Sunday, May 10, 2009

Pemuda UMNO Kelantan lakukan perubahan

Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan akan melakukan pembaharuan dalam persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, sebagai langkah pertama, pihaknya turun ke bawah mengenal pasti punca pengundi muda menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, antara punca yang dikenal pasti ialah kebanyakan mereka termakan dakyah Pas bahawa bahawa BN sedang menghadapi masalah dalaman sehingga sukar untuk melaksanakan tugas menguruskan negara. 

"Golongan muda telah dimomokkan oleh persepsi baru terhadap BN sedangkan ini semua adalah masalah sementara yang mampu boleh diatasi. 

"Kita tidak mahu dilihat sebagai individu yang mengulang kaji pelajaran pada saat akhir untuk menghadapi peperiksaan pada esok hari. Sebab itu kita memulakan langkah dari awal lagi," katanya di sini semalam. 

Anuar berkata, pemuda UMNO Kelantan meletakkan prinsip memperkasa bangsa dan agama sebagai agenda utama walaupun pakatan pembangkang menabur janji kepada rakyat dengan prinsip yang boleh menghancurkan Islam, Melayu dan meletakkan institusi beraja dalam keadaan tidak selesa.

Katanya, pihaknya juga akan menjayakan gagasan 'Satu Malaysia' seperti mana yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. 

"Ia dengan memperkasakan pemuda BN kelantan dengan lebih berkesan dan tersusun dengan lima teras utama iaitu prinsip, relevansi, proaktif, inklusif dan bersatu.

"Kita percaya dengan pendekatan berbeza selain kemantapan kepimpinan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaludin sudah tentu memberi suntikan semangat baru kepada ahli akar umbi untuk meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air," ujarnya.

Tambahnya, pergerakan tersebut memberi sokongan tidak berbelah bagi membantu Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dalam merealisasikan harapan merampas Kelantan daripada Pas pada pilihan raya umum nanti.

No comments:

Post a Comment