Saturday, May 30, 2009

Menghurai Makna Prinsip di Manek Urai

Khairy Jamaluddin 

Keputusan pucuk pimpinan untuk bertanding di Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai saya sambut dengan sokongan padu bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional. 

Seperti dengan mana-mana PRK lain, Pemuda BN akan berikhtiar memberikan sumbangan yang terbaik untuk cuba merampas kerusi DUN ini sungguhpun UMNO menyedari hakikat bahawa pihak Pas merupakan penyandang kerusi dan barangkali mempunyai kelebihan untuk menang; kami akan tetap bertanding dengan penuh semangat dan dedikasi.

Sebagaimana maklum pihak Suruhanjaya Pilihanraya baru sahaja menetapkan bahawa penamaan calon pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan akan diadakan pada 6 Julai manakala tarikh pengundian pula pada 14 Julai. 
 
Namun, hanya selang beberapa jam selepas ADUN Manek Urai meninggal dunia pada Jumaat lepas, Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali, dengan rakus dan lantangnya, sudah pun menyarankan agar UMNO tidak bertanding di Manek Urai kerana ia merupakan kubu kuat Pas dan kalaupun UMNO menang, Pas akan kekal memerintah Kerajaan Negeri Kelantan. 
 
Ini amat menggambarkan sikap angkuh dan takbur pihak Pas yang seolah-olah tidak menghormati hak demokratik pihak UMNO dan BN untuk bertanding di mana-mana kerusi yang dikosongkan.

Bagi yang bertanya mengapa pula BN bertanding di Manek Urai tetapi tidak di Penanti, perbezaan antara kedua-dua kes adalah bahawa kerusi DUN Penanti dikosongkan atas sebab peletakan jawatan penyandangnya manakala bekas ADUN Manek Urai kembali ke rahmatullah. 
 
Dalam komen saya selepas keputusan tidak bertanding di DUN Penanti, saya berkeras menyatakan bahawa BN tidak perlu mengikut rentak tari pihak Pakatan Rakyat. Jelas sekali perkara ini tidak bangkit dalam kes DUN Manek Urai.

Maka, prinsip BN dan UMNO adalah jelas. Dalam hal ini, mungkin ada baiknya jika Pas mencerminkan diri dahulu sebelum bersikap angkuh dan riak kepada BN dan UMNO. 
 
Ini kerana saya sedikit tertanya-tanya mengenai prinsip pendirian pemimpin-pemimpin Pas – kenyataan bercanggah YB Husam Musa mengenai Undang-undang Hudud berikutan Wacana Perdana di Kota Bharu tahun lepas adalah satu contoh ketandusan konsistensi Pas.

Malah, dua kenyataan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat pada tahun lepas turut mengelirukan saya. Tidak lama selepas PRU 13, beliau telah mengatakan bahawa tindakan melompat parti adalah kerja orang tidak bermaruah, tetapi pada bulan September pula, beliau seakan-akan mengubah pendirian lantas menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak salah.

Mengambil pendekatan Husnol Dzon, mungkin Tuan Guru terlupa akan kenyataan awalnya. 
 
Sebagai orang yang amat menghormati Tuan Guru, saya yakin bukan niat beliau untuk mengelirukan rakyat sebagaimana sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat yang lain seperti Lim Kit Siang, yang mengambil tindakan semberono bersifat politik murahan dengan menuduh saya melobi untuk perlantikan Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, tanpa asas dan bukti.

Akhir kata, Manek Urai adalah pentas bagi membuktikan prinsip, konsistensi dan iltizam politik BN di dalam amalan demokrasi berparlimen di Malaysia dan bukan seperti pembangkang yang mengamalkan politik hipokrasi dan penuh fatamorgana bagi menggula dan mempermainkan rakyat. 
 
Sumber: Blog Pemuda UMNO Malaysia

Friday, May 22, 2009

ADUN PAS kembali ke rahmatullah


ADUN Manek Urai, Ismail Yaacob menghembuskan nafas terakhir subuh hari ini akibat sakit jantung setelah dimasukkan ke hospital sejak akhir bulan lepas.

Allahyarham, juga timbalan yang dipertua PAS kawasan Kuala Krai, meninggalkan isteri Siti Zaharah Ibrahim dan 10 orang anak.

Ismail, 60, pada awalnya dilaporkan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II sejak 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kaki. 

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut - bawah parlimen Kuala Krai yang kini diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Sewaktu beliau tidak bertanding, calon PAS Mohd Zamzuri Mat Lazim tewas tipis di tangan calon BN Zulkepli Omar dengan 53 undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi (lihat carta di bawah).

Jenazah allahyarham dibawa ke rumahnya di Manek Urai Lama dan disembahyangkan di sebuah masjid dengan diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kira-kira 2,000 orang menziarahi dan turut menyembahyangkan jenazah Ismail sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Manek Urai Lama selepas solat Jumaat.

Ketika menziarahi jenazah tersebut, Speaker DUN Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan kerusi itu, Isnin ini. 

Tambahnya, laporan itu dibuat awal minggu depan kerana hari ini dan
esok merupakan cuti umum bagi Kelantan, sementara Ahad cuti hujung minggu di Kuala Lumpur.

SPR akan bermesyuarat Khamis depan untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN tersebut, lapor Bernama.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mesyuarat diadakan pada hari berkenaan jika surat makluman daripada DUN Kelantan diterima awal minggu depan. 

"Mesyuarat dijangka bermula pada 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian," katanya.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur pagi ini, pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berharap "Umno tidak meletakkan calonnya" seperti pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini. 

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa BN akan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut - pendirian yang sama dikongsikan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hakim: Zambry MB sah Perak


Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.

Gembira dengan keputusan tersebut di Slim River, Zambry menyifatkannya "kebenaran telah tiba."

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.

Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Friday, May 15, 2009

PERINGATAN DARI MUFTI BESAR PERAK

UNTUK SEBARAN UMUM 

Mereka tidak merampas kuasa, cuma mereka ( UMNO ) bagi tahu kepada Tuanku Sultan sekarang BN telah mendapat majoriti ahli dewan kerana 3 adun dari PKR dan DAP telah keluar parti dan menjadi adun bebas dan seorang adun kembali kepada UMNO ! 

Terimalah hakikat itu, tetapi PAS dan DAP tidak boleh terima hakikat, sekarang BN ada 31 ahli dewan. 

Kalau kita mengasihi orang kafir itu adalah itu haram, kita boleh berbaik dengan orang kafir tapi tidak boleh berkasih sayang dengan orang kafir ! 

Kenapa PAS lebih menyayangi orang kafir daripada sayang orang Islam sendiri ? 

Orang Islam PAS sanggup maki hamun, orang kafir kita berpeluk-peluk pula, macam kes Elizabeth Wong memang jelas dia buat maksiat, kenapa ada muslimat PAS dan PKR peluk sampai menangis dan macamana NIk Aziz boleh sokong Elizabeth dalam isu ini sedangkan kita dan Nik Aziz tahu yang DAP tidak akan sokong ISLAM ! 

Tengok Karpal Singh kata apa, langkah mayat saya dulu kalau PAS nak tubuh negara ISLAM ! 

Ketahui lebih lanjut wawancara Dato Seri Harussani Zakaria, Mufti Besar negeri Perak dalam majalah Milenia Muslim keluaran bulan Mei. 

SUMBER : http://dr1221.blogspot.com/2009/05/peringatan-dari-mufti-besar-perak_15.html

Thursday, May 14, 2009

Isu Perak: Dakwaan Mahfuz tidak berasas - KJ

SEREMBAN 14 Mei - Tidak ada 'tangan-tangan ghaib' yang mencampuri urusan Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan terhadap kemelut politik di Perak.

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai reaksi terhadap dakwaan Pas kononnya Barisan Nasional (BN) mempengaruhi keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu pelantikan Menteri Besar Perak.

Sebaliknya beliau berkata, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar yang membuat dakwaan tidak berasas dalam isu tersebut. 

''Dakwaan Mahfuz itu mencerminkan sikap hipokrit pihak pembangkang,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan jawatan Ketua Pemuda UMNO negeri di Wisma UMNO Negeri Sembilan dekat sini hari ini. 

Kelmarin, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Isnin lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah. 

