Sunday, March 29, 2009

Khairy Sedia Terima Teguran Demi Matlamat Pemuda

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata beliau sedia menerima teguran semua peringkat kepimpinan UMNO agar matlamat pergerakan sayap di bawah kepimpinannya tidak tersasar dari landasan sebenar. 

Katanya lagi teguran itu perlu terutama bagi membolehkan semua ahli Pemuda dapat bersatu hati dan mempertunjangkan matlamat demi agama, bangsa dan negara. 

"Saya kerdil dan insaf untuk memimpin sayap. Banyak yang perlu dipelajari untuk menjayakan pergerakan Pemuda. 

"Pemuda harus diberi pedoman, kalau tak kena tegur-tegur saya, perbetulkan saya supaya saya tidak tersungkur dan Pemuda tidak tersasar," katanya dalam ucapan penggulungannya sebagai Ketua Pemuda UMNO ang baru di Dewan Merdeka di sini, hari ini. 

Pada masa yang sama beliau turut menyatakan pendekatan yang akan diambil bagi menarik sokongan golongan muda terhadap UMNO. 

"Kita akan mengadakan dialog, perbincangan agama dan sukan untuk menarik sokongan anak-anak muda. Anak-anak muda ini akan kita dampingi sebagai rakan untuk memberi penjelasan kepada mereka dan menyusun langkah-langkah untuk melembutkan hati mereka," ujarnya. 

Dalam ucapan penggulungannya juga beliau turut merayu kepada Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Khir Toyo supaya bersama membantunya merapatkan semula barisan pergerakan Pemuda. 

"Khidmat dan tunjuk ajar Mukhriz dan Mohd Khir amat diperlukannya. Walaupun mungkin selepas ini kedua-dua mereka akan meninggalkan barisan Pemuda, saya merayu mereka membantu saya menggembalikan kekuatan Pemuda", ujarnya.

Pelan Pemutihan UMNO Banteras Gejala Negatif – Razali

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Johor hari ini menggesa UMNO melaksanakan Pelan Pemutihan yang berteraskan nilai-nilai Islam bagi membanteras nilai-nilai menyimpang yang mulai menular dalam parti itu. 

Beliau berkata UMNO ketika ini dicengkam dengan pelbagai nilai yang bertentangan dengan budayanya seperti politik wang, cantas-mencantas dan fitnah-memfitnah. 

"Jika wang digunakan untuk mendapat tempat, maka berputarlah wang tadi-- matlamatnya wang, caranya wang, dipilih sebab wang, memilih untuk mendapat wang. 

"Apa yang diambil kira ialah sama ada perjuangan itu bakal mendapat habuan atau kontrak," katanya. 

Gesaan itu dibuat ketika membentangkan usul terima kasih ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis. 

Tegasnya lagi Pelan Pemutihan merupakan soal paling asas untuk membanteras semua gejala negatif itu kerana nilai-nilai moral dan etika sejagat sahaja tidak mampu membendungnya tanpa bersanggakan nilai-nilai Islam. 

Katanya peraturan UMNO bagi mengawal soal moral dan integriti anggota parti juga adalah tidak memadai memandangkan perkara berkenaan integriti itu menyentuh soal keperibadian.

Pemuda Diajak Rapatkan Barisan Dalam Semangat Setiakawan


Ketua Pemuda UMNO yang baru dipilih Khairy Jamaluddin dalam ucapan penangguhannya berkata, dengan semangat setiakawan yang menjadi tema kempennya, beliau berjanji tidak akan meminggirkan mana-mana pihak dalam barisan kepimpinannya. 

Justeru beliau mengajak semua ahli pergerakan itu bersama menghadapi cabaran getir pada waktu ini. 

"Tak bermakna yang tak bersama saya akan dipinggirkan, semangat setiakawan akan sentiasa diterapkan. Semua ahli Pemuda perlu merapatkan semula barisan dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar. 

"Kita akan berhadapan dengan tugas berat iaitu berhadapan dengan pilihan raya kecil nanti," katanya. 

