Thursday, October 29, 2009

ADUN keempat keluar PKR

Seorang lagi wakil rakyat PKR meninggalkan parti itu dan menjadi ADUN bebas - kali ini di Selangor selepas dua di Perak awal tahun ini dan seorang di Kedah pada Ogos. 

ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah, sejak beberapa bulan lalu menimbulkan spekulasi bakal menyertai Umno, membuat pengumuman itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebentar tadi. 


Beliau sejak sekian lama menimbulkan masalah dalam parti itu apabila didakwa tidak menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat di situ.

Pagi ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengusulkan kepada PKR agar mendesak Badrul Hisham melepaskan jawatan wakil rakyat.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar hari ini, kerajaan Selangor prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

Tindakan Badrul Hisham ini mencemarkan lagi imej PKR yang kini sedang bergelut dengan beberapa konflik dalaman yang negatif berhubung kepemimpinan di Sabah dan juga spekulasi peletakan jawatan Setiausaha Agungnya Datuk Salehuddin Hashim.

Transformasi UMNO Atau Transformasi Diri Sendiri?

Di bawah ini disiarkan sebahagian kenyataan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang dilaporkan oleh BERNAMA. Kata kunci dalam kenyataan beliau adalah “transformasi sikap, transformasi keahlian UMNO, dan pandangan 1Dunia.”

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini berharap pindaan perlembagaan yang dijadual dibentangkan pada perhimpunan agung khas UMNO Khamis ini turut menuntut perubahan sikap semua para perwakilan khususnya Pemuda.

''Saya istilahkan perhimpunan Pemuda dan perhimpunan agung sebagai satu perhimpunan transformasi di mana perubahan bukan hanya berlaku kepada peraturan dan undang-undang dalam perlembagaan tetapi juga melibatkan kompas politik kita.

''Harapan kita bahawa pindaan ini akan mendorong kepada seluruh keahlian terutama Pemuda UMNO untuk membuat transformasi sikap kita. Transformasi perlembagaan sahaja tidak mengubah segala-galanya dan kita perlu kepada transformasi keahlian itu sendiri,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di Menara Dato' Onn di sini.

Khairy berkata, mesyuarat hari ini juga menyentuh mengenai bagaimana Pemuda dapat memainkan peranan mereka dalam menjayakan gagasan 1Malaysia.

''Kita mesti mempunyai pandangan 1Dunia iaitu satu pandangan politik yang lebih terbuka yang boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia. Kita kena tunjuk kepimpinan Pemuda UMNO dan UMNO bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,'' katanya.


Perkataan transformasi lazimnya membawa erti dan implikasi yang positif. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan “transformasi sikap”? Daripada pengamal politik wang menjadi penentang politik wang? Daripada pengamal kronisme kepada penentang kronisme? Daripada kodong dapat cincin jadi lilin membakar diri?

Apa pula maksud ”transformasi keahlian”? Daripada ahli UMNO yang boleh dirasuah kepada ahli pembenci rasuah? Daripada ahli yang menentingkan diri kepada ahli yang prihatin terhadap penderitaan rakyat? Daripada bergelumang dengan kepura-puraan jadi ahli yang jujur dan ikhlas kepada perjuangan parti?

Akhir sekali, apa ertinya ”pandangan 1Dunia”. Universalisme? Globalisme? Tidak payah cemburu dengan jiran yang berniat buruk terhadap negara? Meritokrasi? Demokrasi liberal? Liberal internasionalisme? Postmodernist? Konstruktivist? Beri betis, peha, dan semuanya kepada sesiapa sahaja bukan Melayu yang memintanya?

Bagaimanapun, sebelum banyak pihak ikut melalut dengan retorik dan lambongan idea bombastik yang indah kabar dari rupa, sama-samalah hayati sebahagian daripada Perlembagaan UMNO seperti berikut:

FASAL 3: ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara. 

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

Tuesday, October 13, 2009

Pemuda Umno tangani pengangguran

Akademi Pemuda Umno dan Atcen Sdn Bhd hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi program latihan dan penempatan
semula pekerja bertujuan untuk mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Pengerusi akademi itu Khairul Azwan Harun berkata pihaknya kini dalam usaha memohon dana daripada Kementerian Sumber Manusia menerusi pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah lebih RM2 juta bagi program itu.

