Tuesday, April 28, 2009

Jangan Letak Syarat : Pemuda Sedia Bincang Kerajaan Perpaduan BN - Pas

Pemuda UMNO sedia mengadakan perbincangan mengenai kerjasama kerajaan perpaduan di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas asalkan parti itu tidak meletakkan syarat.

Sambil menyambut baik hasrat itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin berkata pihaknya sedia bertindak secara proaktif untuk berbincang sekiranya Pas jujur dan ikhlas.
 
Tegasnya kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak menolak kerajaan campuran dengan BN adalah titik tolak penting untuk parti itu dengan BN. 

"Perbincangan itu perlu diadakan tanpa syarat seperti kemahuan Nik Abdul Aziz yang mahu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan diserah kepada Pas.


"Jika Pas ikhlas membentuk kerajaan campuran, jangan letak syarat," katanya di sini, Selasa.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nik Aziz yang bersedia menerima kerajaan perpaduan seperti dicadangkan Presiden Pas, Datuk Seri Hj Hadi Awang.


Namun kesediaan Nik Aziz itu bersyarat di mana BN mesti menyerahkan dua kementerian penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran kepada Pas jika ingin menawarkan kerajaan campuran. 


Perkara itu dinyatakan anak lelaki Nik Abdul Aziz, Nik Abduh, dalam blognya yang menafikan bapanya tidak bersifat terbuka dalam soal kerajaan campuran atau perpaduan. 


Khairy seterusnya berkata Pemuda ingin menjemput Pas mengadakan perbincangan dengan BN mengenai soal itu tanpa syarat ditetapkan. 


"Melalui perbincangan ini, BN dan Pas boleh menentukan formula perkongsian kuasa yang diperlukan", ujarnya.

No comments:

Post a Comment