Semua ahli pergerakan itu kata beliau mesti bersama untuk meneruskan perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. 

"Oleh itu saya merayu, kepada 'Pemuda Berani', berdirilah bersama saya, apabila kita masuk ke kubu dan berdepan dengan pembangkang di Parlimen, pilihan raya dan di mana saja, 'Pemuda Berani' perlu berada bersama saya. 

"Kepada 'Berani Berubah', apabila kita memikul amanah seperti yang diletakkan di bahu kita seperti mana yang dituntut Timbalan Presiden semalam...tuan-tuan mesti bersama saya untuk mengubah UMNO. 

"Saya merayu kepada semua 700,000 ahli Pemuda termasuk pemimpin di dewan ini, marilah bersama-sama atas semangat 'Setiakawan' kita mara untuk bangsa, agama dan negara," katanya. 

Beliau seterusnya berazam mewujudkan barisan Pemuda yang berani menuntut perubahan dan semangat setiakawan.

Monday, March 23, 2009

BAGAIMANA HENDAK REFORMASIKAN UMNO?

Sejak kebelakangan ini ramai sahabat-sahabat menghantarkan komen meminta saya memberikan cadangan mengenai reformasi UMNO. Saya tidak termampu berbuat demikian kerana kostrain waktu. Kalau terluang masa pun saya tidak akan kemukakan cadangan itu kerana saya adalah generasi yang turut terlibat dengan keadaan UMNO mutakhir, sementara UMNO yang perlu direformasikan adalah milik generasi muda seluruhnya.

Oleh itu saya persilakan sahabat-sahabat blog ini untuk mengirimkan cadangan masing-masing untuk saya halusi dan publishkan sehari dua sebelum PAU 2009 bermula. Sampaikanlah cadangan anda secara ikhlas, elakkan emosi dan ketepikan sentimen negatif.

Sebagai panduan, cadangan anda mungkin boleh dikategorikan kepada tajuk-tajuk berikut: falsafah dan matlamat perjuangan; aspirasi generasi muda terhadap UMNO; program perjuangan yang yang paling komprehensif dan diterima ramai; perlukah seluruh anggota UMNO direorientasikan semula akidah perjuangan mereka; apakah ciri-ciri pemimpin UMNO; perlukah pucuk kepimpinan tertinggi UMNO di bahagian-bahagian diwujudkan atas perlantikan; apakah larangan dan dorongan yang diperlukan; perlukah sistem pemilihan kepimpinan UMNO pusat dirobah secara struktural; perlukah sistem pemilihan calon pilihanraya daripada UMNO juga dibuka kepada seluruh orang Melayu walaupun bukan ahli UMNO, tetapi simpatisan UMNO; dan sebagainya.

Saya kemukakan cadangan ini kerana UMNO tidak bersalah. Tetapi sesetengah kalangan UMNO yang sebenarnya menyebabkan UMNO jadi sedemikian rupa pada hari ini. –

Pemuda UMNO bantu kos pembedahan Nurul Nasuha

KUALA LUMPUR 22 Mac - Penderitaan bayi berusia lima bulan, Nurul Nasuha Khairon yang menghadapi jantung berlubang mendapat perhatian daripada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO.

Kos pembedahan sebanyak RM28,000 yang diperlukan berjaya diselesaikan hasil sumbangan pihak sekretariat itu sendiri dan beberapa individu serta syarikat yang prihatin.

Pengerusi sekretariat itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya terpanggil membantu setelah melihat laporan penderitaan Nurul dalam akhbar baru-baru ini.

"Sebelum pihak kami tampil untuk membantu, saya telah diberitahu oleh ahli keluarganya bahawa hanya RM150 saja dapat dikumpulkan daripada orang ramai.

"Atas sebab itu, kita cukup sedih dan bersungguh-sungguh membantu adik Nurul Nasuha ini kerana pembedahan terpaksa dilakukan secepat mungkin demi menyelamatkan nyawanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada bapa Nurul Nasuha, Khairon Waqiman @ Khalid, 38, di Pusat Perubatan Gleneagles di hari ini.

