-jawab bersama saya, tidak kurang yang sanggup datang ke rumah untuk mendengar saya ‘berceramah’. Paling saya hargai ada sepasang suami isteri dari Terengganu yang sanggup langsung ke rumah saya demi untuk mencari kebenaran. Pada waktu itu mereka semua menyatakan sokongan padu bahawa kami berada di pihak yang benar!

Hati saya tetap lapang meniti hari-hari yang penuh cabaran. Dalam menyusuri kemelut ini, saya dan suami sering berbincang kemungkinan-kemungkinan yang mungkin kami akan hadapi nanti. Walaupun begitu, kami tidak merancang apa-apa dan kami tiada perancangan ke atas kemungkinan-kemungkinan itu kerana kami masih optimis kami sentiasa di pihak yang benar. Namun siapa tahu kebenaran itu boleh tertimbus oleh kebatilan yang terancang! 

Bukan sedikit kesan negatif yang terpaksa kami terima dari kemelut yang terancang ini. Perancangan kejahatan ini telah menemui titik noktahnya yang pertama! Namun saya tahu perancangan jahat ini masih belum menemui titik noktah penyudahnya!

Saya sentiasa bersedia menjadi sayap kanan kepada suami tercinta. Selagi saya yakin dia berada di pihak yang benar saya tetap akan padu menyokongnya. Bukan hanya dia yang membina keyakinan saya, namun saya masih ada keluarga yang jitu memperteguhkan kebenaran yang tercipta.

Saya sentiasa ada untuk menyokong segala gerak kerja suami saya dalam membangunkan negeri Kelantan yang tercinta ini. Saya sentiasa mahu menyuntik semangat kepada dirinya untuk bergerak maju menongkah arus membina kekuatan baru bagi negeri Kelantan ini. Saya sentiasa di sisinya untuk memberi idea yang terbaik dalam segala aspek kehidupan kami.

CEO

Hari ini suami saya masih CEO PMBK. Bagi saya pencapaiannya sungguh memberansangkan. Ia sebuah pencapaian yang boleh dibanggakan kepada keluarga kami. Kami semua mengalu-alukan pencapaiannya itu. Namun siapa tahu akhirnya dia mampu dijatuhkan oleh satu fitnah yang terancang hebat.

Pada suatu hari dia memaklumkan kepada saya bahawa ayahanda telah melantiknya ke jawatan CEO. Saya mengucapkan tahniah. Apabila ada luang masa untuk berbicara dengannya saya mengingatkannya bahawa ini adalah suatu amanah yang besar. Bukan hari itu saja saya mengingatkanya, tapi sering! Saya sendiri mahu dia menjadi seorang CEO yang berjaya. Saya mahu dia sentiasa di landasan yang betul dan benar. Saya mahu dia dihormati kawan mahupun lawan. Bukan niat saya untuk menyibuk perihal kerjayanya, tapi saya tahu kemungkinan-kemungkinan yang mungkin berlaku kerana saya tahu apa itu politik!

Pelantikan suami saya ke ‘kerusi panas’ PMBK adalah daripada sokongan ayahanda tercinta. Saya bersetuju untuk suami memberi persetujuan kepada ayahanda menerima jawatan itu selepas hampir empat kali ayahanda menyuarakannya dalam tempoh setahun yang berlalu. Pada saat itu, saya pasti kelayakan dan kewibawaan suami saya adalah menjadi titik penentu ayahanda memilih dia untuk menerajui takhta PMBK.

Siri perlantikan ke ‘kerusi panas’ ini bukan berlangsung sebulan dua, namun ia memakan masa selama setahun dua. Apabila namanya dicadangkan oleh ayahanda, saya memberi nasihat untuk dia memikirkan semasak-masaknya. Saya meyakininya bahawa, terima jika berkemampuan, dan tolaklah jika ia suatu amanah yang tidak mampu digalas. Perasaanya ketika itu bersimpang-siur. Saya sentiasa disisinya untuk sebarang pandangan yang sihat, menerima amanah bukan seperti mendapat habuan yang indah, itulah ingatan saya kepadanya. Akhirnya dia memilih untuk menjawab ‘YA!’. Saya meyakini diri bahawa dia adalah calonnya untuk jawatan panas itu. Keluarga turut menyatakan sokongan. Dalam tempoh mendokong amanah besar itu saya akur kepada kehebatannya dan saya tahu dia boleh menjangkau impian besar ayahanda dalam menerajui bumi Kelantan ini.

