Sunday, March 29, 2009

Pemuda Diajak Rapatkan Barisan Dalam Semangat Setiakawan


Ketua Pemuda UMNO yang baru dipilih Khairy Jamaluddin dalam ucapan penangguhannya berkata, dengan semangat setiakawan yang menjadi tema kempennya, beliau berjanji tidak akan meminggirkan mana-mana pihak dalam barisan kepimpinannya. 

Justeru beliau mengajak semua ahli pergerakan itu bersama menghadapi cabaran getir pada waktu ini. 

"Tak bermakna yang tak bersama saya akan dipinggirkan, semangat setiakawan akan sentiasa diterapkan. Semua ahli Pemuda perlu merapatkan semula barisan dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar. 

"Kita akan berhadapan dengan tugas berat iaitu berhadapan dengan pilihan raya kecil nanti," katanya. 

Semua ahli pergerakan itu kata beliau mesti bersama untuk meneruskan perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. 

"Oleh itu saya merayu, kepada 'Pemuda Berani', berdirilah bersama saya, apabila kita masuk ke kubu dan berdepan dengan pembangkang di Parlimen, pilihan raya dan di mana saja, 'Pemuda Berani' perlu berada bersama saya. 

"Kepada 'Berani Berubah', apabila kita memikul amanah seperti yang diletakkan di bahu kita seperti mana yang dituntut Timbalan Presiden semalam...tuan-tuan mesti bersama saya untuk mengubah UMNO. 

"Saya merayu kepada semua 700,000 ahli Pemuda termasuk pemimpin di dewan ini, marilah bersama-sama atas semangat 'Setiakawan' kita mara untuk bangsa, agama dan negara," katanya. 

Beliau seterusnya berazam mewujudkan barisan Pemuda yang berani menuntut perubahan dan semangat setiakawan.

No comments:

Post a Comment