Tambah Abdul Azeez, sumbangan selebihnya akan diserahkan dalam masa terdekat ini setelah berjaya mendapatkan beberapa penderma yang prihatin.

"Orang ramai dialu-alukan memberi sumbangan kepada Nurul Nasuha, jangan hanya sibuk memberikan sumbangan kepada penderitaan kepada mereka yang berada di luar negara. Orang di dalam negara kita juga perlu dibantu," jelasnya.

Selain itu, beliau bercadang menemui pihak Kementerian Kesihatan bagi mempercepatkan bantuan bagi kes yang serupa pada masa akan datang.

Bagi ibu Nurul Nasuha, Norhafiza Abd. Karim, 38, beliau bersyukur dengan keadaan kesihatan anaknya yang kini semakin pulih setelah selamat dibedah pada 20 Mac lalu.

"Nasib baiklah kos pembedahan itu berjaya diselesaikan dan kini doktor memberitahu saya serta suami bahawa mereka sedang memantau kesihatan paru-paru Nurul akibat kesan jangkitan," katanya.

Bapanya, Khairon yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Shah Alam dan hanya memperoleh pendapatan bersih RM1,500 sebulan kini mengakui boleh menarik nafas lega.

"Tambahan pula ada tiga anak lagi yang perlu ditanggung, bantuan ini amatlah diharapkan dan saya mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO dan Datuk Azeez.

"Dalam masa yang sama, orang ramai masih boleh membantu anak saya kerana rawatan susulan perlu dijalankan dalam masa tiga ke enam bulan ini," ujarnya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian dengan mendepositkan wang ke dalam akaun Maybank Norhafiza bernombor 162085449144.

Semoga Najib Dapat Team Terbaik

HAKIKATNYA, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan parti yang lemah dan penuh cabaran.

Apa yang beliau hadapi sama seperti yang dialami bapanya, Tun Abdul Razak kira-kira 40 tahun lalu. Ketika itu berlaku Peristiwa 13 Mei 1969. Tidak banyak bezanya antara apa yang berlaku waktu itu dengan sekarang.

Bagi menghadapi situasi yang cukup mencabar itu, Tun Razak mengambil 'singa politik' dari Johor, Tun Ismail sebagai timbalannya.

Gandingan dua singa ini telah menjadikan kepemimpinan UMNO menjadi mantap. Tun Razak dan Tun Ismail telah menangani kegawatan politik dan sosial dengan jayanya.

Kini sesudah 40 tahun, sejarah itu berlalu, waris Tun Razak, Datuk Sri Najib yang bakal ditabalkan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri keenam akan menerajui UMNO dan negara pada April 2009. 

Tidak mudah bagi Najib berseorangan menangani krisis politik dan ekonomi yang dihadapi oleh UMNO dan negara sekarang.

Justeru, selain beliau memerlukan regu kepemimpinan, beliau juga memerlukan satu team (pasukan) kepemimpinan yang kuat. Regu dan pasukan yang Najib perlukan tentunya daripada mereka yang berpengalaman dan berkebolehan dalam politik dan kerajaan.

Tidak ada lagi selepas ini pemimpin tangkap muat dan hanya sekadar bergantung pada populariti semata-mata.

Najib dalam wawancara dengan akhbar arus perdana Ahad lalu sudah membayangkan ciri-ciri pemimpin yang beliau mahukan sama ada sebagai regu mahu pun anggota team kepemimpinannya. 

Ini kerana apa yang bakal beliau hadapi memerlukan satu kebijaksanaan tindakan terutama bagi memulihkan kekuatan UMNO dan mengatasi kegawatan ekonomi negara.

Najib sudah tentu mahu membawa lebih banyak singa dan harimau di atas gunung bagi mendepani cabaran yang ada.

Pemimpin yang hanya mahu menjadi pak turut atau pengampu sudah tidak sesuai lagi sekarang. Kita perlukan pemimpin yang berani dan lantang sesuai dengan kehendak rakyat terbanyak.

