Sunday, March 29, 2009

Khairy Sedia Terima Teguran Demi Matlamat Pemuda

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata beliau sedia menerima teguran semua peringkat kepimpinan UMNO agar matlamat pergerakan sayap di bawah kepimpinannya tidak tersasar dari landasan sebenar. 

Katanya lagi teguran itu perlu terutama bagi membolehkan semua ahli Pemuda dapat bersatu hati dan mempertunjangkan matlamat demi agama, bangsa dan negara. 

"Saya kerdil dan insaf untuk memimpin sayap. Banyak yang perlu dipelajari untuk menjayakan pergerakan Pemuda. 

"Pemuda harus diberi pedoman, kalau tak kena tegur-tegur saya, perbetulkan saya supaya saya tidak tersungkur dan Pemuda tidak tersasar," katanya dalam ucapan penggulungannya sebagai Ketua Pemuda UMNO ang baru di Dewan Merdeka di sini, hari ini. 

Pada masa yang sama beliau turut menyatakan pendekatan yang akan diambil bagi menarik sokongan golongan muda terhadap UMNO. 

"Kita akan mengadakan dialog, perbincangan agama dan sukan untuk menarik sokongan anak-anak muda. Anak-anak muda ini akan kita dampingi sebagai rakan untuk memberi penjelasan kepada mereka dan menyusun langkah-langkah untuk melembutkan hati mereka," ujarnya. 

Dalam ucapan penggulungannya juga beliau turut merayu kepada Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Khir Toyo supaya bersama membantunya merapatkan semula barisan pergerakan Pemuda. 

"Khidmat dan tunjuk ajar Mukhriz dan Mohd Khir amat diperlukannya. Walaupun mungkin selepas ini kedua-dua mereka akan meninggalkan barisan Pemuda, saya merayu mereka membantu saya menggembalikan kekuatan Pemuda", ujarnya.

Pelan Pemutihan UMNO Banteras Gejala Negatif – Razali

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Johor hari ini menggesa UMNO melaksanakan Pelan Pemutihan yang berteraskan nilai-nilai Islam bagi membanteras nilai-nilai menyimpang yang mulai menular dalam parti itu. 

Beliau berkata UMNO ketika ini dicengkam dengan pelbagai nilai yang bertentangan dengan budayanya seperti politik wang, cantas-mencantas dan fitnah-memfitnah. 

"Jika wang digunakan untuk mendapat tempat, maka berputarlah wang tadi-- matlamatnya wang, caranya wang, dipilih sebab wang, memilih untuk mendapat wang. 

"Apa yang diambil kira ialah sama ada perjuangan itu bakal mendapat habuan atau kontrak," katanya. 

Gesaan itu dibuat ketika membentangkan usul terima kasih ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis. 

Tegasnya lagi Pelan Pemutihan merupakan soal paling asas untuk membanteras semua gejala negatif itu kerana nilai-nilai moral dan etika sejagat sahaja tidak mampu membendungnya tanpa bersanggakan nilai-nilai Islam. 

Katanya peraturan UMNO bagi mengawal soal moral dan integriti anggota parti juga adalah tidak memadai memandangkan perkara berkenaan integriti itu menyentuh soal keperibadian.

Pemuda Diajak Rapatkan Barisan Dalam Semangat Setiakawan


Ketua Pemuda UMNO yang baru dipilih Khairy Jamaluddin dalam ucapan penangguhannya berkata, dengan semangat setiakawan yang menjadi tema kempennya, beliau berjanji tidak akan meminggirkan mana-mana pihak dalam barisan kepimpinannya. 

Justeru beliau mengajak semua ahli pergerakan itu bersama menghadapi cabaran getir pada waktu ini. 

"Tak bermakna yang tak bersama saya akan dipinggirkan, semangat setiakawan akan sentiasa diterapkan. Semua ahli Pemuda perlu merapatkan semula barisan dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar. 

"Kita akan berhadapan dengan tugas berat iaitu berhadapan dengan pilihan raya kecil nanti," katanya. 

Semua ahli pergerakan itu kata beliau mesti bersama untuk meneruskan perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. 

"Oleh itu saya merayu, kepada 'Pemuda Berani', berdirilah bersama saya, apabila kita masuk ke kubu dan berdepan dengan pembangkang di Parlimen, pilihan raya dan di mana saja, 'Pemuda Berani' perlu berada bersama saya. 

"Kepada 'Berani Berubah', apabila kita memikul amanah seperti yang diletakkan di bahu kita seperti mana yang dituntut Timbalan Presiden semalam...tuan-tuan mesti bersama saya untuk mengubah UMNO. 

"Saya merayu kepada semua 700,000 ahli Pemuda termasuk pemimpin di dewan ini, marilah bersama-sama atas semangat 'Setiakawan' kita mara untuk bangsa, agama dan negara," katanya. 

Beliau seterusnya berazam mewujudkan barisan Pemuda yang berani menuntut perubahan dan semangat setiakawan.

Monday, March 23, 2009

BAGAIMANA HENDAK REFORMASIKAN UMNO?

Sejak kebelakangan ini ramai sahabat-sahabat menghantarkan komen meminta saya memberikan cadangan mengenai reformasi UMNO. Saya tidak termampu berbuat demikian kerana kostrain waktu. Kalau terluang masa pun saya tidak akan kemukakan cadangan itu kerana saya adalah generasi yang turut terlibat dengan keadaan UMNO mutakhir, sementara UMNO yang perlu direformasikan adalah milik generasi muda seluruhnya.

Oleh itu saya persilakan sahabat-sahabat blog ini untuk mengirimkan cadangan masing-masing untuk saya halusi dan publishkan sehari dua sebelum PAU 2009 bermula. Sampaikanlah cadangan anda secara ikhlas, elakkan emosi dan ketepikan sentimen negatif.

Sebagai panduan, cadangan anda mungkin boleh dikategorikan kepada tajuk-tajuk berikut: falsafah dan matlamat perjuangan; aspirasi generasi muda terhadap UMNO; program perjuangan yang yang paling komprehensif dan diterima ramai; perlukah seluruh anggota UMNO direorientasikan semula akidah perjuangan mereka; apakah ciri-ciri pemimpin UMNO; perlukah pucuk kepimpinan tertinggi UMNO di bahagian-bahagian diwujudkan atas perlantikan; apakah larangan dan dorongan yang diperlukan; perlukah sistem pemilihan kepimpinan UMNO pusat dirobah secara struktural; perlukah sistem pemilihan calon pilihanraya daripada UMNO juga dibuka kepada seluruh orang Melayu walaupun bukan ahli UMNO, tetapi simpatisan UMNO; dan sebagainya.

Saya kemukakan cadangan ini kerana UMNO tidak bersalah. Tetapi sesetengah kalangan UMNO yang sebenarnya menyebabkan UMNO jadi sedemikian rupa pada hari ini. –

Pemuda UMNO bantu kos pembedahan Nurul Nasuha

KUALA LUMPUR 22 Mac - Penderitaan bayi berusia lima bulan, Nurul Nasuha Khairon yang menghadapi jantung berlubang mendapat perhatian daripada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO.

Kos pembedahan sebanyak RM28,000 yang diperlukan berjaya diselesaikan hasil sumbangan pihak sekretariat itu sendiri dan beberapa individu serta syarikat yang prihatin.

Pengerusi sekretariat itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya terpanggil membantu setelah melihat laporan penderitaan Nurul dalam akhbar baru-baru ini.

"Sebelum pihak kami tampil untuk membantu, saya telah diberitahu oleh ahli keluarganya bahawa hanya RM150 saja dapat dikumpulkan daripada orang ramai.

"Atas sebab itu, kita cukup sedih dan bersungguh-sungguh membantu adik Nurul Nasuha ini kerana pembedahan terpaksa dilakukan secepat mungkin demi menyelamatkan nyawanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada bapa Nurul Nasuha, Khairon Waqiman @ Khalid, 38, di Pusat Perubatan Gleneagles di hari ini.

Tambah Abdul Azeez, sumbangan selebihnya akan diserahkan dalam masa terdekat ini setelah berjaya mendapatkan beberapa penderma yang prihatin.

"Orang ramai dialu-alukan memberi sumbangan kepada Nurul Nasuha, jangan hanya sibuk memberikan sumbangan kepada penderitaan kepada mereka yang berada di luar negara. Orang di dalam negara kita juga perlu dibantu," jelasnya.

Selain itu, beliau bercadang menemui pihak Kementerian Kesihatan bagi mempercepatkan bantuan bagi kes yang serupa pada masa akan datang.

Bagi ibu Nurul Nasuha, Norhafiza Abd. Karim, 38, beliau bersyukur dengan keadaan kesihatan anaknya yang kini semakin pulih setelah selamat dibedah pada 20 Mac lalu.

"Nasib baiklah kos pembedahan itu berjaya diselesaikan dan kini doktor memberitahu saya serta suami bahawa mereka sedang memantau kesihatan paru-paru Nurul akibat kesan jangkitan," katanya.

Bapanya, Khairon yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Shah Alam dan hanya memperoleh pendapatan bersih RM1,500 sebulan kini mengakui boleh menarik nafas lega.

"Tambahan pula ada tiga anak lagi yang perlu ditanggung, bantuan ini amatlah diharapkan dan saya mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO dan Datuk Azeez.

"Dalam masa yang sama, orang ramai masih boleh membantu anak saya kerana rawatan susulan perlu dijalankan dalam masa tiga ke enam bulan ini," ujarnya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian dengan mendepositkan wang ke dalam akaun Maybank Norhafiza bernombor 162085449144.

Semoga Najib Dapat Team Terbaik

HAKIKATNYA, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan parti yang lemah dan penuh cabaran.

Apa yang beliau hadapi sama seperti yang dialami bapanya, Tun Abdul Razak kira-kira 40 tahun lalu. Ketika itu berlaku Peristiwa 13 Mei 1969. Tidak banyak bezanya antara apa yang berlaku waktu itu dengan sekarang.

Bagi menghadapi situasi yang cukup mencabar itu, Tun Razak mengambil 'singa politik' dari Johor, Tun Ismail sebagai timbalannya.

Gandingan dua singa ini telah menjadikan kepemimpinan UMNO menjadi mantap. Tun Razak dan Tun Ismail telah menangani kegawatan politik dan sosial dengan jayanya.

Kini sesudah 40 tahun, sejarah itu berlalu, waris Tun Razak, Datuk Sri Najib yang bakal ditabalkan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri keenam akan menerajui UMNO dan negara pada April 2009. 

Tidak mudah bagi Najib berseorangan menangani krisis politik dan ekonomi yang dihadapi oleh UMNO dan negara sekarang.

Justeru, selain beliau memerlukan regu kepemimpinan, beliau juga memerlukan satu team (pasukan) kepemimpinan yang kuat. Regu dan pasukan yang Najib perlukan tentunya daripada mereka yang berpengalaman dan berkebolehan dalam politik dan kerajaan.

Tidak ada lagi selepas ini pemimpin tangkap muat dan hanya sekadar bergantung pada populariti semata-mata.

Najib dalam wawancara dengan akhbar arus perdana Ahad lalu sudah membayangkan ciri-ciri pemimpin yang beliau mahukan sama ada sebagai regu mahu pun anggota team kepemimpinannya. 

Ini kerana apa yang bakal beliau hadapi memerlukan satu kebijaksanaan tindakan terutama bagi memulihkan kekuatan UMNO dan mengatasi kegawatan ekonomi negara.

Najib sudah tentu mahu membawa lebih banyak singa dan harimau di atas gunung bagi mendepani cabaran yang ada.

Pemimpin yang hanya mahu menjadi pak turut atau pengampu sudah tidak sesuai lagi sekarang. Kita perlukan pemimpin yang berani dan lantang sesuai dengan kehendak rakyat terbanyak.

Sebab itulah Najib mahukan mereka yang bakal dipilih dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac ini, mereka yang bukan saja diterima oleh UMNO tetapi juga rakyat. Inilah yang perlu difikirkan oleh lebih 2,500 perwakilan dalam pemilihan kali ini. 

Pemilihan kali ini berbeza sama sekali dengan pemilihan sebelumnya. Ini kerana UMNO mendapat presiden baru dan berlaku pemilihan untuk timbalannya.

Setiap mereka yang bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Pemuda, Wanita, Puteri serta exconya tentu sudah 'mengukur baju di badan sendiri'. 

Satu keazaman yang perlu ada pada perwakilan, jika mereka mahu UMNO menjadi bersih dan kelihatan bersih, tolaklah mereka yang rasuah. 

Pilihlah mereka yang benar-benar berkebolehan dan berpengalaman.

Jangan tersalah pilih dengan memilih mereka yang berkepentingan dan hanya mengejar kedudukan. Ingatlah, kini UMNO sudah berada di penghujung jalan.

Hanya tinggal empat tahun saja lagi untuk membuktikan UMNO masih relevan dan diterima rakyat. 

Seluruh rakyat sedang memerhati siapa yang bakal menerajui UMNO. 

Tersalah pilih, mereka akan mengajar kita pada pilihan raya ke-13 nanti.

Sebab itu Najib menyebutkan tiga ciri pemimpin yang beliau kehendaki iaitu pertama pemimpin yang komited kepada perjuangan UMNO lebih daripada diri atau kelompok.

