Sunday, February 1, 2009

Jangan Cabar Islam

Jangan Cabar Islam

Oleh Shamsiah Zulkafli
shamsiah.zulkafli@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Jangan cabar kesucian Islam. Jangan bangkitkan kemarahan umat Islam.

Peringatan dan amaran keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu ditujukan kepada pemimpin tertentu bukan Islam yang terus menimbulkan isu menyentuh kesucian Islam di negara ini.

Sambil merujuk kepada isu akhbar mingguan Herald Catholic yang mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana menggunakan perkataan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayunya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa perkara itu sepatutnya tidak timbul sekiranya semua pihak prihatin dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

‘‘Ada pemimpin bukan Islam yang minta kebenaran supaya perkataan Allah digunakan dalam akhbar itu dengan alasan mengambil contoh Indonesia yang lebih bebas dalam isu agama.

‘‘Ini Malaysia, jangan samakan dengan negara lain, kita adalah sebuah negara Islam seperti termaktub dalam perlembagaan. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” tegasnya pada majlis pelancaran Yayasan Generasi Gemilang (Y2G) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada 24 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok merayu Kementerian Dalam Negeri membenarkan Herald Catholic menggunakan tulisan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayu sehingga mahkamah membuat keputusan.

Kata Dompok, perkara itu telah dibawa ke mahkamah dan semua pihak harus membiarkan sistem keadilan negara menentukan sama ada Herald Catholic harus berhenti menggunakan perkataan Allah atau sebaliknya.

Menurut Ahmad Zahid, cubaan untuk menggantikan perkataan Tuhan dengan Allah dalam penerbitan akhbar agama mereka bukan sahaja menyalahi Perlembagaan Persekutuan, malah tindakan itu seperti mempunyai agenda tertentu.

“Apa tujuan mereka? Sejak dulu lagi, sudah termaktub dalam undang-undang mereka tak boleh berbuat demikian,” tegasnya.

Menurut Ahmad Zahid, perbuatan segelintir pemimpin bukan Islam yang sengaja membangkitkan isu itu seolah-olah cuba mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid menegaskan, penganut agama lain di negara ini juga dilarang menyampaikan dakyah agama mereka kepada umat Islam di negara ini.

‘‘Masyarakat bukan Islam perlulah hormati keputusan ini kerana ia tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, sekiranya kesucian Islam terus dicabar, masyarakat Islam di negara ini tanpa mengira fahaman politik akan bersatu dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

‘‘Jangan cuba bermain api, jangan cabar umat Islam, kita akan lakukan apa sahaja untuk pertahankan agama suci ini,” kata beliau.

Pada masa yang sama, beliau menyeru umat Islam supaya bersatu bagi menangkis pandangan pihak luar yang menganggap masyarakat Islam lemah.

Sementara itu, Wan Mohamad ketika menjawab soalan pemberita mengenai isu Herald Catholic berkata, semua pihak perlu menghormati prosedur undang-undang yang sedang berlangsung tanpa menimbulkan sebarang kenyataan.

‘‘Kes ini sedang berjalan, mereka ini juga bukanlah orang istimewa sehingga boleh mengatasi undang- undang.

‘‘Malah mereka juga terdedah kepada kemungkinan menghina mahkamah jika mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.


No comments:

Post a Comment