Saturday, February 14, 2009

KEMELUT PERAK: ANTARA REALIS DAN IDEALIS

Manusia wujud dalam sistem anarki kemanusiannya. Sistem yang semulajadi ini menyebabkan kepelbagaian ragam manusia dalam mentafsir sesuatu situasi, mentakrif sesuatu perkembangan atau menyelesaikan sesuatu kemelut. Sebab itu muncul pelbagai kelompok manusia – sekurang-kurangnya kelompok oportunis, pragmatis, realis dan idealis.

Kesemua kelompok ini mempunyai persepsi, kaedah dan cara yang berbeza untuk menyelesaikan sesuatu kemelut. Tetapi, kesemuanya juga mempunyai persamaannya. Semua kelompok ini menjadikan faktor kepentingan dan kelangsungan (survival) sebagai pemangkin tindakan masing-masing.

Pihak oportunis lazimnya tidak mementingkan ideologi atau nilai-nilai moral. Mereka bertindak seperti bulldozer. Motivasi keputusan dan tindakan mereka adalah keuntungan material yang segera untuk menjamin kepentingan dan kelangsungan mereka.

Manusia pragmatis lazimnya berprinsip. Tetapi, demi sesuatu keuntungan material atau bukan material, mereka sanggup menggadaikan prinsip mereka. Lantas, mereka pun jadi lalang – bergerak dan melentok-liuk ikut tiupan angin. Jadi, kelompok ini juga bergerak dan bertindak demi kepentingan dan kelangsungannya.

Kumpulan realis memang ideological. Mereka rela mencaturkan politik kuasa, tanpa mengira nilai-nilai moral, semata-mata untuk memperolehi kuasa, menebus semula kuasa yang hilang atau mempertahankan kuasa. Dalam lain-lain perkataan, kelompok ini sanggup mengaplikasikan doktrin Machaivelli demi kepentingan dan kelangsungannya.

Puak idealis juga ideological. Mereka juga menitikberatkan soal kepentingan, kelangsungan dan kekuasaan. Tetapi, kaedah mereka tidak Machiavellian, kurang berkonfrontasi dan berat untuk mengenepikan nilai-nilai moral. Puak ini percaya kepada prinsip-prinsip musyawarah, muzakarah, menghalusi punca masalah dan mengenalpasti jalan terbaik untuk meleraikan sesuatu kemelut supaya wujud situasi menang-menang di mana yang untung tidak untung segala-galanya, dan yang rugi tidak rugi kesemuanya.

Semua kelompok ini wujud dalam kerangka siasah Perak pada hari ini,. Tetapi, kelompok oportunis, pragmatis dan realis lebih menonjol impaknya daripada kumpulan idealis. Itulah realitinya.

Fikir-fikirkanlah realiti ini sebaik-baiknya kerana di sebalik keputusan telah diambil dan di sebalik tindakan yang telah dilaksanakan, mungkin wujud jerangkap samar atau bom jangka yang amat padah impaknya.

No comments:

Post a Comment