Kedua, bersikap terbuka melakukan perubahan, dan ketiga mesti pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat. 

Maksudnya, apa yang rakyat pandang baik yang harus ada pada pemimpin, maka pemimpin itu sebaik-baiknya dipilih.

Najib telah berlaku jujur kepada perwakilan UMNO, dengan mengatakan beliau mahukan satu pasukan yang berwibawa memandangkan UMNO dan kerajaan menghadapi keadaan yang begitu mencabar.

Jika ahli-ahli UMNO telah memberi kepercayaan kepada Najib untuk menerajui parti, maka adalah wajar mereka memberikan Najib sebuah pasukan yang dimahukannya dengan memilih pemimpin yang berintegriti dan berwibawa bagi masa depan UMNO dan negara.

Khairy dakwa diugut penulis buku


Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, hari ini membuat laporan polis terhadap penulis sebuah buku yang dikatakan mengugut dan memfitnah beliau.

Khairy hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 10.15 pagi bersama empat rakannya termasuk anggota perwakilan Umno bahagian Kota Melaka, Saiful Ridhuan.

Beliau yang ditemui pemberita di perkarangan ibu pejabat polis itu selepas membuat laporan berkata beliau meminta polis menjalankan siasatan terhadap buku tulisan seorang penulis politik tanahair, lapor Bernama

"Tujuan utama saya buat report (polis) ini adalah disebabkan kandungan buku ...yang ternyata memfitnah saya. Buku ini adalah sebenarnya satu usaha secara sengaja menjatuhkan imej dan karier politik saya," katanya selepas hampir dua jam membuat laporan itu. 

Khairy berkata beliau juga tidak pernah berjumpa penulis buku itu sebelum ini dan pertama kali mereka bertemu adalah di pejabatnya 17 Februari lepas.

"Beliau (penulis) datang ke pejabat saya di sini (Kuala Lumpur) 17 Februari lepas, berjumpa dengan saya dan mengugut saya agar membayar RM100,000 atau buku itu diterbitkan.

"Bagaimanapun saya enggan kerana saya tidak perlu bayar untuk buku tersebut dan saya tidak mampu untuk bayar," dakwa Khairy. 

Menurut Khairy lagi, penulis terbabit turut mendakwa bahawa penerbitan buku itu ditaja musuh-musuh politik beliau dalam Umno.

"Selain itu, saya juga mendapat tahu buku ini juga telah diedarkan kepada beberapa anggota perwakilan Umno sejak minggu lepas," katanya.

Tuesday, March 17, 2009

Muhyiddin: Najib perlu timbalan yang kuat


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengalaman luasnya di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa melayakkannya untuk mengisi jawatan nombor dua dalam Umno dan kerajaan.

Muhyiddin, 61, yang berdepan dengan dua pencabar - Datuk Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib untuk merebut jawatan timbalan presiden Umno - berpengalaman menjadi menteri besar Johor selama 13 tahun dan menganggotai kabinet selama hampir 14 tahun.

Lagi pula, Mohd Ali dan Muhd Taib bukan ahli Parlimen dan oleh itu tidak secara automatik layak untuk memegang jawatan timbalan perdana menteri, yang selama ini diisi oleh pemimpin nombor dua Umno.

Mereka berdua perlu dilantik sama ada sebagai senator atau bertanding dalam pilihanraya kecil - sesuatu yang ingin dielakkan kerana suasana politik yang tidak memihak kepada kerajaan sekarang.

Muhyiddin juga menolak hujah Muhd Taib bahawa tidak boleh ada "dua ekor singa menghuni bukit yang sama".

Muhammad (foto) yang sebelum ini menegaskan beliau tidak bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, merujuk kepada kemungkinan timbalan yang kuat boleh mengancam kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa depan.

"Pada masa bilamana kita berdepan dengan masalah yang serius, seperti yang dihadapi Umno sekarang, maka apa yang diperlukan adalah satu pasukan kepimpinan yang kuat," kata Muhyiddin dalam wawancara selama 60 minit dengan Malaysiakini di pejabatnya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Jika anda berkata tidak (perlu timbalan yang kuat), maka ia bermakna anda berkata 'pilihlah pemimpin yang tidak begitu kuat' atau 'pilih seorang yang lemah'.

"Saya tidak fikir itu yang Umno mahu atau itu yang negara mahu. Negara, dalam keadaan seperti sekarang, memerlukan kepimpinan yang kuat," tegasnya.
Sumber: Web Malaysiakini.com

Khairy: Saya tidak bersalah...


Calon Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata beliau menghormati keputusan Lembaga Disiplin Umno walaupun "saya tidak bersalah"

Dalam reaksinya, ahli Parlimen Rembau itu berkata, apa yang penting, walaupun didapati bersalah, beliau hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding.

"Saya masih boleh bertanding (jawatan ketua Pemuda Umno)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, Khairy mendakwa terdapat agenda untuk menghalangnya daripada bertanding jawatan ketua Pemuda Umno hujung bulan ini.

"Saya tahu terdapat agenda tersebut, tetapi saya tidak siapa yang bertanggunggung dan mengapa mereka berbuat demikian.

"Saya tetap tidak bersalah," tambahnya.

Menurutnya, beliau telah memberi penjelasan kepada lembaga disiplin.

Bagaimanapun, katanya, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh lembaga tersebut.
Sumber: Malaysiakini.com

Ali Rustam dilarang tanding timbalan presiden


Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno hujung bulan ini selepas didapati melanggar peraturan pemilihan Umno.

Calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan parti, tetapi hanya diberi amaran.

Manakala seorang lagi calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula didapati tidak bersalah.

Perkara itu diumumkan oleh Lembaga Disiplin Umno dalam sidang akhbar khas yang sedang berlangsung di ibupejabat Umno di ibunegara petang ini.

Mohd Ali dan Khairy didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga. 

Perkara 10.1 itu berbunyi: Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah mana-mana melanggar peruntukan Tataetika Ahli Umno, maka Lembaga Disiplin bolehlah menganggap, setelah berpuashati daripada keterangan-keterangan dan/atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.

Ekoran itu, Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik.

Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail. Saadun dan Rosli adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil.

Manakala Zalina adalah naib ketua Puteri Umno bahagian yang sama. 

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata siasatan telah dijalankan terhadap 29 orang.

Hasil siasatan tersebut, seorang - Mohd Ali Rustam - dilarang daripada bertanding, 10 orang lagi digantung keahlian selama tiga tahun, mulai 12 Mac, termasuk seorang ketua Pemuda Sabah, Datuk Japlin Akim @ Abd Hamid, dari bahagian Kota Belut. 