Kami menjalani kehidupan seperti biasa walaupun selepas suami saya digelar CEO. Saya tetap berfungsi sebagai seorang suri kepada sebuah rumahtangga dengan menjalankan tugas-tugas rutin saya. Kadangkala kami berkunjung ke rumah ayahbonda. Ada masanya kami berbincang, apa saja isu yang terluah di meja makan yang kami panggil ‘persidangan meja bulat’. Tiada apa yang pelik selepas perlantikan itu, sekadar isu yang telah kami jangkakan, ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan itu! Kami tetap juga bersabar menghadapi hari-hari mendatang. 

Segala kemungkinan yang mungkin berlaku hasil dari perlantikannya itu telah cuba kami hadap bersama. Apa yang pasti kami sedar bahawa fitnah akan sentiasa mengekori kami setiap masa. Kami cuba untuk membuat yang terbaik. Saya yang sentiasa optimis tidak pernah memikirkan bahawa suatu hari nanti dia akan kecundang. Saya sentiasa berkeyakinan bahawa apa yang baik akan dibalas baik. Saya sentiasa menyokongnya untuk berbuat segala jenis perkara kebaikan, bukan setakat kerana kebaikan itu adalah baik, tetapi beringat-ingatlah bahawa kita sentiasa diperhatikan, baik dari kacamata kawan mahupun lawan kerana kita adalah ‘public figure’.

Saya sendiri tidak mendambakan kesenangan apabila suami saya dilantik menjadi CEO. Namun lumrah kehidupan, setiap kejayaan itu dirai dengan sebuah kegembiraan. Suami saya juga dikenali sebagai KJ Kelantan. Mana samanya? Tentunya suami saya lebih cerah, jika adapun sebenarnya dia bukan berkulit cerah. Bagi saya suami saya seorang yang terbuka, walaupun agak sukar untuk menerima kritikan, tapi dia bersedia untuk berhadapan mendengar sebarang kritikan. 

Saya sentiasa memberi ingatan kepadanya. Saya kenal suami saya. Dia seorang yang maju ke hadapan. Dengan ilmunya sebagai seorang Jurutera menjadikan dia seorang yang kritis dan kreatif. Dia seorang yang sukakan cabaran. Kerana sukakan cabaran itulah dia sanggup menggalas jawatan penting yang disuakan kepadanya. Saya yakin dengan jawatan yang disandangnya itu mampu memberi ‘kuasa’ baru kepada daya saing negeri Kelantan.

Selain membawa watak sebagai isteri penyeri sebuah rumahtangga, saya juga sentiasa bersedia untuk memberi idea yang terbaik buat suami. Sebagai isteri, saya mahu dia menjadi suami terbaik didalam rumahtangga saya. Saya juga berusaha untuk memberi yang terbaik kepada kerjayanya. Saya sentiasa memberi idea yang segar kepadanya. Saya juga cuba membawa watak seorang sahabat yang dinamis selain daripada saya mencuba untuk menjadi seorang isteri solehah kepadanya.

Selain dari sokongan yang diberikan oleh ayahanda, saya tahu suami saya punya semangat yang tinggi dalam kemahirannya. Dia seorang yang berkeyakinan tinggi di atas apa yang dia mahukan. Dia sentiasa yakin dengan setiap keputusan yang dibuatnya. Tidak semua saya boleh bersetuju dengan segala tindakannya, namun saya berani memberi kerelaan kerana saya tahu rasional dia berbuat demikian. Saya iring dengan teguran-teguran yang membina agar dia tidak tersasar haluan. Saya mahu saya sendiri berfungsi adil kepada rakyat Kelantan kerana suami saya mensasarkan sesuatu yang lebih baik kepada mereka. Saya bangga kerana setiap apa yang dia lakukan adalah untuk kesejahteraan masa depan rakyat Kelantan. Saat itu, saya membina keyakinan yang lebih baik bahawa ini adalah keputusan terbaik ayahanda kerana dengan pengetahuan politik yang lumat, beliau tahu apa sebenarnya yang beliau mahukan. Bukan sahaja kecemerlangan akademik menantunya itu, bahkan lebih dari itu, iaitu sebuah keikhlasan untuk patuh dan taat pada setiap kemahuannya.

Tidak perlu untuk saya menutur kata bahawa saya menyokong segala gerak kerjanya, cukup sekadar saya menghargai kehidupannya yang sibuk. Saya tahu dia seorang yang kuat semangat dan saya juga tahu dia bekerja sehingga lewat pagi kerana sebuah kerelaan.

Namun sebuah impian yang tinggi tidak mudah kesampaian. Ia hampir karam di tengah jalan. Suami saya diserang fitnah bertalu-talu, tempiasnya memercik kepada ayahanda tercinta. Tidak berhenti di situ saja, ia terus menjalar menjengah nama bonda, saya sendiri, anak-anak, dan sesungguhnya saya sungguh bersimpati kepada nasib kakitangan PMBK yang turut dicerca sedemikian rupa. Saya merakam simpati kepada situasi yang tidak terduga ini. 

