oleh:Ab Jalil Backer
sumber: Blog Pemuda UMNO Malaysia
sumber: Blog Pemuda UMNO Malaysia
Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) yang bertindak menjadi wakil rakyat Bebas kerana hilang kepercayaan terhadap pemerintahan parti campuran PKR, Pas dan DAP.
Sungguhpun ada suara-suara yang menyarankan diadakan undang-undang anti lompat parti namun keputusan mereka adalah satu tindakan sah dan bermoral. Undang-undang dan Perlembagaan negara menjamin hak mereka sebagai wakil rakyat untuk membuat keputusan sedemikain.
Dari segi moral politik pun, tindakan mereka tiada salah sama seperti usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim mencari sokongan wakil rakyat parti lain untuk menubuhkan kerajaan.
Memang kita boleh bercakap soal "moral" kononnya rakyat sudah membuat keputusan berasaskan parti. Pandangan ini bukan sahaja tidak tepat malah mengelirukan. Apakah parti sahaja yang menjadi faktor pengundian dalam pilihan raya?
Demokrasi di Malaysia bukan sistem dua parti yang berasaskan pertentangan ideologi yang terang-terangan dan perbezaan polisi yang jelas sehingga keputusan dibuat berasaskan sokongan terhadap parti semata.
Di banyak tempat keputusan dibuat beradasarkan populariti calon, parti, marah atas sebab tertentu dan juga isu-isu tempatan.
Sistem demokrasi di Malaysia berasaskan mandat kepada perwakilan yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen. ADUN-ADUN ini yang menentukan siapa yang akan mereka beri kepercayaan menjadi Menteri Besar.
Demikian juga Ahli Parlimen juga yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memilih Perdana Menteri.
Parti politik hanya perantara bagi melicinkan isu pemilihan Menteri Besar dan Perdana Menteri bukan penentu kepada keputusan ini.
Jika Perdana Menteri yang dicalonkan oleh parti yang menang kerusi terbanyak gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, atau Menteri Besar gagal mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri maka akan terlucut jawatan beliau walaupun ia datang dari parti yang menguasai majoriti wakil rakyat.
Jika kita ingin bercakap soal undang-undang anti lompat parti mahu dilaksanakan ia harus juga merombak sistem pemilihan parti memerintah.
Ini kerana undang-undang anti lompat bertujuan melindungi kepentingan parti bukan kepentingan negara atau rakyat. Jika demikian jumlah wakil rakyat atau perwakilan dalam Dewan harus dibuat berdasarkan undi popular parti bukan mengikut kawasan seperti sekarang.
Parti pemerintah harus diberi kepada parti yang menang kerusi terbanyak bukannya parti yang berjaya mendapat sokongan teramai ahli Dewan. Ini bermakna BN harus kembali memerintah Selangor, Perak dan Kedah.
Menteri Besar dan Perdana Menteri harus dipilih dari parti yang menang kerusi terbanyak tanpa mengambil kira ia majoriti atau tidak.
Sehingga kita bersetuju untuk melaksanakan beberapa perubahan yang menjurus kepada pilihan raya berasaskan parti bukan calon, maka selagi itulah kita harus menerima hakikat bahawa mandat rakyat berasaskan dua faktor iaitu parti dan calon.
Dan rakyat juga telah memberi mandat kepada wakil mereka untuk membuat keputusan mengenai hal ehwal negara. Jika wakil rakyat dihalang dari mengadakan undi tidak percaya atau menyatakan hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan maka konsep wakil rakyat itu sendiri sudah tidak relevan.
Undang-undang anti lompat hanya sesuai jika sistem kita berasaskan perwakilan parti bukan wakil rakyat. Ini termasuk mewujudkan sistem referendum untuk setiap polisi baru kerajaan kerana ahli Dewan sudah tidak dianggap sebagai wakil rakyat tetapi lebih merupakan wakil parti.
Lebih mengelirukan, mengapa sekarang baru dipersoalkan mandat rakyat terhadap parti sedangkan ketika menubuhkan kerajaan campuran di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor tidak pula dipersoalkan apakah rakyat memberi mandapat kepada PKR, Pas dan DAP untuk bergabung membentuk kerajaan?
Bukankah mereka bertanding atas logo atau lambang dan ideologi masing-masing yang berbeza?
Apakah pengundi Melayu di Perak dan Selangor yang mengundi PKR dan Pas dalam pilihan raya lalu memberi mandat kepada mereka membentuk kerajaan yang dikuasai oleh DAP?
Anehnya, ketika orang Melayu Perak tertekan dengan pelbagai keputusan kerajaan negeri boneka DAP, ada pula pemimpin Melayu UMNO bercakap soal moral lompat parti dan sebagainya.
Kepada pemimpin Melayu ini kita ingin bertanya kepentingan rakyat, orang Melayu dan agama Islam yang lebih utama atau populariti di kalangan kumpulan tertentu yang selalu sinis terhadap UMNO lebih penting?
No comments:
Post a Comment