Yang lainnya terdiri daripada ketua bahagian dan cawangan. Manakala empat orang diberi amaran termasuk Khairy.

Khairy pula bertanggungjawab terhadap tindakan ejennya, tetapi Tengku Ahmad Rithauddeen enggan mendedahkan identitinya. 

Bagaimanapun, katanya, kesalahan yang dilakukan oleh ejen Khairy itu tidak seberat kes yang membabitkan Mohd Ali. 

Bagaimanapun, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno hujung bulan ini. 

Siasatan lembaga itu juga mendapati 14 orang lagi tidak bersalah, termasuk Dr Mohd Khir.
Sumber: Web Malaysiakini.com

Harapan kerjasama UMNO-Pas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my



DATUK Seri Abdul Hadi Awang adalah Presiden Pas. Beliau mengetuai hampir satu juta ahli Pas di seluruh negara. Oleh itu, sebagai Presiden kepada sebuah parti yang mempunyai kerusi di Parlimen dan menguasai kerajaan negeri di Kedah dan Kelantan, beliau berhak mengemukakan apa juga cadangan. Termasuklah juga dalam usaha menyatukan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Ertinya tiada mana-mana pihak perlu mempertikaikan keikhlasan beliau termasuklah DAP biarpun mereka bersama-sama dalam pakatan pembangkang. 

Sebagai Presiden parti, Abdul Hadi boleh mengeluarkan apa juga idea politik kerana itulah demokrasi yang diagung-agungkan oleh pihak pembangkang selama ini. Maka beliau juga berhak bercakap mengenai kerajaan perpaduan.

Sepatutnya, DAP tidak perlu melatah kerana Abdul Hadi mempunyai niat yang baik demi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin. Tetapi sebenarnya apa yang ditakuti oleh DAP bukannya mengenai soal kerajaan perpaduan itu tetapi penyatuan antara UMNO dan Pas .

Atas sebab itulah pemimpin-pemimpin DAP mahu Abdul Hadi memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan. Persoalannya, kenapakah apabila parti Melayu hendak berbincang soal perpaduan antara mereka, ada sahaja halangan?

Sebenarnya, apa pun yang berlaku antara UMNO dan Pas ia tidak akan menggugat kaum lain. Malah mereka akan berasa lebih selamat apabila dua parti terbesar orang Melayu mencapai persefahaman. 

Justeru DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau penyokong PKR dalam Pas yang mengaku mereka orang Melayu tidak harus berasa gelisah.

Cadangan Abdul Hadi perlu diperhalusi. Mungkin untuk mewujudkan sebuah kerajaan pusat tanpa pembangkang seperti mana yang disyorkan agak sukar. Tetapi bagaimana jika UMNO dan Pas bersatu sekurang-kurangnya di Perak? Ia bagi membolehkan tumpuan dapat diberikan dalam membantu rakyat negeri itu yang sudah cukup tertekan dengan apa yang berlaku selama ini.

Penyatuan itu bukanlah untuk selama-lamanya tetapi sekadar bersama-sama berada dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga penggal pemerintahan tamat. 

Ertinya di Perak kalau UMNO dan Pas bekerjasama, parti Melayu menguasai 33 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dengan kerjasama MCA yang mempunyai satu kerusi ia akan menjadi 34 kerusi.

Mungkin ada yang melihat cadangan ini melucukan tetapi langkah tersebut jika dilakukan boleh merealisasikan hasrat awal Abdul Hadi. Jika Pas boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk bekerjasama memerintah Selangor, kenapa ia tidak boleh dilakukan di Perak? Bukankah kalau menurut cadangan Abdul Hadi, idea kerajaan perpaduan itu dilontarkan demi mewujudkan kestabilan? 

Oleh itu, kalau Pas benar-benar mempunyai pandangan sedemikian maka mereka harus membuka laluan kepada usaha menjadi Perak sebagai contoh keikhlasan Pas. Mungkin akan ada tentangan daripada PKR dan DAP, tetapi apa yang Pas lebih utamakan, kuasa politik atau kepentingan rakyat?

Sebenarnya, kita tidak harus terkejut jika cadangan Abdul Hadi ditentang oleh sesetengah pemimpin dan ahli Pas sendiri. Ini kerana mereka sudah terpengaruh dengan politik PKR yang tidak mahu sama sekali mana-mana pakatan pembangkang bercakap soal kerjasama dengan BN terutama UMNO.

Puak-puak itulah yang kini semakin merosakkan imej Pas. Mereka lebih taksub mematuhi apa kata pemimpin PKR berbanding menyokong cadangan ikhlas Presiden mereka sendiri. 

Bagaimanapun, apa juga halangannya, cadangan Abdul Hadi tidak harus dipinggirkan begitu sahaja. Ia seharusnya dikaji dengan mendalam terutamanya berkaitan mewujudkan kerjasama perpaduan di kalangan orang Melayu.

Dalam situasi sekarang, Pas harus kembali kepada sikap asal mereka yang suatu ketika sanggup bekerjasama dengan UMNO apabila menyentuh soal bangsa dan agama. Mereka tidak perlu mengikut rentak PKR yang sanggup menggadaikan apa sahaja asalkan dapat berkuasa.

"Dulu bila ada isu Melayu, Pas sendiri boleh diajak berbincang tetapi sekarang tidak lagi. Mereka sudah banyak berubah sejak berkawan dengan PKR." Kata-kata ini dilafazkan oleh seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis yang kesal kerana Pas tidak bersama UMNO dalam mempertahankan isu-isu berkaitan orang Melayu.

Pemimpin berkenaan yang bertaraf menteri bercakap secara ikhlas mengenai Pas. Beliau bimbang parti itu akan dirosakkan oleh penyokong pemimpin PKR yang meresap masuk ke dalam Pas. Bagaimanapun keyakinan harus diberikan kepada Pas agar mereka membuka ruang kepada usaha mencapai persefahaman mengenai langkah membela Melayu bersama-sama UMNO.

Seperti mana cadangan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, segala usaha yang boleh menggerakkan ke arah merealisasikan impian tersebut. Antaranya mengadakan pertemuan di peringkat kepimpinan parti dan usaha ini perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.

"Saya optimis hasrat ini akan tercapai pada satu hari nanti. Sebenarnya, tiada perbezaan yang ketara antara UMNO dan Pas kerana kita saudara seagama yang sentiasa menjunjung syariat Rasulullah SAW," katanya.

Selain mengetepikan perbezaan fahaman politik, sifat dendam antara UMNO dan Pas perlu dikikiskan.

"Bagi saya, ini merupakan kerja agama kerana ia akhirnya bermatlamatkan untuk membela agama, bangsa dan negara kita. Bagi kaum lain, mereka tidak harus khuatir kerana hak mereka tetap akan terpelihara seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," tegas pemimpin UMNO itu lagi.