Menurut Khairy, pembangkang tidak memberikan sebarang ulasan sedemikian apabila keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu memihak kepada Mohammad Nizar.

''Namun apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry pada keesokannya, kedengaran suara-suara sumbang mendakwa keputusan itu memihak kepada BN serta terdapat konspirasi di sebaliknya," ujarnya.

sumber: Utusan Online

Sunday, May 10, 2009

Pemuda UMNO Kelantan lakukan perubahan

Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan akan melakukan pembaharuan dalam persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, sebagai langkah pertama, pihaknya turun ke bawah mengenal pasti punca pengundi muda menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, antara punca yang dikenal pasti ialah kebanyakan mereka termakan dakyah Pas bahawa bahawa BN sedang menghadapi masalah dalaman sehingga sukar untuk melaksanakan tugas menguruskan negara. 

"Golongan muda telah dimomokkan oleh persepsi baru terhadap BN sedangkan ini semua adalah masalah sementara yang mampu boleh diatasi. 

"Kita tidak mahu dilihat sebagai individu yang mengulang kaji pelajaran pada saat akhir untuk menghadapi peperiksaan pada esok hari. Sebab itu kita memulakan langkah dari awal lagi," katanya di sini semalam. 

Anuar berkata, pemuda UMNO Kelantan meletakkan prinsip memperkasa bangsa dan agama sebagai agenda utama walaupun pakatan pembangkang menabur janji kepada rakyat dengan prinsip yang boleh menghancurkan Islam, Melayu dan meletakkan institusi beraja dalam keadaan tidak selesa.

Katanya, pihaknya juga akan menjayakan gagasan 'Satu Malaysia' seperti mana yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. 

"Ia dengan memperkasakan pemuda BN kelantan dengan lebih berkesan dan tersusun dengan lima teras utama iaitu prinsip, relevansi, proaktif, inklusif dan bersatu.

"Kita percaya dengan pendekatan berbeza selain kemantapan kepimpinan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaludin sudah tentu memberi suntikan semangat baru kepada ahli akar umbi untuk meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air," ujarnya.

Tambahnya, pergerakan tersebut memberi sokongan tidak berbelah bagi membantu Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dalam merealisasikan harapan merampas Kelantan daripada Pas pada pilihan raya umum nanti.

Friday, May 8, 2009

Pemuda dekati 200,000 belia Kelantan luar negeri


Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan akan mengambil inisiatif untuk mendekati hampir 200,000 belia Kelantan yang telah berhijrah ke negeri lain sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, pendekatan tersebut perlu dilakukan secara bersepadu dan terancang bagi mendekatkan anak Kelantan kepada parti itu.

''Pemuda tidak mahu mengambil sikap untuk mendekati golongan itu pada saat akhir menjelang pilihan raya umum kerana kesannya tidak memberangsangkan.

''Menerusi Sekretariat Pemuda UMNO, pelbagai kaedah akan dilaksanakan untuk mendekati golongan sasar dengan melakukan gerak kerja yang terancang sebelum pilihan raya umum,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan di sini hari ini.

Sempena mesyuarat itu penyerahan tugas secara rasmi kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri bagi sesi 2008-2011 Anuar Safian oleh bekas penyandangnya Dali Husin.

Khairy menambah, usaha itu perlu digerakkan kerana golongan tersebut antara yang akan menentukan kemenangan kepada mana-mana parti politik yang bertanding.

''Kita akan menggunakan mekanisme terbaik sebelum melaksanakannya kerana keberkesanan daripadanya boleh digunakan pula oleh Pemuda UMNO di negeri-negeri lain,'' katanya.

Bagi menjayakannya, beliau turut turun padang ke negeri-negeri lain untuk memantau dan menyampaikan misi pemuda dan memastikan Pemuda UMNO menggerakkan strategi yang dirancang.

''Pembaharuan ini saya yakin tidak akan dilihat hasilnya dalam tempoh singkat, sebaliknya paling minimum dalam tempoh enam bulan," ujar beliau.

