Friday, November 13, 2009

Pemuda Sedia Kumpul Bukti Ada Unsur Rasuah Biaya Nik Aziz Tunai Haji

Kota Bharu -- Pemuda UMNO Kelantan sedia mengumpulkan bukti berhubung penajaan sebuah syarikat kepada Menteri Besar negeri itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengerjakan haji yang dilihat mempunyai unsur rasuah.


Ketua Pemudanya, Anuar Safian berkata berdasarkan makluman yang diperolehi setakat ini penajaan tersebut dibuat oleh syarikat berkepentingan yang mempunyai kaitan dengan projek kerajaan negeri Kelantan.

"Kita difahamkan pembiayaan untuk Nik Aziz mengerjakan haji itu dibuat oleh seorang ahli perniagaan yang bernama Nordin Awang yang merupakan pemilik syarikat Abroad Technologies Sdn Bhd. 

"Namun berdasarkan maklumat tertentu, syarikat Abroad Technologies Sdn Bhd milik Nordin kini telah dijual kepada seorang tauke Cina. 

"Syarikat itu diberikan hak eksklusif untuk memasang papan iklan di seluruh negeri Kelantan", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau yang juga Ketua Pemuda Kubang Kerian mempersoalkan, tidakkah pihak yang membiayai perbelanjaan haji tersebut mempunyai kepentingan terhadap projek yang dikendalikan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui oleh menantu Nik Aziz sendiri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tawaran yang diberikan kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama isteri untuk menunaikan haji pada 17 November ini. 

Difahamkan, pembiayaan haji yang melebih RM400,000 tersebut yang dibuat melalui TH Travel melibatkan Nik Aziz dan isteri, Arif Fahmi dan isteri, Setiausaha Sulit Nik Aziz dan Nordin serta isterinya.

Selain itu, berdasarkan maklumat yang diperolehi pembiayaan haji Nik Aziz dan keluarganya itu bagi setiap orang ialah sebanyak RM65,000.

Tegas Anuar lagi, sebarang pemberian yang diberikan oleh mana-mana pihak kepada Menteri Besar dalam apa jua bentuk boleh dianggap sebagai rasuah.

"Apatah lagi jika sesebuah syarikat itu yang ada kepentingan dalam pengagihan projek dan sebagainya, akan menambahkan lagi asas dakwaan rasuah tersebut", ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut membidas pihak-pihak tertentu yang mengaitkan isu berkenaan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Takkan setiap perkara buruk yang beraku terhadap mana-mana pemimpin mereka akan dikaitkan dengan kita. Ini merupakan satu tuduhan yang tidak masuk akal", katanya.


dipetik drp web PemudaUMNO Malaysia

No comments:

Post a Comment