Monday, February 2, 2009

Umno Yakin Mampu Rampas Semula


Umno Yakin Mampu Rampas Semula

Pemuda Umno Perak yakin parti itu mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang dan Changkat Jering jika diadakan pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi berkenaan.

Ketua pergerakan itu, Zainon Fadzi Baharuddin berkata, situasi hari ini tidak sama dengan 8 Mac 2008.

"Rakyat Perak, khususnya orang Melayu, sudah bosan dengan permainan kerajaan negeri yang terlalu mengikut telunjuk kaum lain.

"Semakin lama kerajaan sekarang memerintah, orang Melayu menjadi semakin diketepikan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu, telah meletak jawatan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar telah memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Perak mengenai kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang.

Zainon Fadzi berkata, pihaknya juga mengalu-alukan kemasukan Jamaluddin dan Osman ke dalam Umno untuk kepentingan orang Melayu di negeri itu.

"Tetapi sehingga hari ini saya tidak tahu perkara sebenar mengenai kedua-dua Adun berkenaan.

'Sesuatu yang pelik'

"Kita tengoklah apa yang berlaku kepada kedua-dua mereka," katanya.

Dalam pilihanraya lalu, Jamaluddin mendapat 6,771 undi menewaskan calon BN Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

Mohd Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering. Beliau memperolehi 9,411 mengalahkan penyandang dari BN Datuk Mat Isa Ismail yang memperoleh 8,309 undi.

Mengenai dakwaan bahawa kedua-dua Adun tersebut akan menyertai Umno, seorang pemimpin Umno yang tidak mahu namanya disebut berkata:

"Sangat pelik, Umno yang mahu membersihkan rasuah, tiba-tiba menerima Adun yang terbabit dengan dakwaan rasuah." 

Jamaluddin dan Osman menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah.

Perbicaraan kes berkenaan akan bermula di Mahkamah Sesyen di Ipoh selama tiga ari bermula 10 Februari ini. 

Tetapi, kata pemimpin tersebut, jika mahu kuasa, Umno perlu menerima mereka sebagai laluan untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri Perak..

Ketika ini, Pakatan Rakyat Perak mempunyai 32 Adun termasuk Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR minggu lalu, manakala BN dianggotai 27 DUN. 
by: Ariff HZ




No comments:

Post a Comment