Sebab itulah Najib mahukan mereka yang bakal dipilih dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac ini, mereka yang bukan saja diterima oleh UMNO tetapi juga rakyat. Inilah yang perlu difikirkan oleh lebih 2,500 perwakilan dalam pemilihan kali ini. 

Pemilihan kali ini berbeza sama sekali dengan pemilihan sebelumnya. Ini kerana UMNO mendapat presiden baru dan berlaku pemilihan untuk timbalannya.

Setiap mereka yang bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Pemuda, Wanita, Puteri serta exconya tentu sudah 'mengukur baju di badan sendiri'. 

Satu keazaman yang perlu ada pada perwakilan, jika mereka mahu UMNO menjadi bersih dan kelihatan bersih, tolaklah mereka yang rasuah. 

Pilihlah mereka yang benar-benar berkebolehan dan berpengalaman.

Jangan tersalah pilih dengan memilih mereka yang berkepentingan dan hanya mengejar kedudukan. Ingatlah, kini UMNO sudah berada di penghujung jalan.

Hanya tinggal empat tahun saja lagi untuk membuktikan UMNO masih relevan dan diterima rakyat. 

Seluruh rakyat sedang memerhati siapa yang bakal menerajui UMNO. 

Tersalah pilih, mereka akan mengajar kita pada pilihan raya ke-13 nanti.

Sebab itu Najib menyebutkan tiga ciri pemimpin yang beliau kehendaki iaitu pertama pemimpin yang komited kepada perjuangan UMNO lebih daripada diri atau kelompok.

Kedua, bersikap terbuka melakukan perubahan, dan ketiga mesti pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat. 

Maksudnya, apa yang rakyat pandang baik yang harus ada pada pemimpin, maka pemimpin itu sebaik-baiknya dipilih.

Najib telah berlaku jujur kepada perwakilan UMNO, dengan mengatakan beliau mahukan satu pasukan yang berwibawa memandangkan UMNO dan kerajaan menghadapi keadaan yang begitu mencabar.

Jika ahli-ahli UMNO telah memberi kepercayaan kepada Najib untuk menerajui parti, maka adalah wajar mereka memberikan Najib sebuah pasukan yang dimahukannya dengan memilih pemimpin yang berintegriti dan berwibawa bagi masa depan UMNO dan negara.

Khairy dakwa diugut penulis buku


Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, hari ini membuat laporan polis terhadap penulis sebuah buku yang dikatakan mengugut dan memfitnah beliau.

Khairy hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 10.15 pagi bersama empat rakannya termasuk anggota perwakilan Umno bahagian Kota Melaka, Saiful Ridhuan.

Beliau yang ditemui pemberita di perkarangan ibu pejabat polis itu selepas membuat laporan berkata beliau meminta polis menjalankan siasatan terhadap buku tulisan seorang penulis politik tanahair, lapor Bernama

"Tujuan utama saya buat report (polis) ini adalah disebabkan kandungan buku ...yang ternyata memfitnah saya. Buku ini adalah sebenarnya satu usaha secara sengaja menjatuhkan imej dan karier politik saya," katanya selepas hampir dua jam membuat laporan itu. 

Khairy berkata beliau juga tidak pernah berjumpa penulis buku itu sebelum ini dan pertama kali mereka bertemu adalah di pejabatnya 17 Februari lepas.

"Beliau (penulis) datang ke pejabat saya di sini (Kuala Lumpur) 17 Februari lepas, berjumpa dengan saya dan mengugut saya agar membayar RM100,000 atau buku itu diterbitkan.

"Bagaimanapun saya enggan kerana saya tidak perlu bayar untuk buku tersebut dan saya tidak mampu untuk bayar," dakwa Khairy. 

Menurut Khairy lagi, penulis terbabit turut mendakwa bahawa penerbitan buku itu ditaja musuh-musuh politik beliau dalam Umno.

"Selain itu, saya juga mendapat tahu buku ini juga telah diedarkan kepada beberapa anggota perwakilan Umno sejak minggu lepas," katanya.