Saturday, May 30, 2009

Menghurai Makna Prinsip di Manek Urai

Khairy Jamaluddin 

Keputusan pucuk pimpinan untuk bertanding di Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai saya sambut dengan sokongan padu bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional. 

Seperti dengan mana-mana PRK lain, Pemuda BN akan berikhtiar memberikan sumbangan yang terbaik untuk cuba merampas kerusi DUN ini sungguhpun UMNO menyedari hakikat bahawa pihak Pas merupakan penyandang kerusi dan barangkali mempunyai kelebihan untuk menang; kami akan tetap bertanding dengan penuh semangat dan dedikasi.

Sebagaimana maklum pihak Suruhanjaya Pilihanraya baru sahaja menetapkan bahawa penamaan calon pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan akan diadakan pada 6 Julai manakala tarikh pengundian pula pada 14 Julai. 
 
Namun, hanya selang beberapa jam selepas ADUN Manek Urai meninggal dunia pada Jumaat lepas, Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali, dengan rakus dan lantangnya, sudah pun menyarankan agar UMNO tidak bertanding di Manek Urai kerana ia merupakan kubu kuat Pas dan kalaupun UMNO menang, Pas akan kekal memerintah Kerajaan Negeri Kelantan. 
 
Ini amat menggambarkan sikap angkuh dan takbur pihak Pas yang seolah-olah tidak menghormati hak demokratik pihak UMNO dan BN untuk bertanding di mana-mana kerusi yang dikosongkan.

Bagi yang bertanya mengapa pula BN bertanding di Manek Urai tetapi tidak di Penanti, perbezaan antara kedua-dua kes adalah bahawa kerusi DUN Penanti dikosongkan atas sebab peletakan jawatan penyandangnya manakala bekas ADUN Manek Urai kembali ke rahmatullah. 
 
Dalam komen saya selepas keputusan tidak bertanding di DUN Penanti, saya berkeras menyatakan bahawa BN tidak perlu mengikut rentak tari pihak Pakatan Rakyat. Jelas sekali perkara ini tidak bangkit dalam kes DUN Manek Urai.

Maka, prinsip BN dan UMNO adalah jelas. Dalam hal ini, mungkin ada baiknya jika Pas mencerminkan diri dahulu sebelum bersikap angkuh dan riak kepada BN dan UMNO. 
 
Ini kerana saya sedikit tertanya-tanya mengenai prinsip pendirian pemimpin-pemimpin Pas – kenyataan bercanggah YB Husam Musa mengenai Undang-undang Hudud berikutan Wacana Perdana di Kota Bharu tahun lepas adalah satu contoh ketandusan konsistensi Pas.

Malah, dua kenyataan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat pada tahun lepas turut mengelirukan saya. Tidak lama selepas PRU 13, beliau telah mengatakan bahawa tindakan melompat parti adalah kerja orang tidak bermaruah, tetapi pada bulan September pula, beliau seakan-akan mengubah pendirian lantas menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak salah.

Mengambil pendekatan Husnol Dzon, mungkin Tuan Guru terlupa akan kenyataan awalnya. 
 
Sebagai orang yang amat menghormati Tuan Guru, saya yakin bukan niat beliau untuk mengelirukan rakyat sebagaimana sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat yang lain seperti Lim Kit Siang, yang mengambil tindakan semberono bersifat politik murahan dengan menuduh saya melobi untuk perlantikan Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, tanpa asas dan bukti.

Akhir kata, Manek Urai adalah pentas bagi membuktikan prinsip, konsistensi dan iltizam politik BN di dalam amalan demokrasi berparlimen di Malaysia dan bukan seperti pembangkang yang mengamalkan politik hipokrasi dan penuh fatamorgana bagi menggula dan mempermainkan rakyat. 
 
Sumber: Blog Pemuda UMNO Malaysia

No comments:

Post a Comment