Kerjasama dan penyatuan antara UMNO dan Pas ini amat penting difikirkan apatah lagi dalam keadaan di mana ada pihak tertentu seperti mana kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mereka sedang memainkan peranan dan mempunyai agenda besar bagi meruntuhkan keamanan dan kekuatan negara.

Pihak-pihak itu sedang mengatur satu demi satu strategi bagi meruntuhkan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu. Usaha mereka menjadi bertambah mudah apabila ada pemimpin Melayu yang sanggup menjadi pengkhianat hanya kerana ingin berkuasa.

Justeru Pas perlu menyedari perkara ini dan bersama-sama UMNO untuk mempertahankan apa juga yang berkaitan dengan kepentingan Melayu. Pas boleh terus memperjuangkan ideologi politiknya tetapi dalam masa yang sama bersedia untuk duduk semeja dengan UMNO demi masa depan bangsa, agama dan negara.

Adalah diharapkan cadangan Abdul Hadi akan menjadi titik permulaan kepada usaha melihat ada kerjasama yang benar-benar erat antara UMNO dan Pas. Jika ini dapat dilakukan percayalah tiada siapapun berani menganggu gugat institusi Melayu dan agama Islam. 

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.


Sunday, March 15, 2009

Dr M: Najib 'jerat leher' jika lantik anggota kabinet rasuah


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Tun Razak "akan menjerat lehernya sendiri" jika beliau melantik pemimpin yang rasuah menganggotai kabinet barunya nanti.

"Masyarakat memang tahu siapa yang terbabit dengan rasuah kerana mereka memberikan wang secara agak terbuka, dan pihak yang menerima pula bercakap bahawa mereka menerima wang itu yang bertujuan memenangi sokongan mereka.

"Jadi apabila Najib menjadi PM dan beliau melantik orang ini, maka seperti yang telah saya katakan, beliau menjerat lehernya sendiri kerana beliau akan kalah dalam pilihanraya umum ke-13 yang akan datang," katanya.

Perdana menteri keempat itu menegaskan demikian dalam wacana mengenai Demokrasi dan Kepimpinan Masa Depan Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan hari ini.

Oleh itu, menasihati Najib supaya memastikan barisan kabinet terdiri daripada mereka yang bersih daripada sebarang bentuk rasuah.

Dr Mahathir memang kritikal terhadap pentadbiran penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan sejak kebelakangan ini, juga turut kritikal terhadap Najib.

Najib akan diisytiharkan secara rasmi menjadi presiden Umno pada 26 Mac depan sewaktu perhimpunan agung Umno.

Bagaimanapun, tidak jelas bilakah beliau akan mengambil alih jawatan perdana menteri.

Najib dijangka mengambil alih kuasa daripada Abdullah sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kuasa, tetapi Dr Mahathir masih tidak yakin yang ianya akan menjadi kenyataan.

Menurut Dr Mahathir ia hanya satu konvensyen parti bahawa presiden Umno akan dilantik sebagai perdana menteri, tetapi ini tidak dikehendaki oleh undang-undang.

Daripada pengalamannya sendiri, Dr Mahathir berkata, perdana menteri ketiga, Tun Hussein Onn tidak melepaskan jawatannya sehinggalah dua minggu selepas beliau (Dr Mahathir) dilantik sebagai presiden Umno pada 1981.

Sumber: Malaysiakini.com

BN umum calon untuk tiga p'raya kecil

Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan nama calon-calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan kerusi DUN Batang Ai.

Ismai Saffian dari Umno dicalonkan di Bukit Gantang, Datuk S Ganesan dari MIC (Bukit Selambau) dan Malcolm Mussen ak Lamoh di Batang Ai.

Pencalonan Ismail and S Ganesan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, masing-masing di Taiping, Perak and Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Bagaimanapun, tidak jelas siapakah yang mengumumkan pencalonan Malcolm Mussen. Satu laporan awal bahawa pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, telah dipertikaikan.

Joseph Tawie, yang melaporkan untuk Malaysiakini di Kuching, berkata, Presiden PRS, Dr James Masing yang mengumumkan pencalonan Mussen - pilihan parti tersebut - sebagai calon.

BN Sarawak bermesyuarat di Kuching hari ini untuk memutuskan calon bagi pilihanraya kecil Batang Ai. Ia dihadiri oleh pemimpin BN negeri dari PBB, Supp, SPDP dan PRS.  

Sumber-sumber berkata sokongan Supp dan SPDP terhadap calon PRS itu di mesyuarat tersebut tidak begitu disenangi pemimpin PBB. Bagaimanapun, pemimpin PBB dikatakan akhirnya bersetuju dengan calon PRS itu dengan syarat ia dapat diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. 

Bagaimanapun, Masing berkata, beliau gembira Mussen dipilih sebagai calon BN dan menggesa para pengundi menyokongnya. 

“Saya gembira calon kita diterima sebulat suara oleh BN negeri dan tiada nama lain dikemukakan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mussem adalah penduduk Batang Ai. Beliau bertugas dengan Jabatan Pertanian dan berkelulusan ijazah kejuruteraan dari UPM.

Sementara itu, perdana menteri berkata beliau belum menerima nama calon BN yang akan bertanding pada pilihanraya DUN Batang Ai daripada BN Sarawak.

Setakat ini, katanya, beliau hanya mendapat maklumat bahawa BN Sarawak telah mengenal pasti calonnya tetapi belum memaklumkannya kepada beliau.
   
"Saya belum menerima apa-apa cadangan (nama calon) itu secara rasmi,"katanya kepada pemberita di Pulau Pinang. 

sementara itu, Ismail, 49, adalah Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara dan berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Menurut Bernama, Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata calon yang dipilih adalah anak tempatan seperti yang dikehendaki oleh masyarakat setempat.

Pemilihan calon dibuat daripada perbincangan dengan pimpinan bahagian dan negeri serta tinjauan yang mengambil kira segala aspek, katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

"Kita pilih calon yang terbaik untuk BN... saya yakin beliau akan menjadi seorang Ahli Parlimen yang baik dan dapat bekerja sama penuh dengan semua," katanya.

Beliau berkata antara syarat penting juga ialah calon diterima oleh peringkat bahagian bagi mengelak berlaku pergeseran, termasuk prasyarat bahawa Ismail tidak akan bertanding dalam pemilihan bahagian Umno akan datang.

Dalam pemilihan bahagian tahun lalu, Ismail yang juga bekas ketua penerangan bahagian, tewas kepada Adun Trong Datuk Rosli Husin dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang.

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Feb lepas. Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.

Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihanraya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.

