Sunday, August 23, 2009

Exco Kedah keluar PKR, sokong PM


ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh bertindak keluar PKR dalam satu sidang media mengejut di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini dan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau, yang juga exco pelancongan Kedah, dilaporkan mengisytiharkan sebagai ADUN bebas tetapi tidak akan melepaskan portfolio ahli majlis mesyuarat kerajaan.


Pemangku ketua PKR Padang Serai, Jamaludin Abu Hassan, juga bertindak meninggalkan parti itu dan seterusnya mengumumkan membubarkan bahagian tersebut.

Di sidang media di Hotel Legend kira-kira 11.30 pagi ini, beliau dilaporkan berbuat demikian dengan alasan "hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan PKR dan perjuangan parti itu tidak seiring dengan matlamat asal penubuhannya."

Menurut Bernama, Mohd Radzhi berkata keputusannya sebagai menyatakan sokongan pada tindakan pembubaran bahagian tersebut seperti diumumkan oleh Jamaludin.

"Sebagai wakil rakyat, saya bersimpati dengan keputusan itu (pembubaran) kerana mereka (anggota bahagian) adalah orang yang bertanggungjawab memastikan kemenangan saya dalam pilihan raya lepas," beliau dipetik berkata.

Tambahnya, seramai 200 orang anggota biasa dan 14 anggota jawatankuasa PKR bahagian berkenaan menyokong pembubaran itu.

"Saya tidak sanggup lagi berada dalam PKR kerana rasa bertanggungjawab bersama mereka dan sebagai ahli jawatankuasa bahagian, saya turut keluar (parti) bagi menyokong keputusan itu," kata Mohd Radzhi lagi.

Beliau juga dilaporkan berkata, walaupun meninggalkan PKR, beliau akan terus berkhidmat menjadi wakil rakyat di kawasan itu, "di samping terus memberi sokongan kepada kerajaan pusat dan kepimpinan perdana menteri".

Beliau akan terus kekal dengan jawatan exco pelancongan Kedah kerana soal pelantikan exco negeri adalah di bawah kuasa Sultan Kedah, lapor agensi berita itu lagi. 

Menjawab persoalan sama ada beliau dibeli oleh parti politik tertentu, Mohd Radzhi menafikannya.

"Kalau kena beli, saya sudah tentu akan masuk parti yang membeli tetapi sekarang tidak ada mana-mana parti pun yang beli (saya) sebab tu saya bebas," katanya.

Dalam pilihan raya umum 2008, Mohd Radzhi mengalahkan calon BN S Ananthan dengan majoriti 10,323 undi.

Wednesday, August 12, 2009

Nik Aziz tak bantah DAP hina Islam

KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Beliau sebaliknya menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan telah disalah ertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

"DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas tindak tanduk beberapa pemimpin DAP kebelakangan ini yang dilihat menghina Islam.

Nik Aziz berkata untuk meningkatkan kefahaman DAP terhadap Islam, Pas sebagai rakan kepada DAP dalam pakatan pembangkang, mengambil pendekatan memberi penerangan kepada pemimpinpemimpin parti itu supaya mereka lebih memahami Islam.

"Kita mendekati mereka melalui forum, wacana dan perbincangan," katanya.

Nik Aziz juga mempertikaikan tindakan pihak tertentu yang melabelkan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat.

Sebaliknya beliau berkata perkara yang patut dipertikaikan adalah jika berlaku kepincangan dalam pelaksanaan dasar PKR dan bukannya membuat serangan peribadi.

"Kenapa nak serang batang tubuh orang. Sepatutnya seranglah dasar PKR. Saya rasa malu dengan orang Melayu sekarang yang menyerang batang tubuh orang," katanya.BERNAMA

Wednesday, August 5, 2009

Pengkhianat Melayu Saman RM 100 Juta Lagi

Anwar Ibrahim mahu saman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak RM 100 juta kerana memanggil beliau pengkhianat bangsa Melayu. Mengapa Anwar sangat berminat dengan RM 100 juta sukar difahami.


