Monday, March 23, 2009

Pemuda UMNO bantu kos pembedahan Nurul Nasuha

KUALA LUMPUR 22 Mac - Penderitaan bayi berusia lima bulan, Nurul Nasuha Khairon yang menghadapi jantung berlubang mendapat perhatian daripada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO.

Kos pembedahan sebanyak RM28,000 yang diperlukan berjaya diselesaikan hasil sumbangan pihak sekretariat itu sendiri dan beberapa individu serta syarikat yang prihatin.

Pengerusi sekretariat itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya terpanggil membantu setelah melihat laporan penderitaan Nurul dalam akhbar baru-baru ini.

"Sebelum pihak kami tampil untuk membantu, saya telah diberitahu oleh ahli keluarganya bahawa hanya RM150 saja dapat dikumpulkan daripada orang ramai.

"Atas sebab itu, kita cukup sedih dan bersungguh-sungguh membantu adik Nurul Nasuha ini kerana pembedahan terpaksa dilakukan secepat mungkin demi menyelamatkan nyawanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada bapa Nurul Nasuha, Khairon Waqiman @ Khalid, 38, di Pusat Perubatan Gleneagles di hari ini.

Tambah Abdul Azeez, sumbangan selebihnya akan diserahkan dalam masa terdekat ini setelah berjaya mendapatkan beberapa penderma yang prihatin.

"Orang ramai dialu-alukan memberi sumbangan kepada Nurul Nasuha, jangan hanya sibuk memberikan sumbangan kepada penderitaan kepada mereka yang berada di luar negara. Orang di dalam negara kita juga perlu dibantu," jelasnya.

Selain itu, beliau bercadang menemui pihak Kementerian Kesihatan bagi mempercepatkan bantuan bagi kes yang serupa pada masa akan datang.

Bagi ibu Nurul Nasuha, Norhafiza Abd. Karim, 38, beliau bersyukur dengan keadaan kesihatan anaknya yang kini semakin pulih setelah selamat dibedah pada 20 Mac lalu.

"Nasib baiklah kos pembedahan itu berjaya diselesaikan dan kini doktor memberitahu saya serta suami bahawa mereka sedang memantau kesihatan paru-paru Nurul akibat kesan jangkitan," katanya.

Bapanya, Khairon yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Shah Alam dan hanya memperoleh pendapatan bersih RM1,500 sebulan kini mengakui boleh menarik nafas lega.

"Tambahan pula ada tiga anak lagi yang perlu ditanggung, bantuan ini amatlah diharapkan dan saya mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO dan Datuk Azeez.

"Dalam masa yang sama, orang ramai masih boleh membantu anak saya kerana rawatan susulan perlu dijalankan dalam masa tiga ke enam bulan ini," ujarnya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian dengan mendepositkan wang ke dalam akaun Maybank Norhafiza bernombor 162085449144.

No comments:

Post a Comment