Sunday, March 15, 2009

BN umum calon untuk tiga p'raya kecil

Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan nama calon-calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan kerusi DUN Batang Ai.

Ismai Saffian dari Umno dicalonkan di Bukit Gantang, Datuk S Ganesan dari MIC (Bukit Selambau) dan Malcolm Mussen ak Lamoh di Batang Ai.

Pencalonan Ismail and S Ganesan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, masing-masing di Taiping, Perak and Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Bagaimanapun, tidak jelas siapakah yang mengumumkan pencalonan Malcolm Mussen. Satu laporan awal bahawa pengumuman itu dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, telah dipertikaikan.

Joseph Tawie, yang melaporkan untuk Malaysiakini di Kuching, berkata, Presiden PRS, Dr James Masing yang mengumumkan pencalonan Mussen - pilihan parti tersebut - sebagai calon.

BN Sarawak bermesyuarat di Kuching hari ini untuk memutuskan calon bagi pilihanraya kecil Batang Ai. Ia dihadiri oleh pemimpin BN negeri dari PBB, Supp, SPDP dan PRS.  

Sumber-sumber berkata sokongan Supp dan SPDP terhadap calon PRS itu di mesyuarat tersebut tidak begitu disenangi pemimpin PBB. Bagaimanapun, pemimpin PBB dikatakan akhirnya bersetuju dengan calon PRS itu dengan syarat ia dapat diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. 

Bagaimanapun, Masing berkata, beliau gembira Mussen dipilih sebagai calon BN dan menggesa para pengundi menyokongnya. 

“Saya gembira calon kita diterima sebulat suara oleh BN negeri dan tiada nama lain dikemukakan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mussem adalah penduduk Batang Ai. Beliau bertugas dengan Jabatan Pertanian dan berkelulusan ijazah kejuruteraan dari UPM.

Sementara itu, perdana menteri berkata beliau belum menerima nama calon BN yang akan bertanding pada pilihanraya DUN Batang Ai daripada BN Sarawak.

Setakat ini, katanya, beliau hanya mendapat maklumat bahawa BN Sarawak telah mengenal pasti calonnya tetapi belum memaklumkannya kepada beliau.
   
"Saya belum menerima apa-apa cadangan (nama calon) itu secara rasmi,"katanya kepada pemberita di Pulau Pinang. 

sementara itu, Ismail, 49, adalah Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara dan berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Menurut Bernama, Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata calon yang dipilih adalah anak tempatan seperti yang dikehendaki oleh masyarakat setempat.

Pemilihan calon dibuat daripada perbincangan dengan pimpinan bahagian dan negeri serta tinjauan yang mengambil kira segala aspek, katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

"Kita pilih calon yang terbaik untuk BN... saya yakin beliau akan menjadi seorang Ahli Parlimen yang baik dan dapat bekerja sama penuh dengan semua," katanya.

Beliau berkata antara syarat penting juga ialah calon diterima oleh peringkat bahagian bagi mengelak berlaku pergeseran, termasuk prasyarat bahawa Ismail tidak akan bertanding dalam pemilihan bahagian Umno akan datang.

Dalam pemilihan bahagian tahun lalu, Ismail yang juga bekas ketua penerangan bahagian, tewas kepada Adun Trong Datuk Rosli Husin dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang.

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Feb lepas. Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.

Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihanraya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.

Ganesan pula merupakan timbalan pengerusi MIC Kedah. Beliaumerupakan bekas Adun Lunas dan tidak bertanding dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Beliau yang dilahirkan di ladang Sungai Division di Sungai Petani, adalah lulusan Universiti Malaya dalam jurusan ekonomi sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di London.
   
Ganesan kini merupakan seorang peguam mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan R Vatsala, 42, yang juga merupakan seorang peguam.


No comments:

Post a Comment