Thursday, May 7, 2009

LAWATAN KJ KE KELANTAN

Kepada rakan-rakan Pemuda sekalian,

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Y.B. Sdr. Khairy Jamaluddin (KJ) akan menghadiri mesyuarat Pemuda UMNO Negeri Kelantan di Hotel Renaissance Kota Bharu pada jam 4.30 petang hari ini (8 Mei 2009). Beliau akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu pada jam 3.45 petang. Rakan-rakan dijemput untuk menyambut beliau.

Sunday, May 3, 2009

Pendekatan Strategik, Pemuda Umum 28 Biro, Sekretariat Dan Unit

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mengumumkan penubuhan 28 biro, sekretariat dan unit sebagai satu pendekatan perubahan strategik pergerakan itu bagi menarik golongan muda tanpa mengira kaum dan agama menyokong Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau pendekatan itu juga berdasarkan lima rukun Pemuda iaitu Berprinsip, Inklusif, Proaktif, Relevan dan Bersatu. Pada sidang media selepas berakhirnya Majlis Khemah Kerja Perdana Pemuda UMNO selama tiga hari di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik, beliau turut menghuraikan kelima-ima prinsip tersebut.


Jelasnya Berprinsip bermakna Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO, agama, bangsa dan negara serta mempertahankan perlembagaan, rukun negara, kontrak sosial dan perkongsian kuasa. 


Pemuda Inklusif pula kata beliau adalah dengan memberi fokus kepada usaha bukan saja pada ahli UMNO tetapi juga generasi muda tanpa mengira kaum yang tidak berparti dan tidak menyokong UMNO. 


Beliau berkata, Pemuda yang proaktif bermaksud tidak perlu menunggu sebarang arahan untuk menyelesaikan masalah dan ia perlu dilakukan dengan pantas dan berkesan sebelum ia menjadi krisis yang besar.


Bagi menjadikan Pemuda Relevan pula tambah beliau semua program Pemuda diubahsuai mengikut cita rasa golongan muda dengan menggunakan saluran komunikasi seperti media baru, facebook dan lain-lain. 


Sementara yang terakhir prinsip tersebut iaitu Bersatu membawa maksud Pemuda yang bersatu tanpa ada sikap berpuak-puak dan terikut-ikut dengan politik pecah belah.


Berikut adalah senari lengkap Biro, Sekretariat dan Unit yang diwujudkan.


Biro Politik – Khairy Jamaluddin


Sekretariat Pengurusan – Datuk Razali Ibrahim


Sekretariat Penerangan – Datuk Reezal Merican Naina Merican


Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan – Soohaimi Shahadan


Biro Pertanian dan Industri Asas Tani – Zubir Zabidi


Biro Antarabangsa/Aman Malaysia – Datuk Ahmad Zaki Zahid


Sekretariat Hal Ehwal Luar Bandar – Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak


Sekretariat Hal Ehwal Bandar – Tengku Azman Tengku Zainal Abidin


Biro Putera UMNO – Megat Zulkarnain Omardin


Biro Perhubungan NGO – Suffian Awang


Biro Keahlian dan Pemilih – Hishammuddin Yahaya


Biro Pendidikan Politik – Ali Mazat 

Biro Pelajaran – Mohd Gasing Saling


Biro Pengajian Tinggi – Syahrin Jamaluddin


Biro Agama - Ustaz Mohd Afandi Yusof


Biro Aduan Komuniti – Datuk Mohamad Khairun Aseh


Biro Sukan – Datuk Ahmad Darus


Biro Kebudayaan dan Kesenian – Jamawi Jaafar


Biro Sosio Etika – Mohamad Iruan Zulkefli


Sekretariat Profesional Muda – Shafiqurrahman Shamsuddin


Sekretariat Pekerja Muda – Nazir Hussin Akhtar Hussin


Sekretariat Perhubungan Kerajaan – Badrol Hisham Zaki


Sekretariat Pemuda BN dan Satu Malaysia – Mohd Faizal Ramli


Unit Pidato dan Penghujahan Umum – Lokman Noor Adam


Unit Media Baru – Tun Faisal Ismail Aziz


Unit Perang Saraf – Mohd Anis Hisham Abd Aziz


Akademi Pemuda – Khairul Azwan Harun


Biro Tugas-tugas Khas – Abdul Razak Abdul Rahman