Nasib masih menyebelahi kami kerana masih ada sokongan yang kuat buat kami. Terima kasih kepada ayahbonda kerana mempusakakan kepada saya semangat yang kental. Ayahanda tegar bertahan dengan keputusan, bonda meraih kekuasaan tuhan. Saya bertahan dengan sebuah pengharapan. Namun masih samar kelihatan jalan keluar dari kemelut ini. Suami saya tetap bertahan melawan arus yang kian mencengkam. 

Ada saatnya ketika itu saya sekeluarga bersedih. Sebuah kerumitan buat kami semua. Namun kami sentiasa optimis masih ada sinar di penghujung cerita ini. Kami diuji, dan kami cuba menerima ujian ini dengan redha. Datangnya kami daripada sebuah keluarga yang berilmu dan beriman. Kami tahu benar untuk membezakan yang mana kawan dan yang mana lawan. Namun ia sukar, kerana kami terpaksa melawan musuh yang bergelar kawan. Kawan yang makan kawan. Kawan yang menggigit dalam diam, antara sedar dengan tidak, dia terus menghadam, sehingga terjadilah seperti hari ini…

KEMELUT

Pada hemat saya, isu PMBK tercetus hasil dari perselisihan peribadi. Ada seorang kakitangan yang tidak berpuas hati dengan gaji yang ditagihnya untuk menjadi seorang bos di anak syarikat PMBK. Ia bukan masalah luaran yang besar tapi masalah dalaman yang hanya membabitkan seorang kakitangan sahaja. Seorang sahaja! Jawapannya mudah, gaji yang ditagihnya adalah terlalu tinggi, lebih tinggi dari gaji bos PMBK.

Makin hari dia membuat onar demi onar. Dia mula membuat rancangan demi rancangan. Serangannya sering menjadi kerana ia kejahatan yang dirancang rapi. Lebih-lebih lagi dia mempunyai back-up yang kukuh dari seorang ‘bos lain’. Makan gaji dengan orang lain, bekerja untuk orang lain. Inilah masalahnya!

Tidak perlu diperkenalkan lagi, namanya sudah masyhur satu alam, semasyhur nama suami saya sendiri. Dia sendiri yang mencipta kemasyhuran itu. Dia sendiri yang membuat publisiti murahan itu. Tanpa sebarang iklan. Tanpa sebarang bayaran. Percaya saja jika anda mahu. Tapi, jika anda seorang yang WARAS, AWAS! ada perangkap di hujung pena itu. Seorang yang digelar Kickdefella berjaya membawa semua watak yang diarahkannya sendiri. Mahu jadi apa? Seorang gila? Kurang siuman? Tiga suku? Katakan saja. Semestinya anda tidak kempunan untuk menjiwai peranannya itu. Namun saya masih reserve, kerana saya tahu dia seorang yang kreatif.

Apa yang saya tahu dia seorang umno. Kalangan rakan siber saya tidak menyebut umno, tapi lebih glam katanya jika disebut umngok! Saya tidaklah berminat untuk mengetahui detail tentang dirinya, tapi saya tahu dia bekerja untuk seorang Exco Kerajaan Kelantan. Pada awal kemunculannya di Kelantan, saya begitu tertarik dengan buah tangannya menghasilkan sebuah buku – yang saya lupa tajuknya – yang memaparkan pelbagai gaya ayahanda saya dalam pelbagai acara yang dihadirinya. Itu dulu. Sekarang lain. Kreatifnya itu sudah tersasar. Kali ini dia bukan lagi menghasilkan sebuah buku, tapi sebuah…filem barangkali…yang terlalu banyak dongengnya yang langsung tidak berpijak di bumi realiti.

Saya sendiri mengagumi hasil seninya terlebih dahulu sebelum mengenali empunya diri. Pertama kali saya mengenalinya ketika saya menemani suami yang mahu mencari samping untuk di pakai pada hari raya, kebetulan dia dan isterinya juga begitu. Tanggapan pertama saya, dia seorang yang baik walaupun saya agak terkejut melihat kepada isterinya, sungguh daring bagi rakyat Kelantan. Tapi jika ia boleh dikatakan satu fesyen, masih lagi boleh dimaafkan. Namun jika dilihat dari sudut agama, ia tidak menurut perintah tuhan. Dengan kata lain, berdosa. 

Saya pernah diberitahu dia peminum arak tegar. Hearsay…so, jangan percaya sehingga saya dan anda melihatnya sendiri, ok…? Tapi mabuknya dalam penulisan sungguh menjadi-jadi. Semuanya bagaikan sel-sel otaknya telah rosak teruk jika dia benar-benar seorang peminum. Kesian…Hanya orang yang mabuk juga yang boleh percaya apa yang ditulisnya.