Ganesan pula merupakan timbalan pengerusi MIC Kedah. Beliaumerupakan bekas Adun Lunas dan tidak bertanding dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Beliau yang dilahirkan di ladang Sungai Division di Sungai Petani, adalah lulusan Universiti Malaya dalam jurusan ekonomi sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di London.
   
Ganesan kini merupakan seorang peguam mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan R Vatsala, 42, yang juga merupakan seorang peguam.


MBI Roboh Plak Pokok Demokrasi


Jumaat lalu, tiga penjuru plak peringatan 'Pokok Demokrasi' di Ipoh di pecahkan. Dan hari ini plak itu dirobohkan.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini merobohkan plak peringatan 'tersebut yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri Dr Mah Hang Soon berkata tindakan meroboh plak itu adalah mengikut undang-undang kerana pembinaannya merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyebabkan halangan di tempat awam.

"Saya tidak anggap kes ini sebagai satu kes yang istimewa kerana sebarang pembinaan secara haram tanpa kebenaran MBI akan diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang," katanya mengulas mengenai tindakan pekerja MBI membersihkan kawasan berkenaan pagi ini, lapor Bernama.

Semalam, MBI mengeluarkan notis mengarahkan pemilik plak 'pokok demokrasi' yang terletak di Medan Istana supaya merobohkan tugu berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Notis itu ditampal pada pokok berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan dan menjadi tempat persidangan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang yang gagal memasuki Dewan. Persidangan itu meluluskan tiga usul termasuk pembubaran DUN.

Notis yang ditandatangani Pegawai Undang-undang MBI, Syahrul Azrin Ghazali bagi pihak Datuk Bandar Ipoh menyatakan pembinaan tugu itu menyalahi Seksyen 46(1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana menyebabkan halangan di tempat awam.

Sejak dibina dan penanaman lima anak pokok hujan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin minggu lepas, kawasan berkenan menjadi tumpuan ramai pelawat.

Dua hari berturut-turut sebelum ini, plak berkenaan telah dipecah dan disimbah cat oleh pihak yang tidak diketahui.

Tiga penjuru plak marmar itu - yang menceritakan mengenai sidang tergempar DUN Perak itu terpaksa diadakan di bawah pokok Angsana tersebut - telah dipecah.

Bagaimanapun bahagian utama plak tersebut yang menceritakan sidang DUN yang bersejarah tersebut tidak dirosakkan.

Manakala exco Pakatan, Ngeh Kor Ming berkata, Pakatan akan lancarkan kempen - seorang RM1 - untuk membina tugu baru yang mengandungi empat bahasa.

Katanya, ia kerana ramai pelancong, termasuk dari luar negara, datang untuk melawat pokok demokrasi tersebut, menjadikannya tempat tarikan pelancongan terbaru. 




Monday, March 9, 2009

KATUN PERSIDANGAN BAWAH POKOK

POKOK - MONUMEN SEJARAH PAKATAN RAKYAT


Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula "TEMPAT BERSIDANG”. 

Untuk menjadikan lokasi persidangan tergempar tersebut satu memori paling indah, usaha menanam pokok-pokok kenangan itu disarankan oleh Nga Kor Ming semalam.

Idea amat unik bercambah dari benak Nga menjadi bertambah unik apabila pokok-pokok itu akan dinamakan dengan lima prinsip perjuangan Pakatan Rakyat. 

Maka setiap tahun kelak akan adalah perhimpunan besar-besaran pemimpin bersama penyokong setia di bawah pokok bagi mengingati peristiwa tersebut.

5 pokok ditanam

I
poh: Pakatan Rakyat akan menanam lima pokok, esok berhampiran tapak ‘sidang tergempar’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Selasa lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming, berkata lima pokok itu akan dinamakan ssempena lima prinsip yang menjadi moto Pakatan DAP,Pas dan PKR ketika ia mentadbir Perak sebelum bertukar kepada Barisan Nasional (BN) bulan lalu selepas tiga anggota pembangkang keluar parti masing-masing untuk menyokong BN.

Lima prinsip itu ialah keadilan, amanah, ketelusan, wibawa dan kebajikan

-Bernama.


Nga disaran mengambil kira pandangan ini untuk menamakan pokok berkenaan dengan nama-nama pemimpin Pakatan disamping lima prinsip kerajaan Pakatan Rakyat berkenaan. 

Pokok besar yang sedia ada sekarang patut diberikan nama POKOK TUANKU SULTAN kerana Paduka Sultan yang berkuasa di Perak dan akan menaungi kelima-lima pokok baru tumbuh yang dimiliki oleh Pakatan Rakyat. 

Dibawah ini diberikan sedikit huraian mengapa nama-nama tersebut perlu diabadikan kepada pokok-pokok tersebut.

Pembaca boleh memberi tafsiran berbeza dari apa yang Uncle catatkan bergantung kepada fahaman masing-masing.

Pokok Keadilan – Anwar

Pokok Keadilan patut dinamakan disamping nama DS Anwar kerana dialah penggerak jentera keadilan (untuk dirinya sendiri) bermula tahun 1999 (akan kaitkan signifikan angka ini dengan tempoh hak pemilikan tanah selepas ini). Tahun ini adalah tahun kesepuluh gerakan membela Anwar dimulakan. 

Keadilan mungkin telah terlaksana apabila rakyat memilih Anwar sebagai Ahli Parlimen dan kini menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Pokok Amanah - Nizar

Nizar diberikan amanah oleh Sultan Perak untuk mentadbir negeri sebaik sahaja Pakatan Rakyat terbentuk pada April 2008. Amanah diberikan kepada Nizar kerana sifatnya sebagai pemimpin PAS dan satu-satunya orang Melayu yang memenuhi kriteria untuk menerajui kerajaan negeri (Melayu, Islam dan berpendidikan agak tinggi). Nizar juga menerima amanah dari Ngeh dan Nga dari DAP.untuk mengutamakan puak-puaknya atas dasar kebajikan.

Pokok Ketelusan - Nga Kor Ming

Nga mengamalkan ketelusan dalam semua tindak tanduknya dan ini memudahkan Nizar melaksanakan dasar keadilan dan kebajikan dalam setiap urusan pentadbiran negeri Perak. Warga Perak tak perlu bersusah payah mentafsir sikap pemimpin-pemimpin Pakatan di Perak kerana mereka tidak pernah berselindung dalam melaksanakan agenda perjuangan politik mereka.

Pokok Wibawa – Sivakumar

Sivakumar, Speaker DUN yang dilantik adalah tokoh paling berwibawa di Perak kerana mampu bertindak berseorangan biarpun kerajaan yang mendukungi beliau telah tidak berfungsi. Dengan kewibawaan beliaulah MB Perak yang baru bersama exco digantung juga membuatkan terlakarnya sejarah persidangan bawah pokok dalam pentadbiran kerajaan Malaysia terutama dinegeri Perak.