Dengan sasarannya adalah siswazah menganggur dan pekerja yang diberhentikan, program itu akan melatih seramai 300 peserta sebagai pengendali pusat hubungan bertauliah yang dijangka bermula Januari depan.

"Akademi Pemuda akan bekerjasama dengan kepimpinan Umno negeri dan bahagian untuk mengenalpasti peserta yang layak dan berkebolehan.

"Setiap peserta akan juga ditanggung sepenuhnya termasuk menerima elaun bulanan," katanya selepas majlis menandatangani MoA yang disaksikan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya menyambut baik kerjasama kedua-dua pihak dan menyifatkannya sebagai agenda penting untuk menyelesaikan masalah penggangguran di negara ini di kalangan generasi muda.

"Selepas mendapat ijazah dan diploma, masih tak dapat pekerjaan tetap dengan kelayakan mereka dan apabila perkara ini berlaku, mereka melihat kerajaan, seolah-olah ekonomi tak diurus dengan baik kerana mereka tidak dapat pekerjaan tetap dan yang diharapkan.

"Oleh itu, akan timbullah rasa tidak puas hati dan rasa itu akan diterjemahkan pula dalam bentuk politik," katanya.

Khairy berkata industri pengendalian hubungan kini dilihat sebagai sektor yang boleh memberi nilai tambah kepada ekonomi negara berbanding sektor tradisi seperti sektor pembinaan.

"Diharap melalui program ini, kita akan dapat melatih lebih ramai lagi dan apabila ditempat semula (dapat pekerjaan) sebagai pekerja berpengetahuan, mereka akan berterima kasih kepada Umno dan kerajaan, yang dapat menyelesaikan masalah pekerjaan yang tidak menentu pada masa ini," tambahnya.

Ahli Lembaga Pengarah Atcen Yandaro Al Amien Yanizar dalam ucapannya berkata sehingga kini terdapat kira-kira 600 pusat pusat panggilan di negara ini yang menyediakan 32,000 peluang pekerjaan dan kadar ini dijangka meningkat sehingga 17 peratus tahun depan.

"Menerusi program ini, calon yang berkelayakan akan dipilih dan akan ditempatkan di pusat panggilan di Atcen (untuk menjalani latihan)," katanya. 

Sunday, October 11, 2009

Tan Sri Isa Menang DUN Bagan Pianang


8pm Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN berjaya mengalahkan PAS dengan majoriti lebih besar, 5,435 undi.

Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 8,013 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula meraih hanya 2,578 undi. 

Undi rosak pula 223 daripada keseluruhan 11,170 undi yang diperolehi hari ini. 

Pada pilihan raya umum 2008, rekod terburuk BN, parti pemerintah itu hanya meraih majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya umum sebelumnya, prestasi BN yang paling baik sejak merdeka, ia memperolehi 4,411 undi.

Kejayaan BN menggandakan jumlah majoriti kali ini berjaya menebus maruah parti itu yang selama ini tercalar akibat kegagalan memenangi sebarang pilihan raya kecil di Semenanjung sejak sembilan kali ia diadakan.

BN berjaya menebus ketewasannya di tiga daerah mengundi pada Mac tahun lalu: Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. 

Kemenangan mantan menteri besar Negeri Sembilan itu, selain membuktikan ketokohannya masih kukuh walaupun tercalar dengan isu rasuah, juga menunjukkan pengundi bukan Melayu berpatah balik bersama BN.

Di samping itu, BN juga menang di semua lapan daerah mengundi - termasuk tiga daerah yang dimenangi pembangkang pada 2008, iaitu Pekan Siliau, Ladang Atherton dan Sua Betong.

Begitu juga dengan undi pos di mana majoriti yang dimenangi BN, iaitu 2,920 undi adalah dua kali ganda berbanding 1,891 undi pada 2008.

Dalam pilihan raya kecil ini, BN mendapat 3,521 undi berbanding 3,080 undi pada 2008. Manakala undi pos yang diperolehi PAS merosot kepada 601 undi berbanding 1,189 undi yang diperolehinya pada pilihanraya umum tahun lalu.

Sekitar Pilihanraya Bagan Pinang