Jangan cuba membuka aib orang jika aib sendiri sudah tidak tertanggung badan. Semua orang ada aibnya, maka berpada-padalah! Kami yang dididik secara Islam tidak betah untuk bercakaran bagi membuka aib masing-masing, tapi adakalanya syaitan itu terlalu kreatif. Kami takut digoda sehingga melebih-lebih membuka aib saudara seIslam. Jangan sehingga perlu disaman, nanti anda pula diisytihar bankrupt. Tapi tunggulah masanya, kebenaran itu akan bersinar jua. Kami masih boleh bersabar walaupun sabar kami kian menipis. Hidup ini ada maruahnya! Tunggulah harinya! Kami yakin Allah itu Maha Adil. Jika kami tidak mampu membalasnya, kami berkeyakinan penuh bahawa balasan Allah itu adalah sebaik-baik pembalasan.

Jangan kerana satu isu picisan, anda menjadi kurang siuman. Jadilah seorang manusia yang adanya dikagumi, hilangnya ditangisi. Datanglah Kickdefella mengadap suami saya. Suami saya sudah menjemputnya terlebih dahulu di suatu ketika yang harinya masih mampu dibilang perginya. Tapi tiada pula datangnya. Dayuskah anda? Pengecutkah anda sehingga seringkali bertukar ID dalam blog sendiri?

Anda mampu menjadi seorang yang bertuah kerana anda mudah untuk menjenguk Tok Guru. Alangkah beruntungnya jika anda tahu merebut peluang keemasan ini. Tapi sebaliknya, anda sendiri memilih untuk rugi di dunia, jika dunia itu konsisten ke akhirat, maka rugilah juga anda di sana. Tidak terdetikkah di hati anda rasa sedikit bersalah? Jangan pula menyalahkan orang yang sudah tentu salahnya itu sudah terang kelihatan, tapi di mana letaknya akal waras anda? Fikir-fikirkanlah jika masih ada sel otak anda yang masih baik berfungsi.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menyokong perjuangan kami. Terima kasih kepada ayahbonda yang banyak mendoakan kesejahteraan kami.

Tahniah kepada suami saya yang sentiasa taat dan patuh kepada setiap butir bicara ayahanda. Saya sentiasa disisinya untuk sentiasa menyokong kebenaran yang dipertahankannya. Hidup ini ada maruahnya. Berdiam diri bukan bermakna kalah. Berbuat bising bukan satu kemenangan. Diamlah untuk berbicara kepada tuhan yang Maha Mendengar.

Takziah kepada manusia hebat pembentang kejahatan. Usah berselindung disebalik wartawan-wartawan yang berbayar. Walaupun bunga tahi ayam itu cantik, ia tetap busuk!

Buat suami saya, lapangkan hati, tenangkan fikiran. Saya percaya masanya tidak lama untuk sebuah kebenaran tercipta. Berundurlah setapak dengan bermaruah untuk menjangkau terjahan yang lebih jauh. Saya kagum! Tidak sia-sia membiarkan kosong kerusi panas di Darul Digital, kerana jika diisi, skripnya mungkin lebih parah. Sedarlah sahabat semua bahawa Kickdefella itu penipu besar di abad ini. 

Saya mungkin tidak terlepas dari sebarang kutukan, tapi saya sudah bersedia demi sebuah kebenaran yang perlu dinyatakan. Demi untuk kami sekeluarga. Ini adalah jihad saya. Saya punya kuasa jemari untuk meluahkannya. 

Suami saya adalah pemimpin saya. Dia ketua keluarga bagi rumahtangga saya dan saya punya hak untuk mempertahankannya. Andai dia didapati bersalah, ada hukuman menantinya. Tapi untuk berserah kalah, itu bukan jantannya.

Fitnah ini melingkari kami sudah hampir tiga minggu. Saya mengharapkan ia beransur pergi sebagaimana perginya banjir dari bumi Kelantan ini. Suami saya masih muda, masih bersemangat dalam mencapai impiannya. Saya optimis masih ada peluang untuknya melangkah jauh ke hadapan, meninggalkan hari ini dengan sebuah kejayaan. Saya tetap teguh di sisinya hingga ke akhir hayat kami. InsyaAllah terbentang luas rezeki untuk kami.

Ini luahan hati seorang isteri… 

Untuk ayahanda tercinta, terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami. Menantu ayah ini adalah pilihan terbaik sebenarnya. Tapi apakan daya…Terima kasih ayah kerana menerajui bumi Kelantan yang mana keberkatannya terserak kepada zuriat kami. Kepada bonda, terima kasih atas segala-galanya. Anakanda tahu bonda banyak menitis air mata mendoakan kesejahteraan kami…

-------------------------------

Saya yakin sidang pembaca lebih arif menilai .........

Wassalam ...