Monday, June 8, 2009

Muzarakah UMNO – Pas, Usaha Serius Ke Arah Perpaduan Ummah

Muzakarah antara UMNO dan Pas adalah penting untuk kebaikan bersama khususnya mencari titik persamaan mengenai isu-isu nasional seperti ekonomi, membasmi kemiskinan serta kebajikan rakyat.


Demikian menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam rancangan Agenda Awani terbitan stesyen penyiaran Astro, Isnin malam yang membincangkan tajuk “Kerjasama UMNO-Pas Membina Negara”.

Sambil menolak muzakarah tersebut sebagai umpan untuk membentuk kerajaan perpaduan beliau berkata perbincangan itu adalah satu usaha serius ke arah perpaduan ummah, orang Melayu.

"Perbincangan ini adalah demi kebaikan, membasmi kemiskinan dan pembangunan politik negara.

"Muzakarah ini menghasilkan persefahaman tidak rasmi, tidak sampai membentuk kerajaan perpaduan", katanya.

Beliau seterusnya menegaskan muzakarah yang dicadangkan adalah lebih berbentuk usaha jangka masa panjang dan politik yang sederhana.

"Untuk jangka pendek ini kepercayaan perlu dibina terlebih dahulu oleh dua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan tersebut.

"Perbincangan UMNO dan Pas yang diadakan selepas pilihanraya umum lalu terbantut kerana kedua-dua parti terbabit dengan pemilihan masing-masing. Namun dengaan kemenangan pemimpin Pas yang menyokong kepada perbincangan, proses muzakarah menjadi lebih konduksif", ujarnya.

Namun tegas beliau usaha ini tidak akan tercapai sekiranya wujud sikap prejudis serta meletakkan prasyarat tertentu untuk menjayakannya.

"Kita berharap perbincangan tersebut dapat diadakan semula", katanya.

Program yang berlangsung selama 30 minit itu bagaimanapun tidak disertai Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang diwar-warkan sebelum ini akan bersama Khairy Jamaluddin untuk membincangkan perkara itu.

Namun pihak penerbit telah menemubual Ahli Parlimen Parit Buntar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mujahid Yusof Rawa menerusi telefon bagi mendapatkan pandangannya berhubung perkara yang dibincangkan.

Sumber: web Pemuda UMNO Malaysia

No comments:

Post a Comment