Anwar saman Dr. Mahathir RM 100 juta, Anwar saman ramai lagi semua dengan jumlah RM 100 juta.

Mengapa? Ini adalah kepercayaan karut Fengshui Anwar kononnya 100 juta merupakan nombor "ong" kepada Anwar.

Anwar hanya mahu menutup mulut Tan Sri Muhyiddin Yassin bukannya mahu menang saman beliau. Justeru apa penting "ong" ini kepada beliau susah mahu kita fahami.

Namun hakikatnya dakwaan Tan Sri Muhyiddin bahawa Anwar pengkhianat bangsa Melayu memang benar sama sekali.

Apakah bukti pengkhianatan Anwar terhadap bangsa Melayu?

1. Anwar mengadu-domba bangsa Melayu sejak tahun 1970-an, Mahathir lawan Ku Li, Anwar sendiri lawan Ghafar Baba dan Anwar lawan Mahathir. Semuanya direncana oleh Anwar untuk kepentingan politiknya. Biar orang melayu berpecah asalkan Anwar naik atas.

2. Anwar juga yang memburukkan usahawan dan jutawan Melayu dengan gelaran kronisme ketika beliau mahu menentang Mahathir pada 1998.

3. Berapa banyak saham-saham melalui "pink form" yang digunakan Anwar untuk mendapat sokongan perwakilan UMNO? 

Saham-saham ini sepatutnya diagihkan kepada Bumiputera yang mahu berniaga telah digunakan Anwar untuk mendapat sokongan politik semasa beliau Menteri Kewangan. 

Hasilnya, orang yang mendapat saham ini hanya menjual kembali ke pasaran untuk mendapat wang cepat. Akhirnya kurang pegangan bumiputera di BSKL.

Apakah bukan pengkhianatan kepada bangsa Melayu apabila Anwar mengajar Melayu mendapat wang jalan mudah? Jangan nafikan pengedaran pink form ini. Saifuddin Nasution ketika itu menjadi tukang agih termasuklah saham Hicom. Sekarang apa jadi kepada Hicom?

4. Apakah Anwar bukan pengkhianat bangsa apabila hari ini melaungkan penghapusan dasar pro bumiputera dan bekerjasama dengan DAP dan Hindraf yang terang-terang anti ketuanan Melayu?

5. Apakah Anwar bukan pengkhianat bangsa apabila beliau menyokong Hindraf yang membuat membuat tuduhan bahawa mereka ditindas oleh orang Melayu?

6. Apakah Anwar bukan pengkhianat bangsa Melayu apabila beliau semasa menjadi ketua Pemuda UMNO Malaysia menerima wang daripada Genting Berhad?

7. Apakah Anwar bukan pengkhianat bangsa Melayu apabila membenarkan IOI menguasai sebahagian besar Puchong kerana bapanya menjadi pengerusi proksi kepada sebuah syarikat Cina?

8. Apakah Anwar bukan pengkhianat bangsa Melayu apabila menggunakan media-media asing untuk menghentam Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad untuk tujuan menjatuhkannya?

9. Apakah Anwar bukan pengkhianat Melayu apabila menyokong tuntutan puak kristian terhadap penggunaan perkataan Allah menggantikan kata Tuhan dalam bible bahasa Melayu?

10. Apakah Anwar bukan pengkhianat Melayu apabila memberi bermacam-macam kelebihan kepada Nallakarupan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri?

Banyak lagi persoalan yang boleh dibangkitkan, namun yang pasti Anwar memang pengkhianat Melayu

JEMPUTAN KE KENDURI KESYUKURAN


Assalamualaikum ...... 

Dengan segala hormatnya saya menjemput sahabat-sahabat ke kenduri kesyukuran di kediaman keluarga saya pada hari Isnin, 10 Ogos 2009. Semoga kedadiran sahabat-sahabat akan memeriahkan lagi majlis kami. Majlis bermula jam 12.00 tgh - 7.00 ptg ...

Salam ....

Ariff Hakimi Hj Zulkifli