Sunday, June 14, 2009

Pemuda Umno Tumpu Pada Golongan Muda Di Bandar Pula


Pergerakan Pemuda Umno mengorak langkah dengan memberi penumpuan dan penekanan kepada penduduk di kawasan bandar dalam usaha mendekatkan diri dengan golongan muda di kawasan tersebut.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno akan mendekatkan diri dengan pengundi muda di kawasan bandar serta mengenal pasti permasalahan mereka.

"Jika sebelum ini Pemuda lebih banyak turun padang dan menumpukan pada golongan muda di luar bandar, kini tiba masanya untuk Pemuda melebarkan sayap perkhidmatannya kepada pendduk muda di kawasan bandar," katanya kepada pemberita selepas majlis Sehari Bersama Pemuda Umno Malaysia di Bandar di PPR Kerinchi, di sini Ahad.

Katanya, sepanjang pertemuan dengan penduduk di kawasan perumahan berkenaan, kebanyakan isu yang dibangkitkan penduduk kawasan terbabit adalah masalah pengurusan sampah, persekitaran, tempat letak kereta serta permintaan untuk membeli rumah berkenaan daripada hanya disewakan.

"Kesemua permasalahan yang dibangkitkan ini akan Pemuda Umno perjuangkan dan kami akan berusaha untuk membantu mereka mendapat peluang untuk hidup lebih selesa agar mereka tidak rasa kehimpitan tinGgal di bandar," katanya.

Mengulas penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), Khairy menyifatkan ia merupakan pilihan Zaid serta tidak sesekali menggugat kekuatan Umno.

"Penyertaan beliau itu langsung tidak mengganggu gugat Umno, tidak menyimpang daripada usaha Umno untuk membawa perubahan demi rakyat, jadi saya harap perkara ini tidak digembar-gemburkan, ia bukan perkara besar," katanya.

Diminta mengulas mengenai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pulang ke negara ini, beliau melahirkan rasa kecewa ekoran ada pemimpin yang sanggup menyakitkan hati majoriti rakyat Malaysia.

"Saya begitu kecewa ada pemimpin yang sanggup meyakitkan hati majoriti rakyat Malaysia, sebenarnya yang menuntut Chin Peng dapat balik ke Malaysia saya rasa bukan majoriti rakyat Malaysia tapi sebilangan kecil rakyat Malaysia.Saya rasa jika buat suara majoriti, rakyat negara ini tak mahu Chin Peng balik, " katanya.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata isu berkenaan amat sensitif dan begitu menyakitkan berikutan masih ramai lagi rakyat negara ini yang masih punya ingatan utuh terhadap zaman komunis yang begitu ganas.


Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment