Tuesday, October 13, 2009

Pemuda Umno tangani pengangguran

Akademi Pemuda Umno dan Atcen Sdn Bhd hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi program latihan dan penempatan
semula pekerja bertujuan untuk mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Pengerusi akademi itu Khairul Azwan Harun berkata pihaknya kini dalam usaha memohon dana daripada Kementerian Sumber Manusia menerusi pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah lebih RM2 juta bagi program itu.

Dengan sasarannya adalah siswazah menganggur dan pekerja yang diberhentikan, program itu akan melatih seramai 300 peserta sebagai pengendali pusat hubungan bertauliah yang dijangka bermula Januari depan.

"Akademi Pemuda akan bekerjasama dengan kepimpinan Umno negeri dan bahagian untuk mengenalpasti peserta yang layak dan berkebolehan.

"Setiap peserta akan juga ditanggung sepenuhnya termasuk menerima elaun bulanan," katanya selepas majlis menandatangani MoA yang disaksikan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya menyambut baik kerjasama kedua-dua pihak dan menyifatkannya sebagai agenda penting untuk menyelesaikan masalah penggangguran di negara ini di kalangan generasi muda.

"Selepas mendapat ijazah dan diploma, masih tak dapat pekerjaan tetap dengan kelayakan mereka dan apabila perkara ini berlaku, mereka melihat kerajaan, seolah-olah ekonomi tak diurus dengan baik kerana mereka tidak dapat pekerjaan tetap dan yang diharapkan.

"Oleh itu, akan timbullah rasa tidak puas hati dan rasa itu akan diterjemahkan pula dalam bentuk politik," katanya.

Khairy berkata industri pengendalian hubungan kini dilihat sebagai sektor yang boleh memberi nilai tambah kepada ekonomi negara berbanding sektor tradisi seperti sektor pembinaan.

"Diharap melalui program ini, kita akan dapat melatih lebih ramai lagi dan apabila ditempat semula (dapat pekerjaan) sebagai pekerja berpengetahuan, mereka akan berterima kasih kepada Umno dan kerajaan, yang dapat menyelesaikan masalah pekerjaan yang tidak menentu pada masa ini," tambahnya.

Ahli Lembaga Pengarah Atcen Yandaro Al Amien Yanizar dalam ucapannya berkata sehingga kini terdapat kira-kira 600 pusat pusat panggilan di negara ini yang menyediakan 32,000 peluang pekerjaan dan kadar ini dijangka meningkat sehingga 17 peratus tahun depan.

"Menerusi program ini, calon yang berkelayakan akan dipilih dan akan ditempatkan di pusat panggilan di Atcen (untuk menjalani latihan)," katanya. 

No comments:

Post a Comment