Pokok Kebajikan – Ngeh Koo Ham

Demi kebajikan keturunannya, Ngeh Koo Ham mengarahkan Nizar untuk menganugerahkan penduduk di kampong baru mendapat hak tanah bagi tempoh 999 tahun. Mungkin angka 999 ini diambil sempena tahun mula Anwar berjuang (1-999). Nasib baik tempoh 999 tahun diberi. Jika diberikan tempoh 1999 tahun (mengikut angka tahun) sudah tentu isu ia bertambah parah. Ngeh rasanya telah berjaya melaksanakan kebajikan dengan dasarnya tersebut.

Biar apapun perkara yang telah Berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku di Negeri Perak, Uncle berharap rakyat mula membuka mata, menggerakkan akal demi menilai kembali pilihan mereka dalam PRU12 tempohari.

Semuanya adalah untuk kebajikan dan kemajuan masa depan rakyat Negeri Perak. 

Kebijaksanaan warga Perak perlu diterjemahkan didalam PRK Bukit Gantang pada 7 April 2009 nanti.

Wallahualam.
Dipetik dari MYKMU

Thursday, March 5, 2009

Khairy jawab isu ECM-Libra



eksklusif: Khairy Jamaluddin menjadi sasaran kecaman dari setiap penjuru sejak beliau melangkah masuk ke gelanggang politik lima tahun lalu. Khairy menjadi sasaran pelbagai tuduhan - termasuk pembabitan beliau dalam bank pelaburan ECM-Libra.

Salah seorang daripada 'kaki pukul' tersebut ialah penulis blog kontroversial, Raja Petra Kamarudin - yang tidak pernah ditemuinya walau sekali pun.

Khairy berkata, semuanya adalah mengenai Khairy Jamaluddin yang 
'anda benci' dan Raja Petra yang 'anda sukai'.

Dalam bahagian ketiga daripada lima siri wawancara Khairy dengan Malaysiakini, menantu perdana menteri itu ditanya mengenai tuduhan yang dilempar terhadapnya - termasuk dakwaan cuba menyertai syarikat-syarikat terkemuka kerajaan seperti Khazanah Holdings, minatnya untuk menyertai kabinet dan tuduhan bahawa beliau dapat habuan daripada rebat petrol.

Ditanya mengenai imejnya yang tercalar dengan pelbagai tuduhan itu, Khairy berkata, sehingga ini tiada pihak yang dapat membuktikan bahawa semua dakwaan tersebut adalah benar.

Ditanya mengenai pegangannya sebelum ini dalam ECM Libra, sebelum menjual pegangannya itu kemudiannya, Khairy berkata: "Apa yang salahnya?"

Khairy menjelaskan bahawa beliau menyertai syarikat tersebut sebagai anggota pengurusan kanannya, yang turut ditawarkan opsyen saham dalam syarikat tersebut.

Katanya, beliau menerima tawaran opsyen saham tersebut "dan semua anggota pengurusan kanan ditawarkan opsyen saham yang sama, berserta dengan pinjaman dari orang yang menawarkan saham berkenaan".

Jelasnya, bercanggah dengan apa yang orang sangka, syarikat berkenaan tidak memberi pinjaman kepadanya untuk membeli saham tersebut kerana ia adalah salah.

"Orang yang menjual saham dan memberi pinjaman itu (kepada saya) adalah pemegang saham pengasas syarikat tersebut - Kali (Kalimullah Hassan), David Chua, Lim Kian Ong. Mereka yang memberi saya pinjaman...," jelasnya.

Khairy berkata, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk menjual saham tersebut apabila menyedari beliau menjadi sasaran kecaman dan pihak syarikat turut terjejas kerananya.

"Kerana itu, lebih baik saya tarik diri daripada membiarkan syarikat berkenaan terjejas kerana pemegang sahamnya ramai. Itulah yang sebenarnya berlaku.

"Jika pun saya dianggap bersalah, kesalahan itu ialah kerana (saya) ditawarkan peluang seumpama itu pada tahap usia yang muda. Tetapi niatnya adalah untuk membina syarikat untuk jangka masa panjang, membesarkan syarikat dan memastikan ia berjaya menjadi sebuah institusi perkhidmatan kewangan," katanya.

PEMIMPIN MALAYSIA MENENTANG APARTHEID SEJAK 1957

Saya cukup teruja bila ada pihak mengatakan Malaysia mengamalkan dasar apartheid. Saya teruja kerana sememangnya dasar itulah yang seharusnya dilaksanakan sebaik sahaja Malaya merdeka pada 1957. Dengan dasar itu, kita boleh usir seluruh imigran ketika itu pulang ke negara asal masing-masing.

Tapi, saya juga amat menghargai kebijaksanaan para pemimpin Malaysia kerana mempunyai hati budi untuk mempelawa golongan imigran menjadi warganegara di bumi bertuah ini. Kebijaksanaan dan ketulusan hati pemimpin Malaysia ini adalah lambang keperimanusiaan yang amat terpuji.

Lantaran itulah saya amat sedih bila mutakhir ini wujud kelompok-kelompok yang buta sejarah dan terencat budi sehingga tergamak untuk mengungkit-ungkit status kepribumian orang Melayu dan etnik bumiputera lainnya di Malaysia.

Saya berpeluang melawat Afrika Selatan dua tahun sebelum dasar apartheid di negara itu dimansuhkan. Sewaktu berada di Cape Town, saya dibawa oleh seorang keturunan Melayu di sana untuk meninjau kawasan Malay Quarters. Beliau tunjukkan kepada saya kesan-kesan penindasan rejim apartheid kulit putih terhadap keturunan Melayu di Cape Town yang dikategorikan sebagai golongan coloured. Sesudah itu, beliau bawa saya meninjau keadaan hidup pribumi Afrika Selatan di Black Settlement, iaitu perkampungan pribumi Afrika Selatan yang dikategorikan sebagai blacks.

Sesudah tamat meninjau keadaan, kenalan saya berkata bahawa rejim apartheid adalah keompok manusia tidak berhati perut. Pribumi Afrika Selatan dijadikan hamba abdi. Hidup mereka ditindas. Tenaga mereka diperah ke peringkat maksimum. Kekayaan negara mereka, terutama sekali berlian, habis dikaut oleh golongan imigran kulit putih. Di bawah dasar apartheid, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.

Sewaktu menjamu selera di rumah kenalan saya itu, saya pun ceritakan kisah zaman kanak-kanak saya yang hidup di sebuah kampung pendalaman - tidak ada bekalan air bersih, tidak ada bekalan letrik, tidak ada jalan tar, tidak ada segala-galanya. Saya juga katakan kepadanya bahawa kaum imigran di era penjajahan Malaya, hidup senang lenang di bandar-bandar - ada jalan batu, ada api letrik ada bekalan air bersih. Kata saya, sementara kaum pribumi Malaya ketika itu hidup merempat di ceruk hutan, kaum imigran pula menikmati seluruh kemewahan di bumi tempat mereka berdagang.

Kenalan saya bertanya, adakah pribumi Malaya di era penjajah Inggeris pun hidup dalam keadaan apartheid seperti coloured di Cape Town dan blacks di seluruh Afrika Selatan? Saya beritahu beliau, keadaannya telah berubah sesudah merdeka. Tetapi, keturunan imigran terus hidup mewah tanpa diganggu-gugat oleh pihak peribumi. Kenalan saya berkata, you Malays are so kind hearted and the non-Malays are so very lucky!

Begitulah kisahnya apartheid. Dasar tersebut adalah dasar penindasan peringkat tinggi. Dasar tersebut adalah dasar terkutuk. Dasar berkenaan menyebabkan pribumi Afrika Selatan dijadikan pariah, ditindas, dihina, diperas, dinafikan hak politik mereka, dilarang untuk berinteraksi dengan orang putih – sekolah asing-asing, tandas awam lain-lain, segala-galanya memanifestasikan bahawa pribumi Afrika Selatan dinafikan seluruh hak keperibumian mereka.

Atas dasar kemanusiaan, para pemimpin Malaysia, sejak Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra hinggalah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak pernah jemu-jemu bersuara dan berbicara untuk menentang dasar apartheid di Afrika Selatan. Di era awal kemedekaan Malaya, Tunku Abdul Rahman sudah mula menentang apartheid menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mahathir pula menentang apartheid di mana sahaja beliau berpeluang untuk menentangnya - menerusi pentas komanwel, Selatan-Selatan dan PBB. Pemimpin-pemimpin Malaysia ini berjuang menentang apartheid kerana mereka insaf bahawa apartheid adalah “a system of legal racial segregation.”

Sebab itulah bila dasar apartheid di Afrika Selatan mulai 1948 dihapuskan pada 1994, Malaysia adalah antara negara yang aktif membantu Afrika Selatan untuk mengendalikan pilihan raya bebas yang pertamanya. Sampaikan poster pilihan raya pun di cetak di Kuala Lumpur dan diterbangkan khas ke sana.

Jadi, betulkah Malaysia mengamalkan dasar apartheid? Dan, bukankah hanya manusia yang buta sejarah dan terencat minda sahaja yang tergamak mengatakan bahawa kerajaan Malaysia adalah pengamal dasar apartheid?

Dipetik dari blog Dato' Ruhanie Ahmad

DSAI Akhirnya Dedah Strategi Sendiri

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dedah rahsia strategi politik sendiri. Ini yang disebut dalam ucapan ulang tahun pemerintahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor. 

"UMNO menggunakan 3R iaitu race, religion dan royalty (kaum, agama dan istana) dan ini mudah mencungkil perasaan rakyat dan meresap ke dalam psikologi terutamanya kaum Melayu. 

"Kalau rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat, mereka akan terperangkap dalam mainan politik ini dan pemikiran menjadi sempit dan kembali mundur," katanya. 

Sebenarnya dialah yang mempraktikkan amalan mencungkil perasaan rakyat dan memainkan psikologi bagi membangkit emosi. 

Dialah yang menabur paling banyak maklumat yang tidak tepat ke dalam pemikiran rakyat sehingga rakyat terperangkap dalam mainan politik, sehingga pemikiran menjadi sempit dan mundur. Dialah yang menyebabkan rakyat menjadi semakin ekstrim dan hilang rasional. 

Dialah yang mempraktikkan kaedah ini sebaik saja beliau tersingkir dari kepimpinan tertinggi kerajaan dan parti. 

Hanya pencuri yang boleh menangkap pencuri. Hanya perogol yang boleh menjelaskan kaedah berkesan bagaimana untuk merogol mangsa. Hanya peliwat yang boleh memperjelaskan bagaimana kaedah berkesan untuk meliwat seseorang atau bagaimana kaedah untuk memujuk seseorang melakukan liwat. 

Hanya lesbian yang boleh menjelaskan bagaimana wujudnya perasaan berahi seorang wanita terhadap wanita lain. 

Penulis telah ulang lagi dan lagi dalam tulisan bagaimana Bro Anwar Bin Ibrahim mencungkil dan memainkan psikologi dan emosi rakyat hingga sanggup berdemonstrasi di jalanan dan melanggar segala adab budaya yang sekian lama terbina demi membela Bro Anwar Bin Ibrahim yang pada anggapan mereka adalah suci lagi menyucikan. 

Memang benar kata Bro Anwar Bin Ibrahim, bila rakyat dihidangkan dengan maklumat tidak tepat, maka mereka akan terperangkap dalam mainan politik. Itulah yang dipraktikkannya. 

Itu sebab dia menyebar maklumat Dr Mahathir cucuk dia dengan kuman HIV, Dr Mahathir racun dia dengan arsenik. Itu sebab juga dia sebar cerita Dr Mahathir lumpuh, IGP lumpuh dan semua yang terlibat dalam konspirasi sudah dapat pembalasan tuhan. 

Apa yang jelas, akhirnya semua gambaran maklumat ini tidak tepat. Tetapi maklumat inilah sebenarnya yang menyebabkan tercungkilnya emosi dan psikologi rakyat. 

Dalam keadaan yang tidak menentu, dia pantas mengambil kesempatan menabur sebanyak mungkin maklumat agar rakyat bertambah keliru dan marah. 

Jika Bro Anwar Bin Ibrahim tidak buat proses mengelirukan rakyat ini, sudah pasti rakyat akan percaya kepada mahkamah. Jika rakyat percaya pada mahkamah, maka Bro Anwar Bin Ibrahim dah lama tak laku. Tiada siapa yang akan percaya pada dia lagi. 

Tapi Bro Anwar Bin Ibrahim hebat orangnya. Dia mahir dalam membangkit emosi rakyat. Itu sebab bila keadaan mutakhir ini seolah-olah tidak menyebelahi diri dan partinya, dia cepat-cepat kata sentimen 3R yang dimainkan UMNO adalah bertujuan untuk mencungkil emosi rakyat. 

Dia takut kalau sentimen 3R ini berjaya, maka emosi dan sentimen rakyat akan beralih kepada pemerintah. Dia tahu peralihan emosi ini akan membahayakan kedudukan PKR dan dirinya. Maklumlah orang biasa buat macam tu. 

Hanya Anwar yang mengenal maknikam….

Sumber: Blog Pemuda UMNO Malaysia