Sunday, March 15, 2009

MBI Roboh Plak Pokok Demokrasi


Jumaat lalu, tiga penjuru plak peringatan 'Pokok Demokrasi' di Ipoh di pecahkan. Dan hari ini plak itu dirobohkan.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini merobohkan plak peringatan 'tersebut yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri Dr Mah Hang Soon berkata tindakan meroboh plak itu adalah mengikut undang-undang kerana pembinaannya merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyebabkan halangan di tempat awam.

"Saya tidak anggap kes ini sebagai satu kes yang istimewa kerana sebarang pembinaan secara haram tanpa kebenaran MBI akan diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang," katanya mengulas mengenai tindakan pekerja MBI membersihkan kawasan berkenaan pagi ini, lapor Bernama.

Semalam, MBI mengeluarkan notis mengarahkan pemilik plak 'pokok demokrasi' yang terletak di Medan Istana supaya merobohkan tugu berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Notis itu ditampal pada pokok berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan dan menjadi tempat persidangan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang yang gagal memasuki Dewan. Persidangan itu meluluskan tiga usul termasuk pembubaran DUN.

Notis yang ditandatangani Pegawai Undang-undang MBI, Syahrul Azrin Ghazali bagi pihak Datuk Bandar Ipoh menyatakan pembinaan tugu itu menyalahi Seksyen 46(1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana menyebabkan halangan di tempat awam.

Sejak dibina dan penanaman lima anak pokok hujan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin minggu lepas, kawasan berkenan menjadi tumpuan ramai pelawat.

Dua hari berturut-turut sebelum ini, plak berkenaan telah dipecah dan disimbah cat oleh pihak yang tidak diketahui.

Tiga penjuru plak marmar itu - yang menceritakan mengenai sidang tergempar DUN Perak itu terpaksa diadakan di bawah pokok Angsana tersebut - telah dipecah.

Bagaimanapun bahagian utama plak tersebut yang menceritakan sidang DUN yang bersejarah tersebut tidak dirosakkan.

Manakala exco Pakatan, Ngeh Kor Ming berkata, Pakatan akan lancarkan kempen - seorang RM1 - untuk membina tugu baru yang mengandungi empat bahasa.

Katanya, ia kerana ramai pelancong, termasuk dari luar negara, datang untuk melawat pokok demokrasi tersebut, menjadikannya tempat tarikan pelancongan terbaru. 




No comments:

Post a Comment