Monday, April 27, 2009

Pemuda Diminta Libatkan Diri Dengan NGO Bukan Sekadar Jadi Ahli Parti

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim berkata ahli pergerakan itu tidak boleh sekadar menjadi ahli parti semata-mata sebaliknya perlu membabitkan diri di dalam pelbagai pertubuhan khususnya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). 

Jelasnya dengan cara ini ahli Pemuda akan terdedah dengan masyarakat sekaligus membolehkan mereka memahami sebarang tuntutan yang diinginkan penduduk di sesebuah kawasan. 

"Mereka (ahli Pemuda) perlu sertai aktiviti sampingan bagi mendekatkan diri mereka dengan masyarakat dan tidak hanya berada dalam kelompok sendiri. Ini akan memberian mereka nilai tambah. 

"Pada masa yang sama kita juga bersikap terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana jua NGO dalam sebarang aktiviti yang dijalankan", katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan perasmian penutup program Perhimpunan Pemotoran Generasi Belia Benci Dadah anjuran Pemuda UMNO Pekan dan Pekan Pahang Motorsports Club (PPMC) di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, Ahad Petang. 

Tambah beliau lagi program yang dianjurkan Pemuda Pekan dan PPMC ini adalah salah satu contoh kerjasama baik antara Pemuda dengan NGO dalam usaha memastikan anak-anak muda dihindari dari terjebak dengan aktiviti-aktivit tidak sihat. 

Justeru katanya Pemuda akan membincangkan kaedah yang sesuai bagi membolehkan pergerakan itu dapat bekerjasama dengan NGO yang aktif bagi menampung keperluan yang tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan. 

"Pada masa ini, Pemuda memang terbabit dalam aktiviti sampingan seperti itu tetapi ia tidak khusus kepada NGO tertentu. 

"Kita membincangkan kaedah yang sesuai bagi membolehkan pergerakan ini memberi bantuan dalam bentuk yang lebih tersusun kepada individu atau golongan yang memerlukan", katanya. 

Sebelum itu pada majlis berasingan di East Coast Mall Kuantan, beliau turut melawat Kempen Hari Kesedaran Awam untuk Kanak-Kanak Autisme anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kanak-Kanak Autisme Kuantan. 

Selain mengumpulkan dana persatuan terbabit mengadakan pameran dan jualan hasil kraftangan kanak-kanak autisme dan barangan cenderahati daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kanak-Kanak Autisme. 

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuantan, Mohamad Suffian Awang yang juga Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kanak-Kanak Autisme Kuantan dan Ketua Pemuda UMNO Pekan, Mohamad Jeffree Wahab. 

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, Pemuda akan menganjurkan kursus berkaitan kepemimpinan, disiplin dan jati diri bagi menilai kembali keberkesanan penubuhan biro di bawah pergerakan itu. 

"Kita akan mengadakan sesi percambahan minda bagi melihat bagaimana Pemuda boleh membantu dengan membuat penilaian mengikut kes kerana masalah yang dihadapi di setiap negeri adalah berbeza serta memerlukan pendekatan berbeza," katanya. 

Beliau berharap melalui pembabitan secara tersusun, Pemuda bukan saja mempunyai pengetahuan mengenai golongan yang memerlukan tetapi dapat menjalankan tanggungjawab secara lebih bersemangat.
sumber: web Pemuda UMNO Malaysia

No comments:

Post a Comment