Tuesday, March 17, 2009

Harapan kerjasama UMNO-Pas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my



DATUK Seri Abdul Hadi Awang adalah Presiden Pas. Beliau mengetuai hampir satu juta ahli Pas di seluruh negara. Oleh itu, sebagai Presiden kepada sebuah parti yang mempunyai kerusi di Parlimen dan menguasai kerajaan negeri di Kedah dan Kelantan, beliau berhak mengemukakan apa juga cadangan. Termasuklah juga dalam usaha menyatukan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Ertinya tiada mana-mana pihak perlu mempertikaikan keikhlasan beliau termasuklah DAP biarpun mereka bersama-sama dalam pakatan pembangkang. 

Sebagai Presiden parti, Abdul Hadi boleh mengeluarkan apa juga idea politik kerana itulah demokrasi yang diagung-agungkan oleh pihak pembangkang selama ini. Maka beliau juga berhak bercakap mengenai kerajaan perpaduan.

Sepatutnya, DAP tidak perlu melatah kerana Abdul Hadi mempunyai niat yang baik demi memastikan kestabilan politik negara terus terjamin. Tetapi sebenarnya apa yang ditakuti oleh DAP bukannya mengenai soal kerajaan perpaduan itu tetapi penyatuan antara UMNO dan Pas .

Atas sebab itulah pemimpin-pemimpin DAP mahu Abdul Hadi memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan. Persoalannya, kenapakah apabila parti Melayu hendak berbincang soal perpaduan antara mereka, ada sahaja halangan?

Sebenarnya, apa pun yang berlaku antara UMNO dan Pas ia tidak akan menggugat kaum lain. Malah mereka akan berasa lebih selamat apabila dua parti terbesar orang Melayu mencapai persefahaman. 

Justeru DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau penyokong PKR dalam Pas yang mengaku mereka orang Melayu tidak harus berasa gelisah.

Cadangan Abdul Hadi perlu diperhalusi. Mungkin untuk mewujudkan sebuah kerajaan pusat tanpa pembangkang seperti mana yang disyorkan agak sukar. Tetapi bagaimana jika UMNO dan Pas bersatu sekurang-kurangnya di Perak? Ia bagi membolehkan tumpuan dapat diberikan dalam membantu rakyat negeri itu yang sudah cukup tertekan dengan apa yang berlaku selama ini.

Penyatuan itu bukanlah untuk selama-lamanya tetapi sekadar bersama-sama berada dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga penggal pemerintahan tamat. 

Ertinya di Perak kalau UMNO dan Pas bekerjasama, parti Melayu menguasai 33 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dengan kerjasama MCA yang mempunyai satu kerusi ia akan menjadi 34 kerusi.

Mungkin ada yang melihat cadangan ini melucukan tetapi langkah tersebut jika dilakukan boleh merealisasikan hasrat awal Abdul Hadi. Jika Pas boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk bekerjasama memerintah Selangor, kenapa ia tidak boleh dilakukan di Perak? Bukankah kalau menurut cadangan Abdul Hadi, idea kerajaan perpaduan itu dilontarkan demi mewujudkan kestabilan? 

Oleh itu, kalau Pas benar-benar mempunyai pandangan sedemikian maka mereka harus membuka laluan kepada usaha menjadi Perak sebagai contoh keikhlasan Pas. Mungkin akan ada tentangan daripada PKR dan DAP, tetapi apa yang Pas lebih utamakan, kuasa politik atau kepentingan rakyat?

Sebenarnya, kita tidak harus terkejut jika cadangan Abdul Hadi ditentang oleh sesetengah pemimpin dan ahli Pas sendiri. Ini kerana mereka sudah terpengaruh dengan politik PKR yang tidak mahu sama sekali mana-mana pakatan pembangkang bercakap soal kerjasama dengan BN terutama UMNO.

Puak-puak itulah yang kini semakin merosakkan imej Pas. Mereka lebih taksub mematuhi apa kata pemimpin PKR berbanding menyokong cadangan ikhlas Presiden mereka sendiri. 

Bagaimanapun, apa juga halangannya, cadangan Abdul Hadi tidak harus dipinggirkan begitu sahaja. Ia seharusnya dikaji dengan mendalam terutamanya berkaitan mewujudkan kerjasama perpaduan di kalangan orang Melayu.

Dalam situasi sekarang, Pas harus kembali kepada sikap asal mereka yang suatu ketika sanggup bekerjasama dengan UMNO apabila menyentuh soal bangsa dan agama. Mereka tidak perlu mengikut rentak PKR yang sanggup menggadaikan apa sahaja asalkan dapat berkuasa.

"Dulu bila ada isu Melayu, Pas sendiri boleh diajak berbincang tetapi sekarang tidak lagi. Mereka sudah banyak berubah sejak berkawan dengan PKR." Kata-kata ini dilafazkan oleh seorang pemimpin kanan UMNO kepada penulis yang kesal kerana Pas tidak bersama UMNO dalam mempertahankan isu-isu berkaitan orang Melayu.

Pemimpin berkenaan yang bertaraf menteri bercakap secara ikhlas mengenai Pas. Beliau bimbang parti itu akan dirosakkan oleh penyokong pemimpin PKR yang meresap masuk ke dalam Pas. Bagaimanapun keyakinan harus diberikan kepada Pas agar mereka membuka ruang kepada usaha mencapai persefahaman mengenai langkah membela Melayu bersama-sama UMNO.

Seperti mana cadangan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, segala usaha yang boleh menggerakkan ke arah merealisasikan impian tersebut. Antaranya mengadakan pertemuan di peringkat kepimpinan parti dan usaha ini perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.

"Saya optimis hasrat ini akan tercapai pada satu hari nanti. Sebenarnya, tiada perbezaan yang ketara antara UMNO dan Pas kerana kita saudara seagama yang sentiasa menjunjung syariat Rasulullah SAW," katanya.

Selain mengetepikan perbezaan fahaman politik, sifat dendam antara UMNO dan Pas perlu dikikiskan.

"Bagi saya, ini merupakan kerja agama kerana ia akhirnya bermatlamatkan untuk membela agama, bangsa dan negara kita. Bagi kaum lain, mereka tidak harus khuatir kerana hak mereka tetap akan terpelihara seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," tegas pemimpin UMNO itu lagi.

Kerjasama dan penyatuan antara UMNO dan Pas ini amat penting difikirkan apatah lagi dalam keadaan di mana ada pihak tertentu seperti mana kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mereka sedang memainkan peranan dan mempunyai agenda besar bagi meruntuhkan keamanan dan kekuatan negara.

Pihak-pihak itu sedang mengatur satu demi satu strategi bagi meruntuhkan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu. Usaha mereka menjadi bertambah mudah apabila ada pemimpin Melayu yang sanggup menjadi pengkhianat hanya kerana ingin berkuasa.

Justeru Pas perlu menyedari perkara ini dan bersama-sama UMNO untuk mempertahankan apa juga yang berkaitan dengan kepentingan Melayu. Pas boleh terus memperjuangkan ideologi politiknya tetapi dalam masa yang sama bersedia untuk duduk semeja dengan UMNO demi masa depan bangsa, agama dan negara.

Adalah diharapkan cadangan Abdul Hadi akan menjadi titik permulaan kepada usaha melihat ada kerjasama yang benar-benar erat antara UMNO dan Pas. Jika ini dapat dilakukan percayalah tiada siapapun berani menganggu gugat institusi Melayu dan agama Islam. 

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.


No comments:

Post a Comment