Tuesday, March 17, 2009

Muhyiddin: Najib perlu timbalan yang kuat


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengalaman luasnya di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa melayakkannya untuk mengisi jawatan nombor dua dalam Umno dan kerajaan.

Muhyiddin, 61, yang berdepan dengan dua pencabar - Datuk Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib untuk merebut jawatan timbalan presiden Umno - berpengalaman menjadi menteri besar Johor selama 13 tahun dan menganggotai kabinet selama hampir 14 tahun.

Lagi pula, Mohd Ali dan Muhd Taib bukan ahli Parlimen dan oleh itu tidak secara automatik layak untuk memegang jawatan timbalan perdana menteri, yang selama ini diisi oleh pemimpin nombor dua Umno.

Mereka berdua perlu dilantik sama ada sebagai senator atau bertanding dalam pilihanraya kecil - sesuatu yang ingin dielakkan kerana suasana politik yang tidak memihak kepada kerajaan sekarang.

Muhyiddin juga menolak hujah Muhd Taib bahawa tidak boleh ada "dua ekor singa menghuni bukit yang sama".

Muhammad (foto) yang sebelum ini menegaskan beliau tidak bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, merujuk kepada kemungkinan timbalan yang kuat boleh mengancam kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa depan.

"Pada masa bilamana kita berdepan dengan masalah yang serius, seperti yang dihadapi Umno sekarang, maka apa yang diperlukan adalah satu pasukan kepimpinan yang kuat," kata Muhyiddin dalam wawancara selama 60 minit dengan Malaysiakini di pejabatnya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Jika anda berkata tidak (perlu timbalan yang kuat), maka ia bermakna anda berkata 'pilihlah pemimpin yang tidak begitu kuat' atau 'pilih seorang yang lemah'.

"Saya tidak fikir itu yang Umno mahu atau itu yang negara mahu. Negara, dalam keadaan seperti sekarang, memerlukan kepimpinan yang kuat," tegasnya.
Sumber: Web Malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment